Tuesday, 19 February 2013

Rakan Mengembara

Saya suka mengembara dan berjalan-jalan ke tempat-tempat yang kurang diketahui atau diminati kebanyakan orang.
 
Memang banyak tempat menarik untuk dikunjungi di dalam negeri (Malaysia) dengan kos yang murah/sederhana. Bukanlah melawat bangunan-bangunan batu; tetapi tempat-tempat semula jadi yang kurang dikenali. Tempat yang dihuni masyarakat biasa.
 
Apabila ada peluang dan masa terluang, saya bercadang berjalan-jalan ke beberapa tempat menarik yang kurang dikenali orang. Sebagai seorang penulis, tentu sahaja kunjungan ini turut bertujuan mengumpulkan pengalaman dan bahan bagi penulisan.
 
Bagi tujuan “pengembaraan” ini, saya memerlukan rakan mengembara (travel mate; travel buddy) yang sesuai dan serasi untuk menemani saya.
 
Saya tidak mahu melancong atau berjalan-jalan dalam kumpulan besar. Biarlah dua orang sahaja supaya dapat meluangkan masa bersama-sama sambil berbual-bual, menambah pengalaman dan mengumpulkan bahan; serta merakamkan foto di tempat-tempat yang dikunjungi. Boleh juga berkongsi panduan dan pengalaman menulis.
 
Rakan mengembara yang dicari mestilah seorang individu yang sederhana – bukan mengharapkan tempat penginapan mewah atau layanan/makanan mewah atau kereta mewah.
 
Sebaliknya rakan mengembara yang sedia tinggal di hotel (rumah tumpangan) murah serta menikmati makanan yang sederhana sahaja. Tidak mengharapkan sebarang kemewahan atau layanan istimewa.
 
Kos perjalanan (petrol, tol, hotel) boleh saya tanggung sementara kos makan-minum, pembelian barangan/cenderamata dan sebagainya perlu ditanggung sendiri.
 
Individu terbabit sebaik-baiknya orang bujang. Orang yang sudah berkeluarga atau ada kekasih atau sedang hangat bercinta mungkin akan terlalu sibuk berfikir tentang suami, isteri, anak atau kekasih. Jika begitu, lebih baik mereka duduk di rumah sahaja!
 
Individu terbabit juga mestilah mampu hidup selama dua hari tanpa meluangkan masa berjam-jam bersama-sama telefon pintar (smart phone) untuk berkomunikasi dengan orang lain (SMS, berbual, Facebook, WhatsApp dan sebagainya). Lebih baik mereka duduk di rumah sahaja!
 
Rakan mengembara yang saya cari mestilah seorang individu yang mesra dan suka berbual secara terbuka serta suka akan pengalaman baru (adventure).
 
Kaum, agama, pekerjaan dan seumpamanya tidak menjadi persoalan asalkan kita mampu saling memahami dan menghormati. Umur sebaik-baiknya antara 18 dan 38 tahun.
 
Wanita Muslim tidak digalakkan kerana rakan mengembara perlu berkongsi bilik dengan saya.
 
Biasanya saya suka memulakan perjalanan pada awal pagi Sabtu dan pulang menjelang/sebelum petang Ahad. Selama tempoh itulah juga rakan mengembara perlu bersedia untuk “berpisah” dengan dunia telefon pintarnya.
 
Jika ada sesiapa yang berminat, sila hubungi saya menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my [jangan tertinggal .my] atau kirim mesej menerusi www.facebook.com/uthaya untuk mengatur jadual perjalanan.