Senthamarei terpaksa melaksanakan tugasnya sebagai seorang ketua kampung merangkap ketua panchayat.
Kalau boleh, dia memang mahu percaya bahawa bakal menantunya tidak bersalah. Akan tetapi, mana boleh dia memberikan keputusan lain di majlis timbang cara dan percaya pada keputusan lain?
Dia adalah panchayat dan panchayat adalah dia. Kedua-duanya harus seiring dan sependapat. Jika timbul perbezaan pendapat antara dia dan panchayat, kedua-duanya akan musnah.
Demikian pegangan Senthamarei sejak dia mula-mula dilantik menjadi ketua kampung sembilan tahun lalu.
Panchayat memutuskan bahawa mendiang Raja adalah pencuri. Itulah juga keputusan Senthamarei kini. Mahu tidak mahu, dia merelakan dirinya menerima keputusan itu sebagai keputusan mutlak.
Dia tidak akan mempertikaikan keputusan majlis timbang cara walaupun ada suara kecil dalam hatinya yang sentiasa mengatakan bahawa Raja sebenarnya tidak bersalah.
Panchayat memutuskan untuk menggeledah rumah Raja. Senthamarei yang meluluskan keputusan itu. Maka kini keputusan tersebut adalah juga keputusannya.
“Geledah rumah mendiang Raja. Cari di setiap penjuru rumahnya. Cari dengan penuh teliti sehingga berhala emas Kaali Devi berjaya ditemui.”
Demikian arahan yang Senthamarei berikan di panchayat sebentar tadi.
“Tapi, sami, bukankah baru semalam mayat Raja dibakar? Bukankah tidak elok jika kita menggeledah rumahnya sekarang?” Tanya Maramanden dengan suara simpati.
“Mana boleh?” Sampuk Sitambaram. “Yang bersalah tetap bersalah; sama ada sudah meninggal dunia atau masih hidup.” Dia memandang orang ramai. “Lagi pula, kita bukan mahu mengusik mayatnya yang sudah menjadi abu. Kita hanya mahu mendapatkan semula berhala emas yang hilang.”
Penduduk yang berkumpul di tapak panchayat pada waktu itu membisu sahaja. Mereka mengakui kebenaran kata-kata Sitambaram. Lebih-lebih lagi apabila barang yang mahu dicari adalah berhala dewi yang mereka sembah sejak turun-temurun.
Dan mereka kini benar-benar percaya bahawa Raja yang mencurinya; lebih-lebih lagi setelah Sitambaram dan rakan-rakannya bersumpah demi Tuhan bahawa mereka telah melihat Raja melakukan perbuatan terkutuk itu.
Melihat anggukan kecil yang lahir daripada kalangan penduduk Kubur Gajah pada petang itu, Sitambaram tambah bersemangat untuk meneruskan kata-katanya.
“Kita mesti cari berhala itu di rumah Raja. Kalau tak jumpa, tanya Ramani. Tidak mustahil bahawa dia menyembunyikan berhala emas itu di mana-mana, kan?”
Senthamarei membisu. Dia cuba mengawal dirinya agar tidak bercanggah pendapat dengan panchayat. Panchayat adalah dia dan dia adalah panchayat. Kedua-duanya harus sependapat dan seiring.
Ketua kampung memandang Ramani yang sejak tadi berdiri membisu di satu sudut. Memang sejak panchayat memutuskan Raja sebagai pencuri dua hari lalu, Ramani mula berubah sikap. Perubahan dirinya lebih ketara sejak kematian abangnya.
Ramani yang selalunya periang, kini berubah menjadi pendiam. Malah lebih pendiam berbanding abangnya dahulu. Dia mula bersikap biadat. Dia lebih suka menyendiri.
Setelah pulang dari tanah perkuburan semalam, Ramani hampir tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Dengan Revathi pun dia tidak mahu. Apabila melihat Malliga berpakaian sari putih petang semalam, dia berkata “Malliga!” sahaja.
Itulah perkataan terakhir yang diucapkannya setakat ini. Selepas itu, dia terus membisu. Hanya matanya merenung orang ramai dengan penuh benci. Seperti membenci penduduk Kubur Gajah yang menghukum abangnya; sekali gus menukar imej bersih keluarganya selama ini.
“Bagaimana?” Tanya ketua panchayat kepada pemuda berkenaan.
Ramani hanya diam sebentar. Pandangannya tidak lagi penuh benci. Namun begitu, sinar kemesraan yang biasa terpancar pada matanya sudah tiada. Sudah tiada sejak Raja dituduh sebagai pencuri.
“Silakan, jika itulah keputusan panchayat,” katanya lalu berlalu meninggalkan tapak panchayat di bawah pohon banyan.
Orang ramai diam sebentar. Apabila Ramani sudah hilang dari pandangan – dia berjalan ke arah utara – orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri.
“Bertenang,” Senthamarei cuba membawa para penduduk Kubur Gajah bertenang. “Kita ada tugasan berat sekarang. Kita perlu mencari berhala emas Kaali Devi dan menempatkannya semula di kuil.”
“Jadi marilah kita segera menggeledah rumah Ramani,” pintas Sitambaram lagi.
“Ya, itulah yang akan kita lakukan sekarang,” jawab ketua kampung. “Tapi tidak perlulah kita semua menggeledah rumah itu. Rengasamy, Sitambaram, Mahmood, Kim Seng dan James Arivalahan boleh lakukan tugas itu.”
“James tiada.” – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN