3 Aug 2019

Perbualan Busana Bahasa


Antologi Busana Bahasa (2019) memuatkan karya 13 orang Sasterawan Kavyan, iaitu penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Sila klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai antologi ini.

Berikut pula perkongsian pandangan dan pengalaman Anuradha Chelliah [biodata], M. Mahendran [biodata], Thanusya Shanmuganathan [biodata], dan S. Maartandan Suppiah [biodata] yang terlibat sama dalam antologi berkenaan.

Soalan 1
Apakah keunikan atau keistimewaan karya anda yang termuat dalam antologi Busana Bahasa?

Mahendran: Cerpen saya yang bertajuk “Lintah”,  jika dibandingkan dengan cerpen-cerpen lain dalam Busana Bahasa, ‘beraksi’ pantas. Sajak “Politikus” pula mempunyai niat halus.

Anuradha: Karya-karya saya seperti “Penantian”, “Pesta Cahaya”, “Ponggal”, “Rintihan Hati Tua” dan “Secawan Beras” berunsurkan kehidupan manusia dan berkait rapat dengan diri saya.

Thanusya: Dua karya saya adalah fragmen novel Savithri dan Skandal, novel berunsur thriller romantik yang sedang saya usahakan. Savithri dijangka terbit pada bulan Disember 2019. Keunikan karya-karya saya ialah selain berkisar mengenai watak-watak kaum India, saya juga akan menyelitkan unsur-unsur budaya dan kepercayaan masyarakat India dalam plot cerita, yang boleh dijadikan sumber rujukan kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Maartandan: Karya saya sangat unik kerana ditulis berdasarkan penyelidikan ijazah kedoktoran (Ph.D) saya. Esei tersebut merupakan pandangan masyarakat India terhadap komunikasi kepimpinan Tun Mahathir. Tambahan pula, topik esei saya merupakan topik yang perlu diberi perhatian khusus dalam era Malaysia Baharu.

Soalan 2
Apakah pula keunikan antologi Busana Bahasa secara keseluruhan?

Mahendran: Karya-karya yang termuat dalam antologi ini dihasilkan oleh penulis lama dan baharu. Rata-rata karya mencerminkan sosio budaya dan permasalahan kaum India di Malaysia.

Anuradha: Saya dapati, setiap karya mempunyai ‘nyawa’ tersendiri dan dihidupkan dengan cara luar biasa para penulis.

Thanusya: Karya-karya yang pelbagai, hasil nukilan 13 penulis yang mempunyai ideologi yang sama, iaitu untuk memperkenalkan identiti masyarakat India melalui karya Bahasa Malaysia.

Maartandan: Karya-karya dalam antologi ini ditulis oleh penulis kaum India dan setiap karya yang dihasilkan adalah bermutu dan unik. Karya-karya ini memberi peluang kepada para pembaca untuk merasai pelbagai bentuk karya seperti fragmen novel dan esei.

Soalan 3
Apakah reaksi atau maklum balas yang anda terima setakat ini daripada pembeli dan pembaca antologi Busana Bahasa?

Mahendran: Kaum India pun boleh menulis dalam bahasa Malaysia dengan baik. Itulah reaksi yang paling banyak saya terima.

Anuradha: Ada rakan saya yang telah memuatkan karya saya pada status WhatsApp mereka. Saya rasa mereka tertarik dengan karya tersebut maka ia telah menjadi pilihan mereka. Tetapi, kebanyakan mereka cuma mengucapkan tahniah atas kelahiran Busana Bahasa.

Thanusya: Jujur saya katakan bahawa saya masih belum menerima maklum balas daripada ramai pembeli buku ini. Ada seorang yang bertanya bila novel Skandal akan terbit. Selebihnya senyap sepi, mungkin kerana belum menerima naskah mereka yang baru dikirim melalui pos.

Maartandan: Saya menerima maklum balas positif daripada masyarakat berbilang kaum. Para pembaca memberi sokongan dan menyeru Sasterawan Kavyan supaya meneruskan usaha mulia memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menghasilkan karya-karya bermutu seperti ini.

Soalan 4
Antologi Busana Bahasa diterbitkan sendiri dan diedarkan sendiri oleh para penulis terbabit. Apakah kelebihan dan cabaran menggunakan cara ini?

Mahendran: Membanggakan kerana dengan adanya Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), kita boleh melaksanakan penerbitan antologi ini. Kita boleh menjual dan berdepan dengan pembaca. Cabaran pula apabila amat sukar mencari pembaca yang benar-benar membaca. Ada orang sekadar membeli tetapi tidak membaca. Saya dapati, masyarakat Malaysia kurang berminat untuk membaca. Buku ini pun terpaksa dipromosikan berulang kali di media sosial. Harga RM20 masih dianggap mahal.

Anuradha: Kelebihan adalah bahawa para pembeli dan pembaca dapat mengenali penulis dengan lebih rapat. Cabaran pula apabila ada pembeli dan pembaca yang belum mendapatkan buku mereka daripada saya walaupun telah membuat tempahan. Hal ini kerana mereka ingin mendapatkannya sendiri daripada saya.

Thanusya: Penulis dapat menggunakan kreativiti untuk menjalankan promosi di media sosial, di samping dapat bertemu sendiri dengan pembeli. Kami dapat memberi ‘sentuhan peribadi’ dalam aktiviti jual-beli. Cabarannya, kami perlu berusaha untuk mencari pembeli dan melakukan promosi berterusan sehingga stok di tangan habis dijual. Bukan mudah untuk mendapatkan jualan kerana kami terpaksa bersaing dengan buku-buku lain dalam pasaran.

Maartandan: Kelebihannya adalah menjimatkan masa, manakala cabarannya adalah untuk mencari pembeli.

Soalan 5
Apakah sumbangan – atau mesej – yang ingin anda berikan kepada pembaca menerusi karya-karya anda (tidak hanya terhad kepada karya dalam antologi Busana Bahasa)?

Mahendran: Kenalilah masyarakat, alam dan haiwan dengan lebih dekat lagi. Saya menulis untuk mengembangkan idea dalam pelbagai cara dan teknik. Lebih  banyak menulis, lebih banyak selok-belok dalam bidang ini dipelajari. Semoga saya dikenali untuk sekarang dan masa hadapan dalam bentuk tulisan.

Anuradha: Saya ingin memberikan sesuatu yang luar biasa kepada para pembaca dan saya akan cuba untuk terus memberikannya dalam karya-karya seterusnya juga.

Thanusya: Karya-karya saya, sama ada karya kreatif mahupun karya sastera, hanya ditulis demi satu matlamat, iaitu untuk memperkenalkan adat, budaya, dan kepercayaan masyarakat India kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia.

Maartandan: Saya ingin menyampaikan mesej-mesej penting berkaitan masyarakat India kepada khalayak pelbagai kaum.