Friday, 18 May 2018

Palanivel Belum Belajar Strategi Politik Samy Vellu?


Timbalan presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam sudah mengesahkan akan bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan semula parti yang dijadualkan pada Mei 2015.

Naib presiden, Datuk M. Saravanan juga tidak menolak kemungkinan bertanding bagi jawatan timbalan presiden atau presiden; walaupun beliau masih sama kem dengan Subramaniam.

Menyentuh mengenai perkembangan ini, akhbar Utusan Malaysia (4 Februari 2015) bertanya: “Jika perebutan presiden dan timbalan presiden MIC benar-benar direalisasikan, ‘nyawa politik’ siapa yang akan melayang. Presiden sedia ada, Datuk Seri G. Palanivel, Subramaniam atau Saravanankah?”

Krisis dalaman, perebutan kerusi, dan drama bersiri yang semakin menarik sejak Disember 2014 mengingatkan saya kepada drama hampir sama dalam MIC dari 1977 hingga 2010.

“Selagi MIC mempunyai seorang presiden yang berwibawa, selagi itulah parti itu akan menyerlah. Jika kepimpinan parti sudah goyah dengan gejala buruk seumpama skandal, rasuah, pilih kasih, dan nepotisme, maka akan hancurlah parti tersebut.

“Janganlah pula kita bertindak menghancurkan MIC kerana terpedaya dengan dakyah, naluri khianat, dan pengiktirafan peribadi orang-orang yang tidak bertanggungjawab,” kata M. Vivekananthan dalam buku MIC Era Samy Vellu (1996).


Penyokong dan politikus MIC yang lahir selepas 1965 mungkin hanya mengenali Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden dan menteri kabinet. Mereka mungkin kurang tahu secara mendalam mengenai perjuangan Samy Vellu untuk sampai ke tahap itu.

Bermula Mei 1971, Samy Vellu terlibat dalam perancangan licik bagi memastikan kerusi presiden yang dipegang oleh Tun V. T. Sambanthan sejak 1955 berjaya diambil alih oleh Tan Sri Manickavasagam.

Strategi yang disusun kemas oleh Samy Vellu membuahkan hasil pada Jun 1973. Akan tetapi, Samy Vellu secara terang-terangan dipinggirkan oleh Manickavasagam sehingga presiden itu meninggal dunia pada 1979.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, Barisan Nasional (BN) yang baru dibentuk menggantikan Perikatan telah meraih kejayaan besar. Samy Vellu bertanding menggantikan Sambanthan bagi kerusi Parlimen Sungai Siput dan menang besar selepas menewaskan tiga calon lawan.

Pada masa sama, Manickavasagam menang kerusi Parlimen Klang, Datuk S. Subramaniam (bukan Menteri Kesihatan sekarang) menang di Parlimen Damansara dan K. Pathmanaban menang di Parlimen Teluk Kemang.

Manickavasagam Pinggirkan Samy Vellu Hingga Nafas Terakhir

Berbanding calon-calon di atas yang mendapat tempat dalam kerajaan BN, Samy Vellu pula tidak diberikan peluang oleh Manickavasagam, walaupun selepas politikus muda itu berjaya menjadi naib presiden MIC pada Julai 1975.

Jalan untuk Samy Vellu menjadi naib presiden juga tidak mudah. Seramai sembilan calon bertanding bagi tiga kerusi naib presiden. Manickavasagam dikatakan secara terang-terangan menyokong beberapa calon; tidak termasuk Samy Vellu.

Walau bagaimanapun, Samy Vellu yang berumur 39 tahun menang dengan 711 undi. Adik kepada Manickavasagam iaitu Dr V. Ganesan (483 undi) dan Tan Sri S. O. K. Ubaidullah (460 undi) turut berjaya menjadi naib presiden parti.

Walaupun tidak disenangi oleh Manickavasagam, Samy Vellu ternyata tidak berputus asa dalam mengejar cita-citanya. Sebagai seorang anak kelahiran estet dalam sebuah keluarga amat daif, beliau sedar bahawa perjuangan perlu diteruskan untuk mencapai kejayaan.

Pada Februari 1977, Samy Vellu bertanding bagi jawatan timbalan presiden. Pesaingnya kali ini ialah Subramaniam yang memegang jawatan setiausaha agung MIC dan timbalan menteri.

Manickavasagam sekali lagi secara jelas memihak kepada Subramaniam. Sementara barisan pemimpin tertinggi dalam parti menyokong Subramaniam, Samy Vellu pula mendapat sokongan akar-umbi.


Usah lupa, pada 1971–73, Samy Vellu pernah terlibat dalam perancangan menjatuhkan Sambanthan dan mengangkat Manickavasagam ke jawatan presiden parti. [Baca di sini]

Anehnya, apabila Samy Vellu bertanding bagi jawatan timbalan presiden pada 1977, Sambanthan tampil memberikan sokongan penuh tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan tanpa menyimpan rasa dendam.

Keputusan pengundian yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan Samy Vellu mendapat 553 undi manakala Subramaniam mendapat 527 undi.

