Tadi di tengah jalan, dia menemui Jamal.
Itu pun sekadar berpapasan. Cepat-cepat lelaki bertubuh gempal itu melarikan
diri.
“Badannya sudah susut
sedikit,” fikirnya sambil tersenyum. “Rasakan! Dulu awak tak mau beri sedekah
kepada saya. Sekarang apa nasib awak? Awak pun dah boleh jadi peminta sedekah
macam saya!”
Puas rasa di hatinya mengenangkan nasib
yang menimpa Jamal.
“Rasakan!” bisik hatinya berulang kali.
Dia terdiam tiba-tiba. Teringat akan apa
yang didengarnya daripada rakannya pagi tadi membuatkan hatinya kecut sesaat.
“Benarkah Tuan Kamal sudah papa?” tanyanya
kepada diri sendiri.
Dia pasti bahawa orang lain tidak akan
menjawab pertanyaannya kerana dia sendirian pada waktu ini. Masing-masing rakan
peminta sedekah yang lain sudah pergi ke lorong-lorong yang biasa dilalui bagi
meminta sedekah daripada orang ramai yang sudi memberi.
“Kalau benar cerita itu, habislah aku!”
Dia mempercepatkan langkahnya; bagaikan
tidak sabar untuk segera sampai di halaman rumah Tuan Kamal dan merayu dengan
suara yang sayu dan mendayu.
“Tuan Kamal. …”
Disebut-sebutnya nama keramat itu berulang
kali dengan suara yang perlahan.
“Ya, dialah tuan aku. Manusia pemurah
itulah tuan aku. Semoga Tuhan sentiasa melindunginya daripada segala
kesusahan.”
Dua bulan lalu, dia benar-benar kebulur.
Memang. Memang dia akui kemalasan dirinya mencari rezeki yang halal. Memang dia
selesa hidup sebagai peminta sedekah; meminta-minta.
Itulah sahaja kerja yang diketahuinya. Dia
belajar meminta sedekah sejak usia muda. Dia hanya perlu pergi dari rumah ke
rumah dan merayu bagi mendapatkan sedikit simpati. Teknik berpolitik yang
sungguh baik dan menjadi amalan turun-temurun.
Usahanya sentiasa berjaya. Dia sudah arif
akan sikap masyarakat yang cepat kasihan melihat orang sepertinya. Untuk
menjayakan lagi usahanya, dia mengenakan pakaian yang lusuh.
Wajahnya sudah terlatih sejak usia muda
untuk sentiasa kelihatan sayu. Malah itulah senjatanya dalam memastikan
perutnya sentiasa berisi; hasil makanan yang disedekahkan oleh orang ramai.
Hampir dua bulan lalu, dia menghadapi
masalah mendapatkan simpati dan makanan. Orang ramai memberikan alasan tidak
ada makanan lebih akibat kegawatan ekonomi. Mereka sudah mula menyahut seruan
kerajaan supaya berjimat cermat.
Hampir lima hari dia tidak makan. Akhirnya
dia memutuskan untuk mencuba nasib di Siru Kambam. Dia meninggalkan Peria
Pattanam dan berjalan menuju ke sini.
Lega hatinya apabila mendapati ada beberapa
peminta sedekah di kampung ini. Dia gembira kerana hal itu bermakna golongan
pengemis sepertinya ada peluang untuk ‘hidup’ di sini dengan hasil sedekah.
Rumah pertama yang ditujunya adalah banglo
kepunyaan Jamal.
“Dia orang kaya tapi amat kedekut. Jangan
bazir masa pergi ke rumahnya.” Demikian seorang rakan pengemis menasihatkannya
awal-awal dahulu.
“Rumah di hujung lorong nombor tiga di sebelah
kiri pula rumah Zamal. Ah, nama apalah itu! Tapi itu hak dia; hak ibu bapa dia.
Cuma saya nak nasihatkan engkau supaya jangan ke rumahnya.”
“Zamal hidup sederhana. Kalau engkau ke
rumahnya, mesti mengikut masa yang ditetapkan olehnya. Kalau kau terlewat
seminit atau awal seminit, habuk pun kau tak akan dapat,” tambah seorang lagi.
