Revathi muncul di hadapan mata saya. Dia membelai-belai kepala saya dengan mesra. Matanya juga jelas menampakkan kesan air mata yang kering. Sedu-sedan sedang cuba dikawalnya.
“Jangan bergerak, akka,” katanya apabila saya cuba bangkit. “Akka perlu berehat.”
Tanpa mengendahkan nasihatnya, saya bangkit. Entah macam mana saya boleh berada di atas katil di dalam bilik mendiang Puan Janaki. Bilik ini memang dibiarkan tanpa diusik sejak Puan Janaki meninggal dunia. Tapi macam mana pula saya boleh berada di sini? Apa yang telah berlaku?
“Akka pitam tadi.”
Pitam? Bukankah saya sedang ….
“Raja Attan!” Jerit saya apabila mulai sedar akan apa yang sebenarnya telah terjadi.
Revathi menahan saya supaya saya tidak cuba bangkit dari katil. Dia memegang bahu saya dan menolak saya ke katil.
“Jangan, akka. Akka masih penat.”
“Mana Raja Attan? Saya mahu menatap wajahnya bagi kali terakhir. Mana Raja Attan?”
Revathi tidak lagi menolak bahu saya. Tapi saya juga tidak lagi cuba bangkit meninggalkan katil. Serasa tubuh saya lemah semula. Saya pandang ke dalam mata Revathi yang membisu.
“Mana Raja Attan?”
“Jenazahnya sudah dibawa pergi. Saya cuba—”
“Apa? Raja Attan sudah dibawa pergi? Tanpa saya berpeluang menatap wajahnya buat kali terakhir?”
Tanpa saya sedari, saya sedang meraung. Bukan pula meraung atas kematian Raja Attan tetapi meraung kerana kecewa tidak dapat menatap wajahnya bagi kali terakhir.
“Mengapa mereka membawa pergi Raja Attan?” Saya tidak pasti sama ada Revathi mendengar suara saya yang perlahan dan berselang-seli dengan tangisan.
“Saya cuba menyuruh mereka tunggu sehingga akka sedar daripada pitam,” gadis itu menceritakan dengan suara yang sayu; berbeza daripada suaranya yang selalu, “tapi Pak Cik Senthamarei yang mengarahkan supaya jenazah Raja Mama dibawa pergi ke tanah perkuburan sebentar tadi.”
Bapa? Mengapa bapa berbuat begitu? Sampai hati bapa tidak membenarkan saya menatap wajah Raja Attan.
Lupakah bapa bahawa Raja Attan adalah tunang saya? Benar, memang benar bahawa majlis pertunangan kami dahulu terpaksa ditunda. Tapi bukankah Raja Attan masih juga bakal menantu bapa?
Majlis pertunangan kami dirancang secara besar-besaran hampir setahun lalu. Para penduduk Kubur Gajah dan kampung-kampung berdekatan tidak sabar menantikan hari yang dianggap bersejarah itu. Saya akan ditunangkan dengan Raja Attan; Revathi pula dengan Ramani. Begitulah rancangan yang dibuat.
Puan Janaki gembira bukan kepalang. Beliau awal-awal lagi memastikan bahawa segala keperluan sudah tersedia secukupnya. Beliau memang tidak mahu majlis pertunangan anak kembarnya ada sebarang cacat-cela.
“Mak cik tak sabar nak menimang cucu,” kata beliau kepada Revathi dan saya sehari sebelum majlis pertunangan.
“Eh, mak cik ni!” Kata Revathi dengan riang sedang saya sendiri tertunduk malu. “Bukankah kami baru hendak bertunang? Tunggulah sehingga kami berkahwin nanti. Dalam masa sepuluh bulan sahaja selepas itu, mak cik akan menjadi seorang nenek!”
Beliau ketawa keriangan hingga menampakkan ruang kosong pada beberapa bahagian gusi yang tidak bergigi.
“Sudah pandai pula menantu mak cik ni!” Puan Janaki tertawa lagi sambil berkata begitu. “Kamu berdua tahu tak? Masa mak cik kahwin dulu, mak cik tak tahu apa-apa. Tapi budak-budak zaman lepas merdeka ni dah tahu bermacam-macam perkara sebelum berkahwin!”
“He, he!”
Revathi tidak ketawa tetapi cuma menyebut kata-kata itu sambil tersenyum memandang ke arah saya.
“Cukuplah tu, menantu oi!” Puan Janaki mencubit paha Revathi sambil berkata begitu. “Pergi tengok bakal suami kamu di luar tu. Hari dah petang. Suruh dia masuk minum.”
Puan Janaki memang seorang ibu mentua yang pengasih. Beliau melayan kami sama seperti melayan anak-anaknya. Tambahan pula, beliau tidak mempunyai anak perempuan.
“Ha, Malliga. Apa pula yang awak termenung tu? Pergilah panggil Si Raja. Panggil sekali pemuda-pemuda yang bekerja di luar sana. Panggil sebelum teh yang dihidangkan ni jadi sejuk.”
Saya dan Revathi segera bangkit menuju ke halaman. Raja Attan, Ramani dan rakan-rakan mereka sedang menghias halaman dengan kertas-kertas warna dan daun kelapa muda yang dianyam. Beberapa orang pula sedang mendirikan khemah. Kerusi-meja juga sedang disusun.
“Attan!” Panggil Revathi.
Para pemuda di halaman terus berpaling memandang kami berdua. Malu juga saya dibuatnya. Tapi Revathi pula terus memanggil-manggil bakal tunangannya.
“Mak cik suruh masuk minum dulu.”
“Aik! Untuk attan sahajakah? Kami yang penat bekerja ni, macam mana?” Usik Vijay Kumar, pemuda berketurunan Malayalam berumur 27 tahun yang datang jauh dari Siru Kambam dengan memandu kereta Austin Se7en untuk membantu membuat persiapan bagi majlis pertunangan.
Vijay Kumar yang merupakan pemilik Ladang Tebu Siru Kambam memang kaya. Kalau tidak, masakan dia mampu membeli kereta model terbaru yang baru sahaja berada di pasaran tahun lalu. Tetapi dia dan isterinya, Madhavi, tidak pernah menyombong.
“Untuk abang-abang pun ada juga. Jemputlah masuk untuk minum teh,” pelawa Revathi dengan selamba sedang saya sendiri merasakan muka saya memerah kerana menahan perasaan segan.
Entah macam mana Revathi boleh bercakap dengan begitu berani. Kalau saya, mati hidup semula pun tak akan jadi seberani itu.
Waktu itulah segala yang tidak diingini mula berlaku. – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN