Dewasa ini, nama Datuk A. Samad Said (Pak Samad) sangat rapat
dikaitkan dengan perjuangan Bersih menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan
bebas. Hal ini turut diakui anaknya, Helmy Samad dalam wawancara di akhbar theSun (11 Jun 2012).
Pada masa sama, sebagai seorang sasterawan
yang berani dan disegani, Pak Samad menggunakan ketajaman mata pena dan
kehalusan bahasa sastera untuk berhujah dalam menegakkan keadilan yang dituntut
itu.
Perkara ini amat nyata sekiranya kita
mengikuti perkembangan Pak Samad di ruang siber, khasnya. Sajak-sajak dan madah
pendek-pedas-bernas beliau sangat kerap dikongsi (“share”) di Facebook dan Twitter.
Akan tetapi, pada kali ini, saya ingin
“melupakan” sebentar perjuangan Pak Samad sebagai seorang “negarawan” dan
menumpukan hanya pada perjuangan beliau sebagai seorang “sasterawan” – tanpa
sedikit pun menafikan bahawa kedua-duanya saling berkait erat dan mustahil
dapat dipisahkan.
Pertama kali saya berpeluang bertemu Pak
Samad – serta beberapa sasterawan hebat seperti Allahyarham Dr Othman Puteh – adalah di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Ogos 1991 sewaktu menyertai program Minggu
Penulis Remaja (MPR).
Saya terus kagum pada sikap dan sifat yang
ditunjukkan Pak Samad; walaupun saya pada waktu itu belum punya mana-mana karya
yang tersiar di media arus perdana berbanding rakan-rakan lain yang terpilih
menyertai MPR 1991.
Pada zaman sekolah, saya meminjam dan
membaca karya-karya Pak Samad dengan penuh minat. Kemudian, pada 24 Januari 1994,
saya berjaya memiliki buku Dari Salina ke
Langit Petang: Proses Mencipta Novel (Cetakan Kedua 1987) walaupun saya
sudah membacanya di perpustakaan sekolah.
Pengalaman yang diceritakan secara ikhlas
dan jujur menerusi buku itu sangat mengagumkan bagi saya. Pasti banyak perkara
yang saya pelajari dengan cara “berguru” pada buku setebal 83 halaman itu yang
saya beli dengan harga RM2.25 di DBP.
Pak Samad menceritakan pengalaman zaman
kanak-kanak di mana beliau bermula dengan mendengar cerita daripada ibunya, diikuti
cerita-cerita lucah/mencarut daripada Pak Cik Osman. Kemudian membawa kepada
mendengar “kepintaran kata-kata dari seorang guru yang mengenal dan mengetahui
keharuan dan daya imaginasi murid-muridnya”.
Pada bab kedua buku berkenaan, Pak Samad
menceritakan mengenai minat beliau membaca. Katanya, “seseorang penulis atau
bakal penulis perlu membaca sebanyak-banyaknya” kerana “orang yang tidak
membaca itu tidak akan menjadi penulis”.
Pak Samad yang dilahirkan pada 9 April 1935
di Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka sesungguhnya Sasterawan Negara yang
paling dikenali masyarakat/rakyat sehingga beliau sering digelar “Sasterawan
Rakyat”.
Sikap “perjuangan” Pak Samad memang
diketahui umum sejak dahulu. Misalnya, beliau melancarkan “Mogok Seni” pada
1990 dan “Mogok Sastera” pada 2000.
Anugerah Sastera Negara yang membawa
gelaran “Sasterawan Negara” dianugerahkan kepada
beliau oleh Yang DiPertuan Agong pada 1985. Terdahulu, Pak Samad menerima
Anugerah Pejuang Sastera (1976) dan Anugerah Sastera Asia Tenggara (1979).
Antara karya-karya Pak Samad yang sering
diperkatakan pada peringkat kebangsaan, nusantara dan antarabangsa adalah Sungai Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan Pulau (1978), Langit Petang (1980), Wira Bukit (1986), Hujan Pagi (1987), Lantai T.
Pinkie (1996) dan Al-Amin (1999).
Tentu sahaja tidak sah sekiranya kita tidak
turut menyenaraikan Gerhana yang
ditulis pada 1957 dan menang hadiah penghargaan peraduan menulis novel anjuran
DBP. Pada 1961, manuskrip itu diterbitkan dengan judul Salina.
Kisah dan proses kreatif karya-karya
penting Pak Samad diceritakan dalam buku Dari Salina ke Langit Petang yang
pertama kali terbit pada 1979. Walaupun karya “lama”, isi yang terkandung di
dalamnya tetap segar, baru dan asli.
