[Revathi mahu tahu adakah panchayat akan dapat mengesan
perbuatan Ramani.]
Perasaan syak saya
terhadap Ramani Attan semakin bertambah. Tentu dia yang membunuh James
Arivalahan dan Lee Kim Seng. Atau sekurang-kurangnya dialah yang
bertanggungjawab menyebabkan kematian Kim Seng.
Belum reda lagi kekecohan tentang kematian James Arivalahan yang
penuh misteri, Kubur Gajah dikejutkan pula oleh berita kematian Kim Seng baru
sebentar tadi.
“Mustahil. Dua kematian dalam masa dua hari,” kata Pak Cik
Senthamarei, ketua kampung selaku ketua panchayat.
“Tiga, sami,” Maramanden mencelah.
Aneh juga tindakan lelaki yang dianggap berotak miring itu. Biasanya
dia tidak akan mencelah perbincangan di panchayat kecualilah jika
diminta sendiri oleh ketua panchayat supaya memberikan pandangan atau
pendapat. Cuma hari ini, dia sudah berani bersuara sebelum dipinta.
“Maksud awak, Si Raja yang meninggal dunia dua hari lalu di
hadapan kuil Maha Kaali?”
Maramanden sekadar mengangguk kecil. Agaknya dia juga tidak dapat
melupakan Raja Mama yang kematiannya juga diliputi misteri.
Entah mengapa, sejak beberapa hari belakangan ini, Kubur Gajah
dilanda beberapa kejadian yang sukar ditafsir. Mula-mula kehilangan berhala
emas Kaali Devi. Kemudian kematian Raja Mama, James Arivalahan dan yang
terbaru, kematian Kim Seng.
“Kematian Raja, kita anggap sebagai balasan Tuhan atas tindakannya
mencuri berhala.” Pak Cik Senthamarei memandang orang ramai di bawah pohon banyan
sambil berkata begitu.
Sebenarnya kata-kata itu bukanlah suatu keputusan yang baru.
Memang pada hari Ahad lagi panchayat sudah memutuskan bahawa Raja Mama
yang mencuri berhala Kaali Devi dari kuil Maha Kaali.
Akan tetapi, itu keputusan panchayat. Keputusan majlis
timbang cara yang diketuai oleh seorang manusia biasa. Tidak mustahil bahawa
keputusan yang dibuat itu tidak seratus peratus tepat.
Saya masih juga percaya bahawa bukan Raja Mama yang mencuri
berhala dari kuil Maha Kaali. Begitu juga pendapat Malliga Akka. Dan dia
benar-benar yakin pada pendapat berkenaan.
“Tapi kalau Raja benar-benar tidak bersalah, mengapa dia tidak
tampil membela diri di panchayat?” Demikian pertanyaan Sitambaram di panchayat
beberapa hari lalu; sejurus sebelum Pak Cik Senthamarei memberi kata putus.
Saya sendiri amat yakin bahawa Raja Mama akan tampil membela
dirinya di panchayat. Malangnya dia ditemui mati pada pagi hari Isnin.
Musnahlah harapan Malliga Akka. Punahlah harapan saya agar Raja
Mama hadir membela diri dan membersihkan namanya yang dicemari. Hancurlah hati
Ramani Attan yang bersusah-payah membela saudara kembarnya di panchayat.
Segala usaha Ramani Attan tidak membawa apa-apa perubahan. Panchayat
tetap menghukum Raja Mama sebagai pencuri. Sejak itulah Ramani Attan mula
bersiap biadat. Dia sudah tidak mahu bergaul dengan masyarakat kampung. Mungkin
kerana mereka memulaukan upacara pengebumian Raja Mama, dua hari lalu.
Semalam, semasa upacara pengebumian James Arivalahan pula, para
penduduk Kubur Gajah berduyun-duyun pergi. Tindakan ini tentu sahaja telah
menambah lagi rasa benci Ramani Attan. Dia benar-benar sudah berubah. Dia sudah
tidak berjenaka. Dia sentiasa cuba mengelakkan diri daripada bertembung dengan
saya.
Awal petang tadi, saya pergi menemui Malliga Akka di kandang lembu
yang terletak di hujung kampung. Kemudian, Ramani Attan datang.
Sejurus selepas itu, dia berlalu pergi menuju ke arah hutan rizab
di belakang kuil Maha Kaali. Beberapa minit selepas itu, kami terdengar bunyi
tembakan. Dan didapati Kim Seng mati tertembak!
“Bencana apa yang menimpa kampung kita, sami?” Tanya Balbik Singh
dengan nada risau.
“Ya, sami,” tambah seorang lagi lelaki tua yang turut berkumpul di
tapak panchayat. “Sejak kehilangan berhala Kaali Devi, seorang
demi seorang penduduk kampung kita mula mati secara misteri. Apa petanda semua
ini?”
Orang ramai – seperti kebiasaannya – mula menyuarakan kebimbangan.
Mereka masing-masing bercakap serentak sehingga payah untuk ditangkap butir
percakapan mereka. Tapi yang pasti, mereka semua melahirkan rasa bimbang dan
takut.
Saya sebenarnya tidak mahu menghadiri majlis timbang cara.
Lebih-lebih lagi setelah majlis ini gagal memberikan keputusan yang adil
terhadap Raja Mama. Bagaimanapun, kali ini saya terpanggil untuk turut serta
memandangkan Kubur Gajah semakin ditimpa segala macam kejadian penuh misteri.
Tambahan pula, saya kini sudah mula semakin pasti bahawa Ramani
Attan yang bertanggungjawab membunuh Kim Seng. Saya mahu tahu adakah panchayat
akan dapat mengesan perbuatan Ramani Attan.
Memang berat hati saya untuk menuduh Ramani Attan. Tapi saya sudah
benar-benar pasti bahawa Ramani Attan yang melakukan pembunuhan itu. Malah,
tidak mustahil bahawa dia juga yang membunuh James semalam.
Saya cepat-cepat mengesat mata yang berair. Malliga Akka memandang
saya dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa?” Tanyanya.
“Tak ada apa-apa, akka.”
Saya sedaya upaya berusaha untuk tidak memandang wajahnya. Saya
tidak mahu dia tahu apa yang tersirat di hati saya. Malliga Akka tentu marah
jika saya memberitahunya bahawa saya mengesyaki Ramani Attan sebagai pembunuh.
Tentu dia akan kecewa dengan tuduhan itu. – Bersambung minggu depan
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 14
Ogos 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 23 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat
lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk
membantu “memurnikan” novel Panchayat:
Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT
dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)