Pengalaman banyak mengajar kami menjadi dewasa. Pengalaman mengajar kami
supaya tidak berkompromi terhadap apa yang boleh kami minta daripada pihak
berkuasa.
Tentu sekali ada penduduk dalam kalangan kami yang melahirkan pandangan
yang berbeza. Mereka mengatakan bahawa apa yang saya dan rakan-rakan saya
harapkan tidak mungkin membawa apa-apa pulangan.
Cubalah saudara dengar kisah ini dan membuat keputusan sendiri.
“Kita sepatutnya meminta jalan bertar. Kita sepatutnya meminta bangunan
sekolah. Kita sepatutnya meminta bantuan modal untuk memulakan perniagaan.”
Demikian pandangan sekumpulan penduduk. Lalu, itulah yang telah mereka
minta daripada beberapa calon pilihan raya yang datang berkunjung dari rumah ke
rumah.
Mereka meminta jalan bertar bagi kampung kami. Mereka meminta bangunan
batu bagi sekolah di kampung kami. Mereka meminta bantuan modal untuk memulakan
perniagaan.
Semuanya mereka dapat dengan segera daripada beberapa calon yang
sebenarnya mendapat sokongan kuat daripada badan induk tertentu. Jika tidak,
masakan semua permintaan itu dapat ditunaikan segera – janji ditepati – dalam masa seminggu
sahaja sepanjang tempoh berkempen.
Namun begitu, majoriti penduduk Siru Kambam masih berfikiran rasional.
Kami tidak mudah termakan pujukan dan rayuan. Seperti yang saya nyatakan, kami
tahu apa yang harus dan boleh kami harapkan.
“Adakah itu yang anda semua harapkan daripada seorang wakil rakyat?”
Bergema suara lantang calon yang berkempen di kampung kami bagi kali
ketiga. Ramai yang berkumpul di keliling pentas kecil untuk mendengar
ceramahnya. Maklumlah, dia calon pilihan pucuk pimpinan peringkat kebangsaan.
“Sekadar jalan bertar? Yang pasti akan rosak dalam masa beberapa minggu
sahaja!”
Dipandang dan ditenungnya para hadirin hampir semua. Keningnya berkerut
sedikit seketika. Mungkin dia sedar bahawa kebanyakan orang yang hadir
mendengar ceramah bukan penduduk Siru Kambam. Sebaliknya, penduduk luar yang
hadir atas beberapa alasan dan tujuan.
Pertama, makanan dan minuman percuma disediakan. Kedua, mahu terhibur
mendengar ceramah politik calon-calon pilihan raya.
“Atau sekadar bangunan tambahan sekolah yang akan runtuh bila-bila masa
sahaja sebaik keputusan pilihan raya kecil ini diumumkan?”
Hadirin hanya mendengar dengan tekun. Ada yang berpandangan – seperti mencari-cari
kelibat beberapa penduduk yang mengemukakan senarai permintaan sedemikian
kepada calon-calon yang bertanding.
Calon yang sedang berucap (baca: berkempen) di pentas terdiam seketika
untuk memberikan kesan dramatik pada ucapannya; sebagaimana diajar oleh para
sekutunya sejak hari penamaan calon.
Kemudian, perlahan-lahan dikeluarkannya sekeping poster yang memang
sudah pun diedar ke serata Siru Kambam sejak kempen bermula. Pada poster itu
terpampang apa yang dijanjikan oleh calon berkenaan sekiranya diangkat menjadi
wakil rakyat.
“Inilah yang anda perlukan. Inilah yang kami janjikan. Inilah yang akan
kami berikan. Janji ditepati. Untuk inilah anda semua perlu berfikir secara
bijak dan penuh rasional. Ada calon yang cuba
menipu anda dengan menjanjikan – malah, memberikan – jalan bertar, bangunan
sekolah dan bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan. Semuanya janji capati.”
Sebahagian hadirin mengangguk. Mungkin sebagai menyetujui kata-kata
penceramah alias calon. Mungkin juga sebagai memperakukan bentuk bantuan yang
sudah diterima daripada calon-calon yang dimaksudkan.
“Kalaulah anda bertindak bijak mengundi saya pada pilihan raya, saya
tidak akan memungkiri janji. Saya tidak akan mengulangi kesilapan dan dosa yang
dilakukan wakil rakyat terdahulu,” tambahnya dengan suara merdu.
Seketika, orang ramai teringat akan wakil rakyat yang mati dipijak gajah
beberapa bulan lalu. Saya percaya bahawa dalam diam, mereka tidak terasa
kehilangan wakil rakyat itu. Maklumlah, dia amat jarang turun padang .
“Lupakan mendiang yang gagal berkhidmat kepada penduduk di sana .”
Demikian presiden kebangsaan Pertubuhan Politik India (PPI)
dilaporkan memberitahu sidang media.
“Kali ini, PPI meletakkan calon yang berjiwa rakyat. Calon yang tidak
punya rumah sendiri. Calon yang akan sering bertandang ke rumah rakyat. Calon
yang tidak punya kerja tetap. Calon yang kerja hakikinya menjadi suara sebenar
rakyat. Calon yang tidak dibenci gajah dan masyarakat.”
Demikian presiden kebangsaan PPI dilaporkan berucap di hadapan penduduk
Siru Kambam.
Apa yang nyata, peluang mengundi pada pilihan raya kecil kali ini wajar
kami gunakan untuk mendapatkan hanya yang terbaik daripada wakil yang bakal
kami pilih secara demokrasi. Kuasa sesungguhnya di tangan Rakyat.
Calon parti pemerintah atau calon parti pembangkang atau calon bebas
bukan menjadi persoalan. Apa yang kami tahu adalah bahawa kami akan mengundi
calon yang benar-benar mampu memberikan apa yang dijanjikan; apa yang diimpikan.
“Hanya parti yang saya wakili boleh merealisasikan apa yang saya
janjikan. Dan saya tahu bahawa itulah juga yang anda semua harapkan daripada
seorang wakil rakyat,” hujah calon pilihan.
Memang pada saat itu, rata-rata kami tahu bahawa dia bercakap benar.
“Setelah sekian lama tertipu dan hampa dengan segala janji manis dan
janji capati yang diberikan, kali ini anda pasti sudah cukup dewasa dan matang
fikiran. Anda tentu tahu bahawa kami mampu memberikan ini kepada anda.”
Sambil berucap, dia mengibar-ngibarkan poster yang dimaksudkan. Pada
poster itu tertera apa yang dijanjikan: Nating.
Itulah yang dijanjikan. Itulah yang mampu diberikan. Itulah sahaja yang
diharapkan oleh penduduk Siru Kambam daripada seorang wakil rakyat. – Bersambung
[Uthaya Sankar SB menentang sekeras-kerasnya segala bentuk
penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan oleh mana-mana
pihak. Bahagian 1 cerpen ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 13 Ogos 2012 manakala
Bahagian 2 disiarkan pada 20 Ogos 2012. Versi asal disiarkan di akhbar Mingguan
Malaysia pada 27 Mei 2007. Sila KLIK DI SINI untuk lebih banyak cerpen.
© Uthaya Sankar SB]