Syarikat Wira Bukit Sdn Bhd yang diuruskan
oleh Helmy menerbitkan buku berkenaan dalam “Edisi Seni Warisan Melaka” (kulit
tebal) pada 2007. Saya juga memiliki cetakan kedua (2008) “Edisi Santai” yang
menampilkan kulit yang lebih “ceria dan muda”.
Setiap kali saya bertemu Pak Samad, kami
berbual pelbagai perkara. Beliau juga Penasihat Agung bagi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
sejak 2003. Antara topik yang sering kami bualkan adalah bahasa, sastera, persatuan,
seni, budaya dan filem Tamil/Hindi.
Dalam setiap pertemuan itu, saya tidak
jemu-jemu untuk mendengar pelbagai kisah yang Pak Samad ceritakan; walaupun ada
antaranya yang sudah pernah saya baca di akhbar, majalah, buku atau internet.
Kisah mengenai proses kreativiti dan proses
membaca yang beliau amalkan juga terus mengagumkan saya. Harus saya nyatakan
bahawa saya melihat Pak Samad dari pelbagai sudut sebagai seorang manusia dan
bukan sekadar dari suatu sudut sempit seperti dilakukan pihak tertentu (yang
berfikiran sempit, tentunya).
Dalam pada masyarakat “sibuk” dan “seronok”
melihat/menyokong perjuangan dan penglibatan Pak Samad dalam sama-sama menuntut
pilihan raya yang bersih, adil dan bebas, ramai pula yang “terlupa” bahawa Pak
Samad juga seorang penulis.
Berapa ramaikah individu yang kagum dengan
perjuangan Pak Samad menerusi perhimpunan Bersih pada 9 Julai 2011 dan 28 April
2012, sudah membeli, memiliki dan membaca karya-karya beliau?
Realiti yang mungkin kurang dikongsikan
oleh Pak Samad sendiri dengan orang ramai adalah bagaimana “keberanian” beliau
menegakkan kebenaran membuatkan pihak tertentu marah dan bertindak “memulaukan”
karya-karya beliau.
Namun, Pak Samad – dan Helmy – tetap
memiliki semangat perjuangan yang kental. Mereka tidak mudah menyerah walaupun
pelbagai rintangan terus mendatang. Hal ini nyata menerusi usaha Wira Bukit Sdn
Bhd menerbitkan semula karya-karya Pak Samad.
Terkini, saya juga sedang menantikan edisi
terbaru novel Salina yang dijangka
akan berada dalam pasaran pada Ogos 2012. Walaupun saya sudah memiliki
edisi-edisi terdahulu (serta terjemahan), saya masih berminat untuk membaca
semula kisah Salina dalam versi terbitan terbaru.
Pada masa sama, Kavyan dijadual
menganjurkan “Dialog Sastera: Dari Salina ke Salina” pada Julai 2012 sempena
Pesta Buku Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Program ini bertujuan menyediakan platform
kepada Pak Samad untuk berkongsi pengalaman dan kisah suka-duka beliau dalam
dunia penulisan tanah air bermula dengan Salina
(1957) hingga Salina (2012).
Program sastera ini adalah kesinambungan
kepada acara “Baca Cerpen A. Samad Said” (2004, 2008), “Apresiasi Sastera A.
Samad Said” (2006), “Baca Puisi Rindu Ibu” (2007, 2008), “Dialog Sasterawan
Negara” (2009) dan “Baca Puisi A. Samad Said” (2010) anjuran Kavyan dengan
kerjasama pelbagai pihak.
Kalaulah benar bahawa masyarakat melihat
Pak Samad sebagai tokoh yang berani berjuang demi rakyat (termasuk menuntut
pilihan raya yang bersih), tentu sahaja masyarakat pelbagai kaum wajar hadir
sama pada sesi dialog berkenaan untuk melihat dan mendengar pula pengalaman
beliau sebagai seorang Sasterawan Rakyat.
Pada masa sama, tentu sahaja tidak
keterlaluan untuk mengharapkan orang ramai memiliki buku-buku Pak Samad supaya
pemikiran beliau juga boleh diteroka secara lebih mendalam.
(© Uthaya Sankar SB. Makalah
ini ditulis pada 31 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 18 Jun 2012.
Harap maklum bahawa dialog ini terpaksa dibatalkan kerana slot yang diberikan
bagi tujuan dialog berkenaan diambil alih oleh pihak lain.)