Prannnggggg!
Raja Attan dan Ramani segera berlari masuk. Saya dan Revathi juga. Begitu juga para pemuda yang berada di halaman rumah pada masa itu.
“Amma!”
Saya nampak Puan Janaki terbaring di lantai ruang tamu. Dulang berisi cawan-cawan teh masih bergolek-golek di sisi beliau. Gelas-gelas kaca telah pecah. Air teh mengalir pada permukaan lantai yang tidak berapa rata.
Raja Attan dan Ramani terus memangku Puan Janaki. Revathi memegang kepala beliau yang longlai. Saya pula terlalu kaget untuk melakukan walau apa sekali pun.
Sebentar sahaja Puan Janaki sudah diletakkan di atas katil. Beliau masih tidak bergerak. Raja Attan dan Ramani mula menangis. Revathi datang menghampiri saya. Pada saat itulah saya sendiri mula menangis.
Puan Janaki tidak membuka kelopak mata walaupun berkali-kali anak-anak beliau memanggil-manggil. Hanya bibir beliau bergerak-gerak. Tapi tidak ada suara yang keluar.
Puan Janaki dibawa ke Hospital Daerah Taiping.
“Ramani Attan sudah pulang,” kata Revathi sambil mengusap dahi saya.
Saya masih terbaring di katil sambil terkenang akan peristiwa yang berlaku sepuluh bulan lalu, sewaktu Revathi menegur saya dengan kata-kata itu.
“Mana?” Tanya saya sambil cuba bangkit dari katil dan menjenguk keluar ikut pintu yang terbuka.
Di muka pintu hadapan, saya nampak Raja Attan berdiri dengan pakaian vesthi tanpa memakai baju!
“Attan!”
Dia memandang saya. Pandangan itu! Kemudian terus menundukkan semula kepalanya.
“Bertenang, akka. Bawa bertenang. Ingatkan Tuhan. Redailah pemergian Raja Mama.” Revathi sedang memegang bahu saya sambil berkata demikian.
Ya, bukankah Raja Attan sudah tiada. Saya memandang Ramani yang masuk melalui pintu tadi. Wajahnya pucat. Tentu dia baru pulang dari tanah perkuburan. Tentu jenazah Raja Attan sudah dibakar. Tentu tubuh Raja Attan sudah hangus menjadi abu!
Raja Attan! Mengapa saya tidak berpeluang memandang wajah attan bagi kali terakhir?
Revathi membantu saya duduk di atas katil. Kemudian dia pergi mendapatkan Ramani. Pemuda itu memandangnya. Kemudian terus berlalu pergi tanpa sebarang kata. Ya, tentulah hati Ramani juga masih belum berupaya menahan hiba atas pemergian saudara kembarnya.
Raja Attan sudah tiada. Dia telah pergi sebelum saya berpeluang menjadi isterinya. Sebelum saya berpeluang menjadi tunangnya! Sepuluh bulan lalu, pertunangan kami terpaksa ditunda kerana Puan Janaki meninggal dunia. Kubur Gajah kehilangan seorang wanita aulia. Hari ini, Kubur Gajah kehilangan seorang lagi insan berhati mulia.
Tapi bukankah Raja Attan dituduh sebagai pencuri? Mengapa Raja Attan terpaksa pergi buat selama-lamanya bersama tuduhan itu? Mengapa dia harus pergi sebelum memberikan saya sinar hidup?
Bapa sedang berdiri di ruang tamu. Revathi tercegat sejak Ramani meninggalkannya sebentar tadi. Beberapa orang penduduk sedang berbual sesama sendiri.
Para penduduk Kubur Gajah pun satu lagi. Mengapa mereka perlu memulaukan upacara pengebumian Raja Attan? Tidak dapatkah mereka membezakan seorang insan mulia daripada orang yang bersalah? Mereka tidak patut menghukum Raja Attan sampai begini teruk.
Apalah salahnya kalau para penduduk datang melihat wajah Raja Attan buat kali terakhir. Sebelum tubuhnya dimamah api, cecair badan meresap ke dalam tanah, angin menerbangkan asap ke ruang angkasa dan abu dicairkan dalam sungai.
Raja Attan sudah tiada. Itulah realiti. Raja Attan sudah kembali kepada Pencipta. Atma sudah bersatu dengan Paramatma. Saya perlu menerima hakikat berkenaan dengan hati yang tenang.
Saya segera melawan keletihan badan untuk bangkit meninggalkan katil. Saya terus menuju ke arah pintu bilik. Saya segera menutup daun pintu.
“Hei!” Terdengar suara Revathi dari luar. “Buka pintu ini, akka! Tolong buka pintu ini, akka!”
Tanpa mengendahkan kata-kata itu, saya mengunci pintu. Saya segera menuju ke almari pakaian. Ada beberapa helai sari yang pernah dipakai oleh mendiang Puan Janaki semasa hayatnya. Saya segera mengambil sehelai. Saya membuka lipatan sari berkenaan.
“Malliga! Tolonglah buka pintu ni, nak,” bapa pula memanggil sambil menumbuk-numbuk daun pintu. “Jangan lakukan sesuatu yang bodoh, nak!”
Saya menanggalkan blaus, pavade dan mundani ungu yang sedang saya pakai.
“Akka, tolonglah buka pintu!”
“Malliga, janganlah lakukan sesuatu yang bodoh!”
“Ramani Attan, Ramani Attan! Datang cepat. Malliga Akka sudah mengunci dirinya di dalam bilik. Cepat lakukan sesuatu. Tolonglah selamatkan Malliga Akka!”
Saya menggantikan pavade ungu dengan sari putih milik mendiang Puan Janaki. Saya padam pottu pada dahi. Kemudian saya pergi membuka pintu. Bapa, emak, Revathi dan beberapa orang lagi menyerbu masuk. Mereka terpaku melihat saya.
“Saya sudah menjadi balu.”
Ramani masuk. Matanya terbeliak melihat keadaan saya.
“Malliga!” – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN