[Kanak-kanak sekolah pun sudah biasa melaungkan kata-kata pujian
terhadap pemimpin itu.]
Kali ini dia menjadi manusia
pula. Peluang seumpama ini memang telah dinantikannya sejak lama dahulu.
Sebelum ini, pernah dia merayu-rayu meminta dirinya dibenarkan menjadi manusia.
Tapi tiap kali itulah juga usahanya tidak membuahkan hasil. Rayuannya sering
dipandang enteng.
“Kau tidak layak menjadi
manusia.”
Demikian jawapan yang sering
diterimanya. Tapi kini impiannya sudah tercapai. Dia menjadi manusia. Dia
benar-benar menjadi manusia. Dia benar-benar diberi kepercayaan untuk menjadi
manusia. Manusia pada erti kata yang sebenar.
“Kau jadi siapa?” tanya
rakannya yang sebelum ini sering menjadi pengawal pintu istana atau pun
pengayuh sampan.
“Manusia!”
“Itu aku tahu. Malah mungkin
semua orang sudah tahu sebab sudah kau hebohkan merata-rata,” rungut rakannya
itu. “Kau jadi siapa; maksud aku, watak siapa yang akan kau mainkan?”
Watak siapa yang akan aku
mainkan? tanyanya sendirian. Ah! Itu tidak penting. Yang penting, aku memegang
peranan seorang manusia dalam pementasan kali ini.
Sebelum ini, dia terlalu
sering diberi peranan bukan manusia. Rakannya agak beruntung kerana walaupun
dia sekadar menjadi pengawal istana atau pendayung sampan atau pak pacak,
wataknya tetap manusia.
Dirinya pula sering diberikan
peranan yang tidak memerlukan apa-apa pergerakan atau dialog. Malah ekspresi
muka pun tidak perlu. Dia hanya perlu berdiri – atau terbaring – kaku tanpa
suara.
Semasa mula-mula menyertai
kumpulan pementasan ini, dia mengharapkan peranan yang kecil sahaja. Maklum
sahaja dia tiada pengalaman mahu pun pengetahuan tentang dunia teater. Yang ada
hanya minat yang sangat mendalam.
Berbekalkan minat itulah dia merayu kepada tuan pengarah. Akhirnya dia berjaya.
Peranan pertama yang
diberikan kepadanya adalah mangkuk. Ya, mangkuk yang digunakan untuk makan
itulah. Pada mulanya dia fikir peranan ‘mangkuk’ ada makna simbolik. Mungkin
‘mangkuk’ yang dimaksudkan bukan mangkuk yang digunakan untuk makan tetapi
merujuk kepada ‘orang bodoh’.
Demikian tanggapan dan
harapannya. Tapi ternyata dia silap. Peranan ‘mangkuk’ yang dipegangnya tidak
lebih daripada peranan bekas makanan. Dia hanya perlu duduk mencanguk di atas
meja semasa pementasan. Di situlah letak duduknya sepanjang pementasan; dari
awal hingga akhir.
Mungkin ada penonton yang
menyangka ‘mangkuk’ itu akan turut memainkan peranan dalam pementasan yang
dilakukan. Tapi ternyata dia hanya menjadi prop
yang tidak berperanan dari awal hingga akhir. Dan dia tidak terlalu kecewa
kerana dia akur pada hakikat bahawa dia masih terlalu mentah dalam alam
pementasan pada waktu itu.
Kemudian dia pernah menjadi
pokok pinang dalam sebuah lagi pementasan lain. Bukan dia seorang sahaja
sebenarnya. Ada sekitar tujuh pelakon lain. Mereka hanya perlu berdiri tegak di
pentas.
Beberapa pelakon lain akan
mempersembahkan lakonan dengan berlatarkan pokok-pokok pinang itu. Itu pun
hanya bagi satu babak. Babak-babak lain menggunakan latar tempat lain di mana
pelakon lain pula yang menjadi prop
latar.
Begitulah sejak empat tahun
lalu. Dia sudah pernah memegang hampir semua peranan tidak bernyawa. Dia sudah
menjadi kerusi, meja, pokok, tiang, tembok. Malah pernah juga dia menjadi
burung hantu.
Dia perlu berlari dari
penjuru kiri pentas menuju ke penjuru kanan sebanyak dua kali sambil
mengibaskan sayap (tangan). Itu sahaja. Kemudian dia turun pentas dari arah
belakang. Habis. Pelakon-pelakon lain yang memainkan peranan-peranan lain bagi
menjayakan pementasan tersebut.
“Tahniah!” tegur seseorang.
Dia tersenyum bangga kerana
sudah dapat mengagak bahawa ucapan tahniah itu adalah kerana dia akan memegang
peranan manusia dalam pementasan teater terbaru nanti.
“Pengarah kata, kau pegang
peranan Paul Lathic,” tambah rakan tadi sambil mengerak-gerakkan kening berulang
kali.
“Paul Lathic? I don't believe this! Aku menjadi Paul
Lathic yang masyhur itu?!”
“Ya, sayang,” rakan itu
meyakinkan dengan suara manja.
“Wow! Dan kau?”
“Ah! Macam biasa sahaja ...
pak pacak.”
“Nasib kaulah,” dia berkata
dalam hati.
Sepanjang malam, dia tidak
dapat melelapkan mata. Peluang yang diterimanya benar-benar di luar jangkaan.
Bayangkan: Aku menjadi Paul
Lathic!
Siapa yang tidak kenal Paul
Lathic. Zaman kanak-kanaknya, zaman remajanya, kisah cintanya, hidup rumah
tangganya, perjuangan politiknya, hidup peribadinya serta apa sahaja yang
berkaitan dengan dirinya semuanya sudah dibukukan.
Segenap lapisan masyarakat
sudah membaca buku-buku berkenaan. Malah sebuah buku koleksi surat-suratnya
dijadikan bahan kajian oleh sejumlah sarjana bidang sastera dan kemanusiaan.
Siapa yang tidak kenal Paul
Lathic, negarawan unggul itu? Siapa yang tidak pernah kagum dengan kepimpinan
Paul Lathic. Kanak-kanak sekolah pun sudah biasa melaungkan kata-kata pujian
terhadap pemimpin itu; walaupun hanya sebagai mengulangi apa yang diajar oleh
guru-guru sekolah.
Daripada hidup sengsara di
zaman kanak-kanak, Paul Lathic bekerja keras menuju zaman kegemilangan.
Dilaluinya hidup remaja penuh pancaroba. Diredahnya alam pekerjaan yang terlalu
mementingkan pangkat dan wang.
Akhirnya dia bangkit
melaungkan kata ‘merdeka’. Serta-merta selepas itu dia dilamar oleh seorang
tokoh politik. Tugasnya adalah untuk melaungkan kata ‘merdeka’ bagi pihak parti
XYZ pimpinan tokoh berkenaan.
Begitu cepat Paul Lathic berjaya menjadi
anak emas tokoh berkenaan. Dalam masa tidak sampai setahun sahaja dia masuk
bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti XYZ. – Bersambung
(Faksyen ini adalah rekaan semata-mata dan tiada
kaitan dengan mana-mana politikus yang sudah meninggal dunia. © Uthaya Sankar SB. Bahagian pertama disiarkan
di Free Malaysia Today pada 2 Julai 2012
manakala bahagian kedua pada 9 Julai 2012. Versi asal cerpen ini boleh dibaca
dalam kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta.)