20 Jan 2016

Benda Sama Dengan Nama Baharu

Memandangkan 19 daripada 20 cerpen dalam antologi Sedegup Cinta (2015) mengangkat tema, latar dan budaya masyarakat Melayu-Islam, buku selenggaraan AC Jaffrie dan Monalita Mansor ini boleh dibaca khusus untuk mendalami minda Melayu.

Grup Mari Menulis (GMM) selaku penyelenggara antologi ini telah membuka peluang kepada para ahli mengemukakan cerpen berintikan tema cinta tetapi disampaikan secara unik dan estetik dari segi latar, perwatakan dan gaya penceritaan.

Walaupun aspek bahasa gramatis khabarnya diambil kira sebagai salah satu kriteria pemilihan, ternyata pelbagai kesilapan ejaan dan bahasa – khususnya penggunaan “ke” secara tidak betul – masih berleluasa.

Pada tahun-tahun awal 1980-an, saya sering membaca cerpen-cerpen dalam majalah hiburan URTV. Bukan kerana mahukan karya bermutu tinggi yang mencabar minda, tetapi sekadar bacaan ringan pada waktu terluang.

Cerpen-cerpen dalam Sedegup Cinta secara spontan mengingatkan saya kepada pengalaman itu. Tema dan persoalan, gaya penceritaan, plot dan konflik yang disajikan para penulis tidak jauh berbeza.

Hal ini bermakna cabaran, persoalan, isu dan citra masyarakat Melayu masa sekarang tidak jauh berbeza dengan situasi 1980-an. Atau sekurang-kurangnya begitulah diandaikan dan digambarkan para penulis terbabit.

Dalam beberapa cepen, watak tertentu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Beberapa watak berada dalam koma bagi tempoh agak lama. Beberapa watak ada penyakit kronik.

Kebanyakan watak menghadapi dilema dalam memilih antara Si A dan Si B untuk dicintai atau dikahwini. Sebagaimana kebanyakan filem Tamil dan Hindi, segala masalah selesai dengan perkahwinan (pernikahan).

Tema dan persoalan disajikan para penulis memang tidak mampu menjentik minda pembaca yang inginkan bahan bacaan yang mencabar intelektualiti.

Akan tetapi, kesemua cerpen ini masih seronok dibaca secara santai untuk memahami pemikiran dan minda masyarakat Melayu. Tambahan pula, sesungguhnya fiksyen dan cereka adalah cerminan dan citra budaya masyarakat.

Berbeza dengan cerpen-cerpen dalam majalah URTV pada tahun 1980-an, rata-rata cerpen dalam antologi Sedegup Cinta menampakkan pengaruh filem Hindi, filem Tamil dan drama Korea.

Suatu lagi perbezaan ketara – pada penelitian saya – terletak pada pemilihan nama watak. Berbeza dengan watak-watak tahun 1980-an, watak Melayu kini diberikan nama seperti Esya, Narssimo, Angelo, Anura, Auni Batrisya dan Ammar Naufal.

Nama-nama lain termasuk Ayunie, Zariq, Aliya Batrisya, Dani Arfan, Nuran Syaziah, Azril Faizal, Nur Ifti Atila, Ahmad Aidin Rizky, Habib Zakuan, Ashraf Daniel, Izrine, Aqil Suhayi, Izzarif Yuzli, Maizatul Syifak, Ammar Firdaus dan Naufal.

Perkara ini juga boleh dijadikan panduan untuk memahami minda dan cita rasa orang Melayu pada masa sekarang. Mungkin juga para penulis terpengaruh dengan novel-novel cinta popular terbitan Alaf21.

Dari segi nilai sastera, rata-rata penulis hanya melihat setiap persoalan pada lapisan permukaan sahaja. Kurang usaha mendalami konflik, dilema dan psikologi watak.

Memandangkan antologi ini memuatkan cerpen-cerpen yang ditulis khusus mengikut tema ditetapkan penyelenggara, muncul beberapa karya yang sekadar bercerita. Maksudnya, tiada apa-apa yang berlaku.

Ciri-ciri dan unsur-unsur sebuah cerpen masih belum dikuasai sepenuhnya. Dalam sebuah cerpen (cerita pendek) yang relatif singkat, tidak perlu menceritakan hal-hal yang tidak ada kaitan dengan kisah utama (tema).

Misalnya, dalam sebuah cerpen, diceritakan panjang-lebar kisah seorang lelaki Cina berurusan di pejabat pos. Akan tetapi, kisah itu tiada apa-apa kaitan dengan cerita lucu yang cuba disampaikan.

Tempoh masa yang mampu dipaparkan dalam sebuah cerpen juga amat pendek. Kehadiran “enam bulan berlalu”, “sebulan berlalu”, “beberapa bulan kemudian”, “lima belas bulan kemudian” dan seumpamanya menunjukkan kelemahan penulis dalam menukang cerita.

Isu dan persoalan yang disajikan ketara berlegar sekitar bercinta, bertunang, berkahwin dan bercerai. Mungkin tema “cinta” yang ditetapkan penyelenggara menyebabkan perkara ini berlaku.

Apa pun, kelahiran antologi ini perlu diraikan. Ia amat sesuai dijadikan bacaan santai untuk merehatkan otak, menghiburkan minda, serta memahami pemikiran masyarakat masa kini.

(Ulasan buku ini ditulis pada 30 November 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Disember 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Lebih banyak ulasan buku – DI SINI)