11 Mar 2013

Kondom 1Malaysia

[Gagasan murni yang diperkenalkan Najib seperti sudah dijadikan alat oleh kroni dan kapitalis untuk mengaut keuntungan.]
 
Ada idiom Inggeris berbunyi “the straw that broke the camel’s back” yang sebenarnya berasaskan peribahasa Arab. Peribahasa dengan makna yang hampir sama juga ditemui dalam Bahasa Belanda, Perancis, Itali, Portugis, Rusia, Sepanyol dan Turki.
 
Peribahasa itulah yang muncul secara spontan dalam minda apabila saya mendapat tahu mengenai program Roti 1Malaysia yang diperkenalkan pada Ogos 2011 dan Persatuan Kebajikan Program Roti 1Malaysia yang dilancarkan pada 7 Januari 2013.
 
Dua hari sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan AirAsia 1Malaysia Integration Programme serta memuji syarikat penerbangan itu kerana mengangkat semangat 1Malaysia (selepas ini: 1M) bagi meningkatkan peluang perpaduan dan hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung (The Star, 6 Januari 2013).
 
Nampaknya, kini semua benda dan bukan benda di negara bertuah ini wajib menggunakan nama 1M padanya. Kalau anda tidak percaya, cuba dengar radio, tonton televisyen, baca akhbar/majalah atau pandang sekeliling. Berapa banyak 1M yang kelihatan atau kedengaran?
 
Gagasan 1M yang sebenarnya dimulakan sebagai “Satu Malaysia” diperkenalkan oleh Najib pada 2 April 2009. Kemudian, sedikit demi sedikit, makna, hala tuju dan konsep gagasan yang amat absurd itu didedahkan menerusi laman sesawang yang khabarnya diuruskan sendiri oleh beliau. Intipati 1M adalah pembinaan satu bangsa tanpa perbezaan kaum, etnik, agama dan budaya.
 
Pada 27 Jun 2009, sekitar 11,500 penduduk pelbagai kaum dilaporkan hadir pada pelancaran logo 1M di Dataran Merdeka sambil terlibat sama dalam acara Senam Seni Malaysia dan mendengar lagu 1M (Utusan Malaysia, 28 Jun 2009).
 
Segala kemeriahan dan laungan 1M – bukan lagi “Satu Malaysia” – giat dirancakkan oleh para penyokong Barisan Nasional (BN) dan parti-parti yang bernaung di bawahnya. Hal ini paling ketara apabila tanpa segan-silu, BN mengambil logo 1M dan memasukkannya pada nama “Bar1san Nas1onal”.
 
Langkah kurang cerdik itu sekali gus menjadi titik awal Rakyat mula celik mata dan sedar bahawa gagasan 1M bukan sebenarnya gagasan yang dibawakan Perdana Menteri Malaysia atau Kerajaan Malaysia, tetapi oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO dan Kerajaan BN. Logo 1M dijadikan milik dan simbol mewakili BN dan konco-konconya.
 
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga ternyata menyedari kecelaruan dan tindakan kurang cerdik yang sedang dilakukan UMNO, MIC, MCA, Gerakan dan parti-parti politik lain dalam BN serta pegawai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang mula “lebih sudu daripada kuah” dalam mengangkat propaganda BN menerusi slogan 1M. Sebab itulah pada 2 Ogos 2010, beliau meminta supaya pengertian sebenar slogan 1M dijelaskan dengan terperinci bagi mengelakkan salah anggap.
 
Apa sebenarnya 1Malaysia?
 
Orang ramai pasti masih ingat keputusan Kerajaan Negeri Selangor pada 22 Disember 2011 melarang logo 1M pada papan-papan iklan di negeri itu kerana konsep 1M yang dilaung-laungkan itu ternyata bermotif kepartian/politik dan bertentangan dengan undang-undang  larangan mempamerkan iklan berbaur politik. Larangan itu kemudian ditarik balik demi mempertahankan sikap demokrasi yang diamalkan di Selangor.
 
Terdahulu, pada 19 Oktober 2010, saya menulis pada ruangan status Facebook bahawa jika saya terpaksa meletakkan apa-apa nombor/angka di depan nama tanah air, saya memilih 7 tanpa apa-apa alasan. Bagi saya, “7M” kelihatan dan kedengaran cantik dan seksi. Demikian juga saya tegaskan dalam catatan blog pada 1 November 2010 – BACA DI SINI.
 
Angka “1” (numerik) biasanya merujuk (tetapi tidak terhad) kepada ukuran unit manakala perkataan “satu” (one) membawa makna yang lebih mendalam. “1” adalah fizikal/luaran dan “satu” pula dalaman/semangat.
 
Sekadar contoh yang paling mudah difahami masyarakat kita: “Saya ada 1 isteri, 2 kereta, 3 rumah, 4 buku.” Angka yang digunakan di sini merujuk pada “unit” dan “jumlah”. Bezakan apabila individu itu berkata, “Kesemua isteri saya satu kepala; asyik mengomel.” Dalam hal ini, perkataan “satu” tidak bermakna keempat-empat isteri berkenaan berkongsi satu (angka) kepala! Sebaliknya mereka memiliki pemikiran atau perangai yang sama.
 
Bezakan pula kalau lelaki yang sama merungut: “Kesemua isteri saya ada 1 kepala.” Dalam konteks ayat ini, tentulah sedikit melucukan kerana “1” tentu sahaja merujuk pada “angka” (empat isteri berkongsi 1 kepala) atau bahawa memang setiap isteri itu normal dan masing-masing ada 1 kepala.
 
Begitulah juga – pada pandangan saya – apabila angka atau pun nombor “1” diletakkan di hadapan “Malaysia” menjadi 1M. Kalau anda merasakan saya silap, cubalah membazir masa bertanya kesemua menteri: apa yang sebenar-benarnya mereka faham tentang konsep 1M.
 
Percayalah, anda akan mendapat puluhan jawapan; tentunya tidak termasuk menteri-menteri yang tidak tahu bercakap, tidak mahu bercakap, tidak dibenarkan bercakap, tidak dapat dihubungi, tidak boleh dihubungi, tidak dapat dikesan, tidak mahu komen, menunggu arahan Perdana Menteri dan entah apa lagi.
 
Dan kalau pun ada menteri-menteri yang bercakap – memang ramai yang pantang diberi peluang bercakap, khususnya apabila ada kamera televisyen sedang merakam – mereka akan hanya mengeluarkan kenyataan berciri retorik yang sedikit pun tidak membantu menjawab pertanyaan “Apa yang anda sebenar-benarnya faham mengenai konsep 1M”!
 
Bandingkan pula apabila digunakan frasa “Satu Malaysia”. Kita tidak memerlukan seorang menteri yang tidak berpelajaran sekali pun untuk memahami bahawa konsep “satu” (one atau oneness) membawa makna “kesatuan”, “perpaduan”, “integrasi” dan seumpamanya yang sebenarnya sudah terangkum indah dalam konsep “Bangsa Malaysia”.
 
Malangnya, pada 5 Ogos 2010, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan mempertikaikan konsep “Bangsa Malaysia” yang diperkenalkan Mahathir. Agak menarik kerana pada 6 Jun 2009, Najib secara terbuka mengakui bahawa matlamat akhir konsep 1M adalah “perpaduan nasional” – iaitu pembinaan Bangsa Malaysia.
 
Bagi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, “bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1M” (Berita Harian, 10 Julai 2012).
 
Gagasan PM disabotaj politikus, kapitalis
 
Dalam segala kecelaruan pemahaman dalam kalangan orang BN itu sendirilah masing-masing tidak mahu melepaskan peluang meletakkan 1M pada segala benda dan bukan benda asalkan boleh mengampu Pengerusi BN. Masih ingat bagaimana segala-segalanya dikaitkan dengan “hadhari” semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri?
 
