Novel ini adalah
terjemahan daripada Athankarai Oram (1999) karya Dr V. Irai Anbu, salah seorang penulis yang popular
dan prolifik di Tamil Nadu, India.
Karya terjemahan oleh Rama Srinivasan ini
dihadiahkan kepada saya oleh Salma Dhineswary pada 15 Februari 2012 berikutan
kunjungannya ke Tamil Nadu. Katanya, novel asal menang anugerah novel terbaik Tiruppur Tamil Sangam 1999.
Novel On
the Banks of the River (2011) banyak diperkatakan peminat dan pengkaji
sastera Bahasa Tamil kerana mengangkat tema yang dekat dengan jiwa dan
permasalahan rakyat. Malah, karya-karya Irai Anbu dijadikan teks kajian
peringkat sarjana dan kedoktoran.
Apa yang paling menarik – dan mencuit hati
saya – adalah bahawa watak-watak dan persoalan yang dipaparkan menerusi novel
ini bersifat universal. Saya merasakan seperti watak-watak dalam novel ini
adalah rakyat Malaysia!
Malah, pada saat penduduk di Malaysia masih
hangat memperkatakan perihal Bersih 3.0 dan kilang memproses nadir
bumi Lynas di Gebeng, Pahang, novel
ini mungkin boleh tampil menyuntikkan semangat positif.
Secara amat ringkas, On the Banks of the River mengisahkan cabaran, dugaan dan rintangan
yang dihadapi oleh penduduk sebuah kawasan pedalaman berikutan keputusan
kerajaan membina sebuah empangan.
Tentu sahaja kelompok yang menganggap diri
mereka tertindas, teraniaya dan dinafikan hak tidak duduk diam tanpa bersuara.
Sebaliknya, mereka bangkit bersama-sama mempertahankan hak.
“Apa yang akan anda buat jika kami enggan
pergi?” Demikian watak bernama Chiman bertanya dengan berani dan lantang pada
bahagian akhir bab pertama lagi.
Tentu sahaja pengarang mengadunkan isu-isu
semasa dalam penghasilan karya kreatif ini. Kekerasan yang digunakan oleh pihak
berkuasa untuk menghalau/memindahkan penduduk, ketamakan politikus, pegawai
kerajaan yang mementingkan soal cari makan (“carma” kata Datuk A. Samad Said) serta pelbagai
persoalan lain diadun secara kemas dan penuh seni oleh Irai Anbu.
Di tengah-tengah segala kepincangan ini,
muncul watak-watak seperti Chima, Govind, Sudhir dan Radha Pathankar yang
berani menggerakkan tenaga dan kekuatan penduduk yang tertindas supaya
bersama-sama berjuang menuntut keadilan dan menolak kezaliman dalam apa-apa
bentuk.
Walaupun kisah yang dipaparkan adalah
mengenai suatu isu yang berlaku jauh di sebuah kampung bernama Sindur di Benua
Kecil India, “semangat” yang dibawakannya tetap sesuai untuk dihadam dan
dicerna penduduk Malaysia.
Harus saya nyatakan – spoiler alert! – bahawa perjuangan penduduk terbabit dalam novel
setebal 151 halaman ini tidak semestinya berakhir dengan kejayaan. Kemenangan tidak
dijamin berpihak kepada rakyat yang berani bangkit menentang penindasan dan
tindakan kerajaan atas nama pembangunan.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah
kesan yang mampu dibawakan oleh novel ini kepada para pembaca. Perkara itu
lebih penting kerana ia melambangkan kejayaan sebenar seorang penulis yang
berani “menghasut” pembaca memperjuangkan kebenaran!
(Ulasan buku ini ditulis
pada 7 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 Mei 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)