22 Jan 2016

Jeffery Deaver Sudah Hilang Sengat?

Salah satu sebab saya gemar membaca novel-novel Jeffery Deaver disebabkan elemen twist iaitu unsur luar jangkaan pada jalan cerita (plot).

Sebagaimana disebutkan dalam ulasan berjudul “Twist” (The Malaysian Insider, 26 September 2011), unsur ini yang merangsang minda secara intelektual turut saya temui dalam karya-karya Jeffrey Archer dan Ruth Rendell.

Bagaimanapun, saya lebih gemar membaca cerita pendek (cerpen) berbanding novel. Maka, cerpen oleh ketiga-tiga penulis itu turut dibaca dengan penuh minat.

Kumpulan cerpen Jeffrey Archer berjudul A Quiver Full of Arrows (1980), A Twist in the Tale (1989) dan Twelve Red Herrings (1994) digabungan menjadi The Collected Short Stories (1998) yang menarik untuk dibaca.

Manakala To Cut A Long Story Short (2000), Cat O’Nine Tales (2007) dan Thereby Hangs A Tale (2010) digabungkan menjadi The New Collected Short Stories (2011).

Malangnya, saya dapati Jeffrey Archer sudah kehilangan “sentuhan ajaib” yang pernah dimilikinya pada 1980-an dan 1990-an; sehingga saya gagal menemui apa-apa kejutan dalam kumpulan cerpen terbarunya.

Sementara itu, kumpulan cerpen sulung Jeffery Deaver berjudul Twisted (2003) sangat mengujakan dan dipenuhi lencongan yang mendebarkan.

Saya menikmati cerita-cerita yang mempunyai dua twist iaitu jalan cerita berubah di luar jangkaan sebanyak dua kali dan pembaca tegar seperti saya mendapat dua kejutan dalam setiap cerpen.

Maka, kehadiran buku More Twisted (2006) amat menggembirakan saya kerana mahu menikmati lebih banyak cerpen yang menampilkan twist dan unsur kejutan yang masih amat logik.

Malangnya, sebagaimana saya nyatakan dalam ulasan berjudul “Twist Bersama Archer” (The Malaysian Insider, 4 Februari 2012), cerpen-cerpen dalam buku More Twisted tidak sehebat Twisted.

Kehadiran kumpulan cerpen ketiga daripada Jeffery Deaver berjudul Trouble In Mind (2014) membuatkan saya berharap kehebatan dalam Twisted dan novel-novelnya dapat dinikmati semula.

Pada bahagian catatan pengarang (prakata), Jeffery Deaver yang sudah menghasilkan 31 novel menjanjikan twists, thriller, saspens dan unsur luar dugaan.

Namun begitu, pengalaman saya membaca cerpen-cerpen ini pada Disember 2015 ternyata gagal memberikan kepuasan yang diharapkan.

Terus-terang, saya jadi mengantuk sewaktu membaca beberapa cerpen kerana gaya penceritaan yang meleret-leret.

Cerpen pertama berjudul “Fast” dan sepanjang 43 halaman  serta membuatkan saya terasa bosan.

Hanya apabila memasuki halaman 22, cerita mula menjadi sedikit menarik, tetapi kembali membosankan pada halaman seterusnya; kemudian mula menjadi sedikit menarik pada halaman 34.

Cerpen pertama ini ada unsur anti klimaks sebanyak dua kali; sedangkan saya mengharapkan unsur twist sebanyak dua kali!

Buku setebal 434 halaman ini memuatkan 12 cerpen yang berbeza kepanjangan. Ada yang sepanjang 14 halaman dan ada pula yang panjangnya 116 halaman.

Pembaca yang mengenali watak Lincoln Rhyme menerusi novel The Bone Collector hingga The Kill Room, serta watak Kathryn Dance menerusi The Sleeping Doll dan Roadside Crosses mungkin puas membaca beberapa cerpen yang menampilkan mereka dalam buku ini.

Rata-rata cerpen-cerpen dalam Trouble In Mind tidak sehebat Twisted; malah tidak mencapai tahap More Twisted.

Mungkin kerana saya telah awal-awal lagi meletakkan harapan yang terlalu tinggi semasa membeli buku ini.

Semoga kedatangan 2016 menjanjikan cerpen-cerpen penuh twist daripada Jeffery Deaver dan Jeffrey Archer. Baca juga - Top Ten Twists In Fiction.

(Ulasan buku ini ditulis pada 1 Januari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 Januari 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Lebih banyak ulasan buku – DI SINI)