1. Dalam perkembangan terbaru isu royalti teks Komsas, seorang penulis berjaya mendapatkan salinan suatu dokumen palsu yang kononnya ditandatangani oleh penulis itu. Dokumen itu dipercayai dikemukakan oleh penerbit tertentu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam urusan penerbitan teks Komsas.
2. Penulis itu mengemukakan salinan dokumen berkenaan kepada saya baru-baru ini semasa pertemuan kami untuk membincangkan isu itu. Beliau mengesahkan bahawa beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen berhubung teks Komsas seperti didakwa penerbit terbabit.
3. Dengan itu, saya dan para penulis terbabit mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh pihak tertentu berkaitan karya Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin, Hazama Harun dan Mohd Izan Abd Hazes juga dipalsukan.
4. Sehubung itu, saya diminta oleh para penulis berkenaan untuk mengadakan pertemuan dengan Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Encik Jame @ Maikal Alip untuk membincangkan isu ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
5. Semasa mesyuarat khas pada 16 Februari 2012, penasihat undang-undang KPM mengesahkan (dan Pengarah BBT sendiri mengakui) bahawa:
i) Salinan dokumen yang dikemukakan penerbit berada dalam simpanan BBT, dan
ii) Pengarah BBT mempunyai kuasa untuk menunjukkan salinan dokumen berkenaan kepada penulis.
6. Dengan itu, para penulis terbabit sekali lagi melantik saya untuk mewakili mereka dalam mengadakan pertemuan dengan Pengarah BBT untuk mendapatkan salinan dokumen-dokumen yang kononnya ditandatangani oleh mereka dan diserahkan oleh pihak tertentu kepada KPM dalam urusan penerbitan teks Komsas.
7. Saya percaya bahawa BBT dan KPM tidak akan membiarkan penulis terbabit menjadi mangsa penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
8. Pengarah BBT juga tentu sahaja tidak akan memihak kepada mana-mana pihak yang terbukti menyerahkan dokumen palsu (dokumen yang dipalsukan) kepada KPM dalam urusan teks Komsas.
9. Saya dan para penulis terbabit faham bahawa selama ini, BBT dan KPM bersangka baik dan beranggapan bahawa dokumen yang dikemukakan oleh pihak tertentu adalah asli dan ditandatangani para penulis terbabit.
10. Kesemua penulis terbabit mengesahkan bahawa mereka tidak pernah menulis atau menandatangani apa-apa dokumen dan surat izin berkaitan penerbitan karya mereka sebagai teks Komsas.
11. Saya percaya bahawa Pengarah BBT akan bersedia memberikan kerjasama demi membela nasib para penulis terbabit yang ternyata ditipu, dizalimi dan dianiaya pihak tertentu yang tidak beretika.
12. Sekiranya BBT terus memihak kepada pihak yang tidak beretika itu, orang ramai mempunyai alasan untuk berprasangka buruk terhadap BBT dan KPM dalam isu ini.
13. Saya berharap dapat bertemu Pengarah BBT untuk berbincang dan menyelesaikan isu ini secara baik dengan kadar segera.
14. E-mel untuk mengatur pertemuan bersama Pengarah BBT sudah dikirim pada 27 Februari 2012 dan saya kini menunggu balasan daripada pihak berkenaan.
15. Untuk makluman, para penulis terbabit sudah mengarahkan saya menyampaikan suatu notis penting berhubung karya-karya mereka yang dijadikan teks Komsas kepada Menteri Pelajaran pada 1 Mac 2012.
Nota: Klik foto di atas untuk membesarkannya.