Soalan: Adakah anda masih mengharapkan Menteri Pelajaran untuk masuk campur dan menggunakan kuasa khas beliau bagi menyelesaikan isu ini?
Rohani: Sepatutnya begitu. Setahu saya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seorang pemimpin yang amat berwibawa, dihormati dan disegani. Banyak kes yang lebih besar dapat diselesaikan oleh beliau dengan mudah sebelum ini. Saya tinggal di negara yang kerajaannya selalu melaungkan slogan ‘rakyat didahulukan.’ Atas keyakinan inilah juga, kami berempat menghantar surat kepada beliau sebelum ini dan meminta beliau masuk campur untuk membela nasib kami.
Amy: Ya, masih mengharap. Masih sangat mengharapkan Menteri Pelajaran mendengar rayuan kami. Kami juga rakyat Malaysia yang katanya akan ‘didahulukan’. Masakan kuasa penerbit lebih besar daripada kuasa Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri!
Hazama: Jauh di sudut hati, memang saya berharap agar Menteri Pelajaran sudi berbuat demikian kerana saya amat mengkagumi kepimpinan beliau. Saya beranggapan beliau tidak akan membiarkan golongan penulis seperti kami terus ditindas penerbit tidak berperikemanusiaan.
Izan: Saya selalu ikuti perkembangan Tan Sri dalam membantu sasterawan dan penulis tanah air. Hairan juga mengapa dalam kes ini, beliau bagaikan lepas tangan sedangkan surat rayuan sudah kami serahkan terus ke pejabat beliau. Mungkin beliau berfikir BBT boleh selesaikan. Kini, BBT ternyata tidak boleh selesaikan. Jadi, apa kata menteri gunakan kuasa khas yang ada untuk membela penulis yang tertindas dan teraniaya ini? Saya rasa permintaan dan harapan kami tidak keterlaluan.
Soalan: Hasil keputusan mesyuarat khas itu, penerbit tetap tidak mahu bayar royalti dan penulis tidak akan terima apa-apa walaupun karya masih dijadikan teks Komsas selama lima tahun. Penerbit pula tetap untung! Adilkah?
Rohani: Saya ada terfikir cadangan “tidak mengizinkan” karya saya dijadikan teks Komsas supaya biar “sama-sama tak untung”. Hal ini saya sudah fikirkan sebelum karya itu dicetak dulu. Ketika mendengar keputusan Julie Looi tidak akan membayar royalti, saya sudah berfikir begitu. Saya menghubungi pegawai BBT dan minta nasihat beliau. Beliau pun setuju dan minta saya tulis surat untuk membatalkan (“tidak mengizinkan”) karya saya dijadikan teks Komsas. Namun, sebelum surat itu sempat dikirim, saya dimaklumkan bahawa penerbit sudah menyerahkan dokumen lengkap tertentu kepada BBT dan saya tidak berhak untuk “tidak mengizinkan”.
Amy: Itulah yang terbaik. Setelah rundingan cara baik terbukti gagal, itulah pilihan terbaik. Setidak-tidaknya saya tidak berasa terkilan lagi kerana ditipu penerbit. Itu juga cara terbaik untuk memberi pengajaran kepada penerbit yang tamak. Biar mereka tahu bahawa penulis tidak akan selama-lamanya membiarkan mereka ditindas, dianiaya dan dizalimi.
Hazama: Apa yang berlaku memang tidak adil. Karya itu adalah hasil keringat penulis dan semestinya kami mendapat penghargaan dan bayaran yang setimpal. Nampaknya hanya penerbit dapat habuan! Jadi, adalah lebih baik ditarik balik daripada dijadikan teks Komsas demi kebaikan semua pihak dan untuk mengakhiri kemelut ini daripada berpanjangan.
Izan: Penerbit terbukti mahu mendapat untung seratus peratus tanpa memikirkan soal penulis yang merupakan insan seni dan pemegang hak cipta karya. Biar kami buktikan bahawa karya itu masih milik kami dengan tindakan drastik “tidak mengizinkan” karya kami dijadikan teks Komsas.
