[Revathi berpendapat bahawa Ramani sedang membalas dendam atas
kematian Raja.]
“Eh!
Apa yang kamu berdua buat di sini?”
Revathi cepat-cepat memandang tepat ke arah Ramani. Pemuda itu
datang membawa sebuah beg yang kelihatan agak berat.
Malliga sedang berdiri di sebelah Revathi sambil memegang bahunya.
Kedua-dua gadis berkenaan memandang wajah Ramani dengan pandangan kosong.
Pemuda berumur dua puluh empat tahun itu pula membalas dengan pandangan
terkejut. Mungkin dia tidak menyangka akan menemui Malliga dan Revathi di
kandang lembu.
Pandangan Ramani terlekat pada sari putih. Serta-merta
pandangannya menjadi sayu. Mata bergenang air.
“Buat apa di sini?”
Kedua-dua gadis berkenaan berpandangan.
“Elok kamu berdua pulang sahaja,” kata pemuda itu dengan suara
yang terkawal. “Saya ada banyak kerja.”
Melihat dan mendengar sendiri perubahan pada diri Ramani
membuatkan Revathi terasa hiba. Ramani yang beberapa hari lalu masih
bergelak-ketawa kini benar-benar berubah dalam masa yang relatif singkat.
Mungkin tuduhan yang dilemparkan terhadap Raja Mama serta kematian
abang kembarnya itu benar-benar menjejaskan hati dan fikiran Ramani Attan,
fikir Revathi.
Sejak kematian Raja, Ramani benar-benar berubah. Dia seperti
sedang berusaha membalas dendam terhadap kematian abangnya.
Malah, Revathi sendiri sudah mula memikirkan kemungkinan Ramani
yang menyebabkan kematian James. Fikiran itu timbul dalam hati Revathi sejak
petang semalam.
Semalam, sewaktu kecoh tentang perbuatan Madurai Kaala merempuh
masuk ke kuil Maha Kaali, Revathi turut pergi untuk melihat apa yang berlaku.
Sewaktu ke sana, Revathi bertembung dengan Ramani yang kelihatan
tergesa-gesa pulang sambil menyumpah-nyumpah pada entah siapa. Revathi lantas
memberitahunya tentang Madurai Kaala yang pulang berlumuran darah dari Selama.
“Ya, ya. Saya tahu,” jawab Ramani dengan nada marah. “Tuannya dah
mampus dikerjakan.”
Revathi bertambah curiga walaupun sudah terbukti bahawa memang
James mati disondol Madurai Kaala.
Bagaimana Ramani Attan boleh tahu lebih awal? fikir Revathi.
Peristiwa itulah yang membuatkan Revathi memikirkan kemungkinan
Ramani yang menyebabkan kematian James.
“Attan,” panggil Revathi
ke arah Ramani.
Pemuda itu sudah masuk ke dalam pondok kecil dalam kawasan kandang
lembu. Malliga pula beralih ke muka pintu.
Ramani tidak segera menyahut. Dia sekadar memandang sekilas wajah
Revathi. Terhiris juga hati kewanitaan Revathi dengan tindakan seumpama itu.
Dirasakannya seperti Ramani tidak mahu lagi melihat wajahnya. Seperti membenci
dirinya.
“Attan,” kata gadis
berusia dua puluh tahun itu seraya menghampiri pemuda berkenaan. “Attan sudah berubah. …”
Ramani tidak mengendahkan perasaan runsing yang diluahkan oleh
Revathi. Dia seperti sedang cuba menjauhkan diri daripada gadis itu.
Sesekali dipandangnya Malliga. Gadis itu pula sedang
terkumat-kamit membaca mantera; berdoa agar segalanya pulih seperti sedia kala.
“Kebenaran akan tetap diketahui umum,” kata Ramani. “Orang ramai
akan tahu apa yang sebenarnya berlaku pada berhala emas Kaali Devi. Nama
saya … nama keluarga saya akan bersih daripada segala tuduhan melulu. Kebenaran
akan tetap diketahui!”
Revathi tergamam. Begitu juga Malliga yang sejak tadi masih
berdiri di hadapan pondok yang dibina sebagai tempat berehat di kawasan kandang
lembu.
“Apa yang attan cakap
ni?”
Ramani berpaling memandang Revathi. Matanya memerah. Dia seperti
berusaha untuk mengatakan sesuatu. Tapi tidak jadi.
Dia kemudian memandang Malliga. Ditenungnya sari putih yang
menutupi tubuh gadis yang tidak berdosa itu. Bibir Ramani sekali lagi
bergerak-gerak. Tapi tetap tidak ada suara yang keluar.
Pemuda berambut keriting itu menundukkan kepala sambil mengesat
mata. Revathi cuba menghampirinya. Tapi segera pula pemuda berkenaan mengelak
daripada dihampiri. Dia tergesa-gesa mengangkat semula beg tadi dan berlalu
pergi tanpa kata.
“Attan nak ke mana?”
Laung Revathi; terpinga-pinga.
Ramani terus pergi tanpa mengendahkan laungan Revathi. Apabila
Ramani sudah hilang dari pandangan, barulah Malliga mendapatkan Revathi yang
semakin tersedu.
“Ke mana agaknya dia pergi?” Tanya Malliga; lalu segera pula
menjawab sendiri: “Dia menuju ke arah hutan rizab.”
Revathi mula menangis. Malliga cuba meredakannya.
“Apa yang sedang berlaku ni, akka?”
“Sabar, Revathi. Sabarlah.”
“Apa yang sudah terjadi kepada Ramani Attan?”
“Sabarlah. Fikirannya masih terganggu akibat kematian Raja Attan.
Berikan dia sedikit masa. Dia akan kembali pulih seperti biasa dalam sedikit
masa.”
“Entahlah, akka,” kata Revathi sambil diselang-seli oleh
suara sedu. “Saya rasakan seperti Ramani Attan sedang cuba membalas dendam atas
kematian Raja Mama. Saya mula merasakan seperti Ramani Attan yang membunuh James. …”
“Isy! Janganlah awak fikirkan yang bukan-bukan.” Malliga
mengusap-usap rambut Revathi yang sedang bersandar pada bahunya. “Segala-galanya
akan pulih seperti sedia kala dalam sedikit masa. Ramani akan kembali
bergurau-senda seperti dahulu.”
Sambil berkata begitu, Malliga sendiri turut menangis. Dia
terkenang akan Raja yang tidak mungkin akan kembali.
Bannggg!
Malliga dan Revathi sama-sama terkejut mendengar bunyi tembakan
itu. Datangnya dari arah hutan rizab! – Bersambung minggu depan
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 13
Ogos 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 16 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat
lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk
membantu “memurnikan” novel Panchayat:
Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT
dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)