“Jadi ke mana aku harus pergi?” tanyanya
dengan tidak sabar kerana perutnya semakin terasa lapar.
“Ke rumah adik bongsu kepada Jamal dan
Zamal.”
“Tuan Kamal amat pemurah. Walaupun dia agak
miskin berbanding kedua-dua abangnya, dia baik hati,” salah seorang pengemis
berwajah kusut memuji-muji.
“Kita boleh ke rumahnya pada bila-bila masa
dan dia pasti memberi makanan. Tuhan sahaja yang boleh membalas jasanya.”
Lalu dia mengikut para pengemis berkenaan
ke rumah Kamal pada hari pertama. Akan tetapi, lama-kelamaan, timbul pula
keinginan dalam hatinya untuk melompat parti dan mencuba nasib di rumah Jamal
dan Zamal.
“Mungkin tuan punya banglo ini akan
memberikan aku makanan yang enak. Aku mesti pandai merayu kepadanya,” fikirnya
apabila sampai di halaman banglo berkenaan.
“Mau apa?” tanya Jamal yang berwajah bengis
melalui tingkap setelah pengemis itu memanggil-manggil dengan suara yang hiba
dan merayu-rayu.
“Tolonglah sedekahkan sedikit makanan.
Sudah seharian saya kelaparan.”
Jamal menghilang. Si pengemis menanti
dengan perasaan kemenangan. Sebentar kemudian, Jamal muncul di muka pintu
bersama tongkat kayu di tangan.
“Berambus kau, setan! Kau fikir ini rumah
kebajikan? Ini tempat aku mengumpul wang daripada rakyat. Kau fikir aku bodoh
untuk membelanjakan harta kekayaan aku untuk memberi kau makan? Berambus kau
sebelum kepala kau aku pecahkan!”
Lelaki itu menghayun-hayun tongkatnya
sambil terus mengeluarkan kata-kata kesat yang meletakkan martabat si pengemis
itu jauh lebih rendah daripada seekor anjing kurap.
“Rasakan! Rasakan!” katanya sendirian
sambil mengenangkan kejadian lalu sementara kakinya terus melangkah menuju ke
rumah Kamal.
“Dulu kau hina aku macam anjing. Sekarang
kau terima balasannya. Harta yang kau banggakan kini sudah tiada. Sekarang
taraf kau sama sahaja dengan aku.” Pengemis itu tertawa sendirian. “Marilah,
mari ikut aku. Kita sama-sama pergi ke rumah Tuan Kamal untuk meminta sedekah.”
Fikirannya kembali melayang ke masa lalu.
Setelah dihalau oleh Jamal, dia memutuskan untuk mencuba nasib di rumah Zamal
pula.
“Pukul berapa sekarang?”
“T … tak tau, tuan.”
“Sudah pukul dua petang! Kau fikir ini
bilik gerakan parti yang dibuka dua puluh empat jam menjelang pilihan raya bagi
memancing undi? Kau fikir kau boleh datang bila-bila masa meminta sedekah?”
Dia berdiri kaku dengan kepala tertunduk;
tidak berani memandang lelaki yang bercekak pinggang di hadapannya.
Disumpah-sumpahnya diri sendiri kerana datang ke rumah itu.
Mahu sahaja rasanya dia melarikan diri dari
hadapan Zamal sebelum lelaki berpakaian serba kuning itu mula memakinya dengan
kata-kata kesat.
“Saya tak akan beri awak apa-apa,” Zamal
meneruskan dengan suara yang keras dan bernada tegas. – Bersambung
(Faksyen ini adalah rekaan semata-mata dan tiada
kaitan dengan mana-mana politikus atau peminta sedekah yang sudah/belum
meninggal dunia. © Uthaya Sankar SB. Bahagian pertama
faksyen ini disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Julai 2012
manakala bahagian kedua disiarkan pada 9 Julai 2012. Versi asal boleh dibaca di
Sasterawan Pulau Cinta.)