Kini, kita ada pelbagai barangan dan bukan barangan berkonsepkan 1M. Senarai itu pasti tidak akan berkesudahan selagi masih ada penyokong dan juak-juak yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan sesuatu yang diharapkan dengan memperkenalkan segala macam barangan berkonsepkan 1M.
 
Perlukah mereka faham apa makna sebenar 1M? Tidak perlu. Letakkan sahaja 1M pada hujung nama barangan – Kerusi 1M, Mangkuk Tandas 1M, Jamban 1M, Tangga 1M, Lampu 1M – dan semua pihak (baca: Rakyat) sepatutnya berfikir bahawa barangan itu selaras dengan gagasan 1M.
 
Siapa yang akan berani bersuara dan mempersoalkannya apabila Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO sendiri – atau isteri beliau atau wakil kepada isteri beliau – yang datang merasmikan pelancaran barangan/perkhidmatan itu.
 
Pada pertengahan tahun lalu (Jun 2012), saya ada mendengar mengenai program 1Murid 1Sukan yang heboh buat seketika dan kemudian hilang begitu sahaja. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya Kementerian Pelajaran berjaya mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records selepas mewajibkan (ulang: mewajibkan) lebih 3.6 juta pelajar/murid terlibat dalam Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan peringkat kebangsaan pada 10 Julai 2012.
 
Anda mahu bergaya dengan memakai seluar dalam 1M? Ada. Buku latihan 1M? Ada. Pensel, pen, tandas, lampin, tisu, songkok, stokin, gincu, biskut, mihun, minyak masak atau apa sahaja yang boleh anda bayangkan, semuanya pasti ada. Mulakan pencarian anda di Kedai Rakyat 1M.
 
Saya tidak akan terkejut jika ada Kondom 1M yang secara khusus mencetak logo 1M bukan hanya pada pembungkus tetapi pada kondom itu sendiri supaya pasangan yang menggunakannya akan dapat “menikmati” sepenuhnya semangat 1M. Hal ini tidaklah menghairankan kerana Bernama pada 13 Januari 2012 melaporkan bahawa “Malaysia kini di ambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia”.
 
Segala apa yang berlaku di negara bertuah ini memberikan gambaran seolah-olah gagasan murni 1M yang diperkenalkan Perdana Menteri tercinta sudah menjadi mainan dan disabotaj parti politik, politikus dan kapitalis untuk kepentingan dan keuntungan peribadi, keluarga dan kroni.
 
Terbaru, pelancaran Persatuan Kebajikan Program Roti 1M yang melibatkan beberapa hotel, bakeri, sukarelawan, penaja, pertubuhan belia dan beberapa syarikat. Dengan adanya persatuan ini, akhirnya penghuni rumah kebajikan seperti anak-anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), penghuni penjara serta kanak-kanak dalam Program Permata Negara (PPN) akan mampu makan roti dan pastri.
 
Datin Seri Rosmah Mansor yang melancarkan program itu dilaporkan meminta, “pastikan roti dan croissant ini sampai kepada anak-anak ini, sebab saya tidak fikir anak-anak daripada pusat Permata pernah mengecapi croissant. Jadi, tolonglah beri mereka peluang untuk merasai croissant.”
 
Memandangkan BN akan terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, saya percaya bahawa pemberian percuma roti dan croissant (Oh, maaf! Roti 1M dan Croissant 1M) akan diperluaskan pula ke seluruh negara untuk selama-lamanya. Kita sebagai Rakyat perlu ingat bahawa segala barangan dan perkhidmatan yang ada “1M” pada namanya adalah projek BN dan bukan sekadar projek Kerajaan Malaysia.
 
Selepas anda seronok dan puas menggunakan Kondom 1M, kini masa balas budi.
 
[Makalah ini ditulis pada 8 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]