18 Jun 2012

On the Banks of the River

Novel ini adalah terjemahan daripada Athankarai Oram (1999) karya Dr V. Irai Anbu, salah seorang penulis yang popular dan prolifik di Tamil Nadu, India.

Karya terjemahan oleh Rama Srinivasan ini dihadiahkan kepada saya oleh Salma Dhineswary pada 15 Februari 2012 berikutan kunjungannya ke Tamil Nadu. Katanya, novel asal menang anugerah novel terbaik Tiruppur Tamil Sangam 1999.

Novel On the Banks of the River (2011) banyak diperkatakan peminat dan pengkaji sastera Bahasa Tamil kerana mengangkat tema yang dekat dengan jiwa dan permasalahan rakyat. Malah, karya-karya Irai Anbu dijadikan teks kajian peringkat sarjana dan kedoktoran.

Apa yang paling menarik – dan mencuit hati saya – adalah bahawa watak-watak dan persoalan yang dipaparkan menerusi novel ini bersifat universal. Saya merasakan seperti watak-watak dalam novel ini adalah rakyat Malaysia!

Malah, pada saat penduduk di Malaysia masih hangat memperkatakan perihal Bersih 3.0 dan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, novel ini mungkin boleh tampil menyuntikkan semangat positif.

Secara amat ringkas, On the Banks of the River mengisahkan cabaran, dugaan dan rintangan yang dihadapi oleh penduduk sebuah kawasan pedalaman berikutan keputusan kerajaan membina sebuah empangan.

Tentu sahaja kelompok yang menganggap diri mereka tertindas, teraniaya dan dinafikan hak tidak duduk diam tanpa bersuara. Sebaliknya, mereka bangkit bersama-sama mempertahankan hak.

“Apa yang akan anda buat jika kami enggan pergi?” Demikian watak bernama Chiman bertanya dengan berani dan lantang pada bahagian akhir bab pertama lagi.

Tentu sahaja pengarang mengadunkan isu-isu semasa dalam penghasilan karya kreatif ini. Kekerasan yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk menghalau/memindahkan penduduk, ketamakan politikus, pegawai kerajaan yang mementingkan soal cari makan (“carma” kata Datuk A. Samad Said) serta pelbagai persoalan lain diadun secara kemas dan penuh seni oleh Irai Anbu.

Di tengah-tengah segala kepincangan ini, muncul watak-watak seperti Chima, Govind, Sudhir dan Radha Pathankar yang berani menggerakkan tenaga dan kekuatan penduduk yang tertindas supaya bersama-sama berjuang menuntut keadilan dan menolak kezaliman dalam apa-apa bentuk.

Walaupun kisah yang dipaparkan adalah mengenai suatu isu yang berlaku jauh di sebuah kampung bernama Sindur di Benua Kecil India, “semangat” yang dibawakannya tetap sesuai untuk dihadam dan dicerna penduduk Malaysia.

Harus saya nyatakan – spoiler alert! – bahawa perjuangan penduduk terbabit dalam novel setebal 151 halaman ini tidak semestinya berakhir dengan kejayaan. Kemenangan tidak dijamin berpihak kepada rakyat yang berani bangkit menentang penindasan dan tindakan kerajaan atas nama pembangunan.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah kesan yang mampu dibawakan oleh novel ini kepada para pembaca. Perkara itu lebih penting kerana ia melambangkan kejayaan sebenar seorang penulis yang berani “menghasut” pembaca memperjuangkan kebenaran!

(Ulasan buku ini ditulis pada 7 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 Mei 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)