Soalan: Benarkah dakwaan pihak tertentu bahawa anda “dihasut” dan “dipergunakan” oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan saya sendiri dalam isu royalti teks Komsas?
Rohani: Ini satu lagi kenyataan bodoh yang membuatkan saya ketawa besar. Saya berbincang dan bertekak memperjuangkan hak saya sejak awal 2011. Saya kenal Uthaya dan Kavyan pada bulan Julai 2011 iaitu selepas saya buntu berbincang dengan pelbagai pihak tapi tetap tidak ada jalan penyelesaian. Saya ada dengar, penerbit menuduh Uthaya sebagai punca saya tidak mahu menulis untuk syarikat mereka. Sebenarnya, saya menulis dengan mereka sejak 2001. Selepas itu, memang saya tidak pernah menghantar apa-apa manuskrip kepada mereka. Saya hidup dengan hasil menulis. Kalau manuskrip sebuah novel dibayar RM350 senaskhah dan cerpen RM40 tanpa hak royalti, cuba beritahu saya, penulis mana yang sanggup? Kalau penerbit tu makan nasi, kami juga makan nasi. Jadi, penerbit dan sesiapa yang berkaitan, tolong jangan salahkan Kavyan. Saya hanya minta nasihat Uthaya selepas semua usaha lain menemui jalan buntu. Saya melantik Uthaya sebagai wakil rasmi memandangkan saya tinggal di Johor Bahru dan susah untuk berulang-alik ke Putrajaya.
Amy: Sesiapa pun yang menolong akan saya terima pertolongan itu dengan senang hati. Kebetulan, pihak yang bersedia membantu selepas mendengar rintihan saya adalah Kavyan. Ini bukan soal hasut atau dipergunakan. Ini soal penindasan oleh pihak tertentu dan usaha Kavyan membantu kami mendapat kembali hak kami.
Hazama: Tidak perlu sesiapa menghasut saya. Saya sendiri sedar akan hak saya. Atas kewarasan dan kesedaran itulah, saya menuntut hak saya. Bahkan, usaha menuntut hak ini sudah saya mulakan setahun lebih awal sebelum membawa isu ini kepada perhatian Kavyan.
Izan: Ternyata penerbit kehabisan modal, lalu cuba memutar-belit fakta. Semua maklumat ada di blog dan boleh dirujuk oleh sesiapa sahaja.
Soalan: Dalam perkembangan terbaru, khabarnya ada pihak tertentu yang bersedia tampil membantu para penulis lain yang turut menjadi mangsa royalti teks Komsas.
Rohani: Baguslah! Kami berjuang sendirian dalam kumpulan kecil sejak dulu. Laluan sudah dibuka dan KPM sendiri sudah mengakui kelemahan. Maka, penulis lain juga amat wajar berani tampil menuntut hak.
Amy: Sejak awal, kami berempat memang sudah mengatakan bahawa perjuangan kami bukan hanya untuk kami tapi untuk semua penulis; termasuk mereka yang memilih untuk membisu dan berdiam diri.
Hazama: Entahlah sama ada pihak tertentu itu akan turut berjuang mewakili kami tetapi itu tidak menjadi masalah. Kami berempat masih meneruskan perjuangan. Semoga pihak tertentu yang tampil berjuang sekarang akan beroleh kejayaan. Tapi janganlah pula kenakan bayaran perkhidmatan atau minta komisyen daripada penulis terbabit.
Izan: Kami sangat gembira kerana sudah ada kesedaran dalam kalangan penulis dan pertubuhan lain bahawa kita perlu berani menuntut hak. Kami mendoakan kejayaan bagi semua penulis yang menjadi mangsa royalti teks Komsas. – Tamat
(Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya [SA0184670-H] yang dilantik secara rasmi oleh keempat-empat penulis terbabit untuk mewakili mereka dalam isu royalti teks Komsas. Bahagian 3 disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai isu ini.)