27 MEI 2012 – Nama saya Chellam. Sebelum ini, anda telah membaca kisah saya ditulis oleh orang
lain. Kali ini, saya sendiri akan menceritakan kisah saya kepada anda. Saya
harap anda akan lebih memahami penderitaan dan perjuangan saya dalam hidup ini.
Pada waktu siang, saya menyapu jalan. Pada
sebelah malam pula, saya mencuci pinggan-mangkuk di sebuah kedai makan
kepunyaan sebuah keluarga Cina. Memang saya penat bekerja tetapi saya sanggup
berkorban demi masa depan keempat-empat anak saya.
“Emak, lihatlah keputusan UPSR saya,” kata
Kavitha suatu hari sambil berlari-lari pulang dari sekolah.
Hati saya berdebar. Apakah keputusan yang
diterima oleh anak sulung saya? Kalau keputusannya baik, tentu Kavitha akan
menjadi sumber inspirasi kepada adik-adiknya. Akan tetapi, jika keputusannya
kurang baik, apa yang boleh saya lakukan?
Sambil cuba mengawal perasaan
berdebar-debar, saya melihat kertas yang dihulurkan oleh Kavitha. Secara
tiba-tiba sahaja, air mata saya mula mengalir.
Tulisan pada kertas keputusan UPSR itu
menjadi kabur kerana mata saya digenangi air. Namun, saya dapat melihat dengan
jelas tanda “A” yang tercatat pada kertas keputusan itu. Ada tujuh “A”
semuanya.
Saya kehilangan kata. Saya terus memeluk
Kavitha dan menangis sepuas-puas hati. Kogila, Kannama dan Karpagam pula
terpinga-pinga melihat kelakuan saya. Agaknya mereka tidak faham mengapa saya
menangis dan mengalirkan air mata.
“Emak sangat bangga dengan keputusan kamu,
Kavitha. Emak memang tahu bahawa kamu seorang pelajar yang bijak. Kamu
membuatkan emak dan adik-adik kamu sangat bangga,” kata saya selepas mengelap
air mata di pipi.
Kavitha cuba tersenyum. Akan tetapi, dia
juga sedang menangis. Tentu sahaja anak sulung saya turut tidak dapat mengawal
perasaan gembira kerana pengorbanannya membawa hasil. Kavitha mendapat 7A dalam
UPSR. Sejuk hati saya menatap kertas keputusan itu.
“Bukan kita sahaja yang bangga, emak,” kata
Kogila. “Guru besar dan semua guru di sekolah juga sangat gembira. Semua orang
memuji kakak. Mereka juga memuji emak kerana berjaya membimbing kakak sehingga
berjaya dalam UPSR.”
Kejayaan Kavitha mendapat 7A dalam UPSR
memang merupakan satu kejayaan peribadi kepada diri saya. Semasa saya remaja,
saya memang seorang pelajar yang bijak. Akan tetapi, pelajaran saya merosot
setelah mula bercinta dengan Selvam. Akhirnya saya langsung tidak berminat
dalam pelajaran. Saya hanya memikirkan soal bercinta dengan Selvam.
Bagaimanapun, sudah terbukti bahawa
keputusan yang saya ambil adalah salah. Saya telah kahwin lari dengan Selvam.
Akibatnya, saya dihina oleh masyarakat. Saya juga menjadi mangsa cacian emak
mentua saya. Anak-anak saya turut dihina kerana kesemuanya perempuan.
Selvam pula sudah berubah selepas kami
berkahwin. Hanya selepas menjadi isterinya, saya mendapat tahu bahawa dia kaki
botol dan penagih dadah. – Bersambung
(Uthaya Sankar SB seorang
penulis sepenuh masa yang berusaha mengangkat isu-isu berkaitan bahasa,
sastera, sosial, seni dan budaya menerusi penulisan. Beliau menulis cerita ini
berdasarkan kisah benar yang diceritakan kepadanya beberapa tahun lalu.
Nama-nama watak ditukar atas permintaan individu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 Mei 2012.)