13 MEI 2012 –
“Saya tidak boleh membiarkan semua kesusahan ini
berterusan,” fikir Chellam sambil tekun membasuh pinggan-mangkuk yang kotor dan
berminyak.
“Saya mesti melakukan sesuatu. Walaupun
bukan untuk diri saya, sekurang-kurangnya untuk anak-anak saya,” fikirnya lagi.
Sambil bercakap sendirian, Chellam
terkenang akan kisah lama iaitu apabila dia bersama-sama suami dan tiga anak
perempuan mula-mula datang ke Kuala Lumpur selepas mereka dihalau oleh emak
Selvam.
Akhirnya mereka sampai ke satu kawasan
rumah setinggan. Selvam dan Chellam mengambil keputusan untuk membina rumah
haram di situ.
Chellam mengumpul papan dan kayu serta atap
terbuang. Dia bertungkus-lumus membina sebuah pondok buruk untuk mereka
sekeluarga berteduh.
Anak-anak yang bernama Kavita, Kogila dan
Kannama masih kecil dan tidak boleh membantu. Mereka hanya bermain-main di
sekitar rumah dan menangis apabila lapar.
Selvam pula memang tidak boleh diharap. Dia
langsung tidak membantu Chellam yang bersusah-payah membina sebuah rumah
setinggan.
“Ah! Buat pondok macam ini pun saya mesti
tolong? Buatlah sendiri,” tengking Selvam sebelum keluar berkeliaran.
Sebenarnya Selvam pergi menghisap dadah.
Dia sanggup mencuri untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah daripada penjual
dadah yang terdapat di sekitar kawasan setinggan itu.
Prannggg!
Chellam terkejut. Sebiji mangkuk kaca yang
sedang dibasuh dengan sabun tercicir dan terhempas ke lantai.
“Haiyo! Awak mimpikah? Habis pinggan itu
pecah,” marah tuan punya kedai makan di mana Chellam bekerja membasuh
pinggan-mangkuk. “Awak mesti ganti duit untuk mangkuk itu.”
Chellam tidak mampu berkata apa-apa. Dia
hanya terdiam dan tertunduk. Air mata gugur kerana dia tidak dapat mengawal
rasa sedih.
Gaji minggu ini akan dipotong kerana
pinggan telah pecah. Jadi, bagaimana Chellam boleh menampung perbelanjaan
sekolah anak-anak?
Semasa Chellam membina pondok buruk dulu,
dia sedang mengandungkan anak keempat. Dia mengandung tujuh bulan. Jadi,
tentulah susah untuk dia membuat kerja-kerja berat.
Akan tetapi, apa boleh dibuat? Suaminya
memang tidak boleh diharap. Chellam terpaksa berusaha sendiri demi
anak-anaknya.
Chellam terasa lega sedikit setelah pondok
buruk siap dibina. Sekurang-kurangnya keluarga mereka ada tempat untuk
berteduh. Memang pondok itu sangat buruk dan tidak selesa tetapi itu sahajalah
yang mereka mampu miliki.
Selvam pula terus tidak melaksanakan
tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa. Dia terus ketagih dadah dan
berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur.
Chellam pula cuba mencari kerja. Akhirnya
dia mendapat kerja sebagai tukang sapu jalan. Wang hasil daripada kerja itu
digunakan untuk menampung keperluan anak-anak. – Bersambung minggu depan
(Uthaya Sankar SB menulis cerita ini berdasarkan kisah benar yang
diceritakan kepadanya beberapa tahun lalu. Nama-nama watak ditukar atas
permintaan individu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 13 Mei 2012.)