6 Aug 2016

Kota Raja Menjelang PRU-14

Apakah yang sanggup dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) untuk memenangi semula hati Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)? Khususnya pengundi di Parlimen Kota Raja (P111) dan DUN Sri Muda (N50). [Nota - N50 ditukar kepada DUN Kota Kemuning pada tahun 2018.]

BN amnya, dan MIC khasnya, mendapat tamparan hebat apabila calon BN-MIC – S.A. Vigneswaran – kalah teruk kepada calon PAS dalam perebutan kerusi Parlimen Kota Raja semasa PRU-12 (2008).

Taktik Datuk Seri Najib Razak yang mengepalai kempen Sayangi Selangor, Yakini BN masih gagal mengembalikan keyakinan Rakyat untuk mengundi calon MIC – T. Murugesan – pada PRU-13 (2013).

Kerusi Parlimen Kota Raja kekal milik PAS, dan kerusi DUN Sri Muda kekal milik Parti Keadilan Rakyat (PKR). Nota: Dr Siti Mariah Mahmud kemudian menyertai PAN.

Menjelang PRU-14
Sekarang, tumpuan kita terhadap PRU-14 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada 2018. Sebenarnya, tidak lama lagi! [Tarikh mengundi - 9 Mei 2018]

Apakah BN-MIC masih akan berusaha memenangi hati Rakyat (pengundi) di Parlimen Kota Raja khasnya – dan Selangor amnya – dalam usaha merampas semula kerusi yang sangat menguntungkan?

Saya percaya – berharap – BN-MIC sudah sedar bahawa taktik menaburkan beras dari atas lori – rujuk insiden Perhimpunan Semenyih melibatkan IPF – atau janji akan buat itu-ini selepas PRU – rujuk kisah Nating – tidak akan mampu memperdaya Rakyat.

Dalam suasana MIC sedang meraikan ulang tahun ke-70 penubuhan parti Tamil/India itu, pasti perlu difikirkan juga langkah-langkah yang wajar bagi memenangi semula hati Rakyat, dan seterusnya “merampas” semula kerusi Parlimen Kota Raja.

[Baca juga -- Siapa Saguni dalam Krisis MIC?]

Saya amat berharap taktik janji dicapati tidak akan digunakan pada kali ini. Rakyat sudah semakin bijak membuat pilihan. Janji-janji kosong tidak akan mampu memperdaya pengundi pelbagai kaum di Selangor amnya, dan Parlimen Kota Raja khasnya.

Saya merupakan pengundi berdaftar bagi Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda. Dalam PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013), saya mengundi Dr Siti Mariah (Parlimen) dan Shuhaimi Shafiei (DUN).

Apakah mungkin hati saya terbuka untuk memberi peluang – menerusi kuasa undi – kepada calon BN-MIC berbakti kepada Rakyat selepas PRU-14?

Mulai sekarang, saya akan perhatikan apakah sumbangan BN-MIC kepada penduduk di Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda. 

Apakah sumbangan BN-MIC kepada saya sebagai seorang pengundi.

Rekod 2016

Sumbangan yang dimaksudkan tentu sahaja bukan merujuk kepada beras yang ditabur dari atas lori, atau hamper Deepavali, atau angpau RM50, atau janji-janji manis “Kami akan buat itu ini jika menang”.

Sebaliknya, apa yang mampu dibuat oleh BN-MIC mulai sekarang kepada Rakyat – pengundi, keluarga, individu – di Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda.

Jika berpeluang, saya bercadang bertemu Penyelaras BN Kota Raja merangkap Ketua MIC Bahagian Kota Raja, Datuk R.S. Maniam untuk membincangkan perkara ini.

Pada masa sama, tentu sahaja saya tidak menolak peluang bertemu wakil PAS, PKR dan PAN untuk membincangkan perkara sama.

Rekod 2018

Kalau selama ini politikus dikatakan membeli undi dengan menawarkan pelbagai janji manis, janji kosong dan janji dicapati, pada kali ini biarlah Rakyat berani menjual undi dengan memastikan urusan jual-beli itu tidak hanya menguntungkan sebelah pihak.

Siapa yang saya undi dalam PRU-14? [Sila lihat di sini] Undi saya bukan rahsia!