Mengulas keputusan itu, Manickavasagam mengingatkan bahawa beza hanya 26 undi dan beliau mengharapkan seorang timbalan presiden yang mampu mendapat majoriti lebih besar.

Subramaniam Terus-menerus Gugat Kedudukan Presiden

Pada tahun 1979, Manickavasagam sekali lagi meminta Subramaniam bertanding menentang Samy Vellu bagi merebut kerusi timbalan presiden. Subramaniam pula memutuskan untuk tidak tunduk pada permintaan itu.

Apabila Manickavasagam meninggal dunia pada 12 Oktober 1979, Samy Vellu memangku jawatan presiden sehingga tarikh pemilihan pada 21 Mac 1981.

Sokongan tidak berbelah-bagi untuk Samy Vellu ternyata semakin meningkat kerana 101 cawangan mencalonkan beliau sebagai presiden.

R. Vellasamy dari cawangan Lobak, Negeri Sembilan, dan R. Perumal dari cawangan Gunung Rapat, Perak, turut menerima pencalonan; tetapi kemenangan tetap berpihak kepada Samy Vellu.

Ramai yang menyangka Subramaniam akan turut bertanding jawatan presiden tetapi beliau memutuskan untuk tidak menentang Samy Vellu, sebaliknya menyokong penuh pencalonan itu.


Keputusan ini agak penting dalam perkembangan parti MIC kerana semasa Samy Vellu menjadi pemangku presiden (1979–81), timbul ura-ura beliau merancang menghancurkan karier politik Subramaniam dengan memecatnya.

Selepas Manickavasagam meninggal dunia, Perdana Menteri waktu itu, Tun Hussein Onn meminta Samy Vellu memilih calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pelabuhan Klang.

Para penyokong Subramaniam mahukan ketua mereka dicalonkan tetapi Samy Vellu memilih rakan lamanya, V. Govindaraj yang merupakan setiausaha MIC Selangor.

Mengikut laporan akhbar-akhbar Tamil pada awal 1980-an, Subramaniam mengkritik Samy Vellu semasa berceramah. Antara lain, Samy Vellu dikatakan sengaja melambat-lambatkan pelantikan Subramaniam sebagai timbalan presiden.

Pada 26 Mei 1981, semasa Subramaniam sedang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), beliau berdepan kemungkinan disingkirkan atau digantung keahlian dalam parti.

Beberapa jam kemudian, Samy Vellu dan Subramaniam mengadakan perbincangan tertutup di bilik lain. Serta-merta, desas-desus Subramaniam akan dibuang dari MIC hilang begitu sahaja.

Palanivel Dicabar Seorang Lagi Subramaniam

Semasa perhimpunan agung parti pada 1981, Samy Vellu sendiri berkempen untuk Subramaniam dan meminta para perwakilan memastikan jawatan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Subramaniam menjadi timbalan presiden, tetapi lapan tahun kemudian (1989), mereka berdua bertarung sesama sendiri bagi merebut jawatan presiden; tetapi Subramaniam tewas.

Dihuraikan di akhbar Utusan Malaysia (4 Februari 2015) bahawa kemuncak perselisihan mereka adalah pada 1990 apabila Subramaniam digugurkan daripada senarai calon PRU.

Subramaniam melepaskan jawatan timbalan presiden dan pengerusi MIC Wilayah Persekutuan. Beliau terus memegang jawatan timbalan menteri kerana Tun Mahathir Mohamad melantiknya sebagai Senator.

Pada 1991, Subramaniam yang digelar “Makkal Thalaivar” (ketua masyarakat) oleh para penyokongnya terpilih semula menjadi timbalan presiden MIC.

Jawatan itu berjaya dikekalkannya sehingga pemilihan pada tahun 2003. Akan tetapi, pada pemilihan 2006, Samy Vellu dengan penuh licik meletakkan Palanivel untuk menentang Subramaniam bagi jawatan timbalan presiden.

Terdahulu, Subramaniam dicalonkan serta menang dalam PRU 1995 dan 1999 di Parlimen Segamat, Johor. Tetapi beliau disingkirkan daripada senarai calon dalam PRU 2004.


Samy Vellu sendiri tewas di Parlimen Sungai Siput pada PRU 2008. Apabila beliau melepaskan jawatan presiden MIC pada 2010, Palanivel diberikan kepercayaan meneruskan legasi.

Seperti kata Vivekananthan dalam bukunya pada 1996, selagi MIC mempunyai seorang presiden yang berwibawa, selagi itulah parti itu akan menyerlah.

Kini, Palanivel ternyata mahu dicabar oleh Subramaniam (Menteri Kesihatan) dan mungkin juga oleh Saravanan dalam pemilihan presiden pada Mei 2015.

Apakah Palanivel akan turut menggunakan strategi politik yang licik seperti ditangani oleh Samy Vellu untuk terus berkuasa, atau sudah terlewat untuk menyelamatkan nakhoda dan kapal yang mulai karam?

________________________________________

Makalah ini ditulis pada 20 Februari 2015 dan disiarkan di Kuala Lumpur Post pada 26 Februari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang kandungan dalam mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.