22 Oct 2012

Antologi Pantun Cinta Berahi

Sejak kecil, anak-anak pelbagai kaum – dan pelbagai aliran sekolah – di Malaysia sudah dibiasakan dengan pantun. Nyanyian lagu “Rasa Sayang” misalnya pasti tidak lengkap tanpa pantun-pantun empat kerat yang dilagukan.
 
Walaupun zaman berubah dan masing-masing mahu (serta diminta) melakukan transformasi, hubungan kehidupan masyarakat dengan pantun tradisional tetap kekal abadi. Hal ini bukan hanya dalam kalangan kaum Melayu, tetapi juga dalam kalangan kaum-kaum lain di Malaysia.
 
Misalnya, masyarakat Chetti dan Baba Nyonya di Melaka sudah sebati dengan pantun. Anak-anak muda juga sering menggunakan pantun – tradisional dan moden – apabila berkomunikasi secara lisan atau bertulis. Secara disedari atau tidak disedari.
 
Maka penerbitan buku Sekuntum Pantun dan 99 Kelopak Cinta (2012) tetap mendapat sambutan masyarakat. Tambahan pula, frasa “antologi pantun cinta berahi” turut terpapar pada kulit buku setebal 132 halaman ini.
 
Jimadie Shah Othman selaku penyunting melakukan usaha yang sangat baik apabila menghuraikan pelbagai maklumat berkaitan pantun pada bahagian prakata yang diberikan tajuk “Tentang Dangdut Melayu”.
 
Sejumlah sembilan penulis berumur 20-an, 30-an dan 40-an masing-masing menyumbangkan 11 pantun asli (moden) yang tetap berusaha mengekalkan ciri-ciri pantun tradisional.
 
Mereka ialah Al-Abror Mohd Yusuf, Fakrul Fadzin, Fazallah Pit, Hafiz Hamzah, Hazlan Zakaria, Jimadie Shah Othman, Rusnizam Mahat, Shahrul Nizam Daud dan Tengku Vida Tengku Azlan.
 
Saya tidak mahu mengulas mengenai unsur “cinta” dan “berahi” yang dijanjikan pada judul buku. Saya juga tidak mahu memberi penilaian terhadap kualiti setiap pemantun terbabit.
 
Apa yang lebih penting adalah bahawa sewaktu membaca pantun-pantun di dalam buku ini, saya secara spontan teringat akan zaman persekolahan di mana saya bersama-sama rakan-rakan berusaha berbalas pantun – secara lisan dan bertulis. Suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan.
 
Amalan berpantun sesungguhnya membantu menajamkan minda, mengembangkan daya kreativiti, membina keyakinan diri, membaiki kemampuan berkomunikasi dan meneruskan tradisi. Kesemua ciri ini penting dalam usaha membina insan kamil seperti diinginkan.
 
Tentu sahaja Sekuntum Pantun dan 99 Kelopak Cinta kurang sesuai dijadikan teks bacaan tambahan di sekolah. Bagaimanapun, guru-guru masih boleh mengambil inisiatif memperkenalkan semula pantun kepada generasi muda.
 
Bagi remaja dan dewasa, bolehlah mengimbau kenangan silam kehebatan pantun Melayu dengan menghayati pantun-pantun di dalam buku ini. Mana tahu, akan lahir idea untuk mengarang pantun sendiri selepas itu. Suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan.
 
(Ulasan ini ditulis pada 6 September 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 September 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)