Thursday, 10 October 2013

Jejaka Bertopi Keledar Jepun dan Siru Kambam

Sebelum ini saya tidak pernah mendengar ataupun mengetahui akan nama Siru Kambam. Ketika Uthaya Sankar SB (yang suka membahasakan dirinya “Pak Cik”) mengumumkan mengenai penerbitan buku Kisah dari Siru Kambam, sekali lagi saya menyangka bahawa beliau mahu menerbitkan buku mengenai sebuah tempat ataupun bertemakan negara India. Sungguh! Sehingga ke tahap itu jangkaan saya.
 
Mengenai kumpulan cerpen ini, apa yang saya perolehi adalah kepuasan membaca dan meneroka jiwa manusia. Biarpun lokasi dan dominasi wataknya berkisar kehidupan masyarakat India, realitinya melangkah lebih jauh melepasi batas agama, budaya dan bangsa. Saya tidak membaca “kaum India” pada buku ini tetapi melihat “diri kita semua” ada pada setiap ceritanya. Itu antara elemen istimewa yang dapat kita rasakan apabila membaca buku ini.
 
Sewaktu membaca cerpen “Doa Tahun Baru”, saya ikut seronok meraikan kegembiraan anak-anak yang menyambut tahun baru Chittirai; persediaan mereka, penglibatan ibu bapa dalam menyiapkan anak-anak mereka. Namun begitu ia tetap sebuah cerpen yang sukar dijangkakan di mana pengakhirannya bukanlah seperti yang selalu diharapkan iaitu kegembiraan. Di sini, selain belajar mengenai budaya, saya turut mempelajari teknik penulisan yang sangat berguna.
 
Akhir sekali, saya berpendapat buku ini merupakan bahan bacaan pilihan saya, terbaik; berasa bertuah kerana turut sama terlibat dalam penerbitannya biarpun hanya sumbangan yang sangat kecil (sebagai individu yang membuat tempahan awal berbayar dengan nombor siri 060).
 
Rafi Harumin, seorang pegawai imigresen dari Kota Kinabalu, Sabah adalah penulis buku Kisah Orang Kaunter (2013).