Aku terdiam. Sebelum ini, sewaktu Rengasamy dibicarakan di panchayat, aku dan anna telah cuba menjelaskan kepadanya fungsi dan peranan sebenar panchayat.
“Saya tak bersalah, Ramani, Raja. Saya tak cederakan lembu-lembu Balbik Singh.”
Dia berkata begitu kepada kami sekitar dua bulan yang lalu.
“Sabar, Renga. Awak jangan salah anggap fungsi panchayat. Majlis timbang cara ini bukan membicarakan orang yang bersalah sahaja. Panchayat juga membela orang yang tidak bersalah,” kata anna pada waktu itu.
“Benar, Renga. Awak lihat sahajalah. Panchayat pasti akan membersihkan nama awak daripada tuduhan mencederakan lembu-lembu itu,” kataku pula.
Dan memang pada waktu itu, panchayat telah membuktikan bahawa Rengasamy tidak bersalah.
Semua itu hampir dua bulan lalu. Setelah dua bulan berlalu, pohon banyan ini menjadi tapak majlis panchayat sekali lagi. Tentu panchayat akan membuktikan bahawa anna tidak bersalah.
Tapi mengapa anna perlu dituduh? Bukankah ini seperti menuduh Mahatma Gandhi sendiri sebagai mencuri?
“Awak tahu di mana abang awak sekarang?”
“Tidak, encik,” aku berterus-terang.
Ya, di mana anna? Mengapa dia tidak datang ke panchayat bagi membuktikan bahawa dirinya teraniaya? Bahawa dirinya tidak bersalah. Bahawa dia tidak mencuri berhala Kaali Devi.
“Bila kali terakhir awak melihatnya?” Tanya ketua panchayat lagi. Keningnya berkerut.
“Semalam; hampir lewat senja. Kami ke kuil Maha Kaali.”
Aku memandang orang ramai yang hadir di tapak panchayat. Adakah mereka semua benar-benar percaya bahawa anna bersalah?
“Kemudian?”
“Saya, Raja Anna, Malliga Anni dan Revathi berjalan pulang. Anna menyuruh saya menghantar anni dan Revathi pulang ke rumah masing-masing.”
“Raja tak ikut sama?”
“Dia … katanya, dia hendak ke kandang lembu kami di hujung kampung. Lepas tu ….”
Aku tidak dapat meneruskan peneranganku. Bermacam-macam perasaan buruk menghasut hatiku. Oh, Tuhan! Aku yakin abangku tidak bersalah.
“Lepas tu?” Tanya Pak Cik Senthamarei dengan tegas sambil mengerutkan kening.
“Lepas tu …. Itulah kali terakhir saya bertemu anna.”
“Ha! Sudah jelaslah sekarang,” sampuk Sitambaram dengan tidak sabar. “Raja telah kembali ke kuil Maha Kaali untuk mencuri berhala Kaali Devi. Lagi pun, dia tahu bahawa si ayyer sudah pulang ke rumah lebih awal.”
Aku merasakan dunia ini semakin gelap. Dunia ini dipenuhi ketidakadilan. Dunia sudah tidak mengenal insan berhati mulia. Menuduh Raja Anna samalah seperti menuduh Mahatma Gandhi.
“Apa lagi bukti yang panchayat perlukan?” Lelaki gendut itu semakin lancang berkata-kata. “Ramani sendiri sudah mengakui bahawa Raja hilang sejak malam tadi. Dan kami berempat telah melihat dengan mata kepala kami sendiri perbuatan Raja melarikan berhala Kaali Devi. Apa lagi bukti yang panchayat mahu?”
Ketua panchayat terdiam. Masakan Pak Cik Senthamarei turut percaya bahawa bakal menantunya tergamak mencuri; lebih-lebih lagi di kuil Maha Kaali!
Malliga Anni kulihat pucat wajahnya. Air mata sudah tidak tertahan lagi. Masakan dia tidak kecewa apabila bakal suaminya yang berhati mulia dituduh sewenang-wenangnya. Menuduh anna samalah seperti menuduh ….
“Atau mungkinkah ketua panchayat teragak-agak kerana tertuduh adalah bakal menantunya?” Percekcokan pedas James turut mencalarkan hatiku.
Pak Cik Senthamarei memandang James Arivalahan. Mukanya kelihatan serius.
“Di sini,” katanya, “saya adalah ketua panchayat dan ketua kampung. Keperluan dan hubungan peribadi saya tidak akan mempengaruhi keputusan yang diambil oleh panchayat.”
James tersenyum. Sitambaram juga. Cuma Kim Seng dan Mahmood yang hanya berdiri dengan kepala tertunduk tanpa sebarang keinginan untuk turut serta dalam persidangan panchayat.
Para penduduk juga terdiam. Namun, ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri. Kekadang kedengaran nama anna, emak dan aku disebut-sebut. Mungkin mereka sedang berkata: “Mustahil Raja, anak Janaki, akan melakukan perbuatan terkutuk seumpama itu.”
“Baguslah jika begitu,” Sitambaram yang berperut boyot pula berkata. “Kami mahu panchayat menghukum orang yang bersalah tanpa dipengaruhi sentimen kekeluargaan.”
Sitambaram memandang lagi ke arahku. Senyumnya meleret. Tidak lesu seperti semasa aku melihatnya di kuil petang semalam. Kepala Kim Seng dan Mahmood masih tertunduk memandang hujung jari kaki masing-masing.
James Arivalahan, pemilik lembu laga, turut tersenyum; walaupun senyumannya tidak meleret panjang seperti senyuman Sitambaram.
“Jadi, Ramani, apa yang mahu awak katakan berhubung kejadian ini?” Tanya ketua panchayat sebagaimana yang biasa ditanyakan kepada setiap orang yang dihadapkan ke panchayat sebelum ini.
“Abang saya tentu tak bersalah, encik. Tentu ada sesuatu yang tidak kena di sini. Abang saya pasti tidak ada kaitan dengan kehilangan berhala Kaali Devi. Masakan abang saya sanggup mencuri! Saya pasti ada kesilapan pada kenyataan yang dikemukakan oleh saksi. Abang saya mungkin menjadi mangsa fitnah.”
“Bertenang, Ramani. Biar panchayat yang memutuskan hal itu. Awak hanya perlu menjawab pertanyaan saya,” suara Pak Cik Senthamarei meninggi sedikit.
Angin bertiup dari arah Selama. Awan berarak laju melintas di atas kepala. Inikah petanda yang dibawa oleh trisula Dewa Shiva semalam? Adakah anna pada saat ini sedang melalui ujian Tuhan?
Di mana anna?
“Tapi,” kataku sambil memandang rambang ke arah para penduduk yang berhimpun di situ, “anda semua bukan tak kenal abang saya. Dia tak pernah melakukan apa-apa dosa. Malah, memikirkannya pun tidak.”
“Anak Adam boleh berubah,” datang suara Sitambaram; menyindir, kukira.
Pak Cik Senthamarei tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kata-kataku mahupun kata-kata Sitambaram.
“Adakah panchayat masih tidak mahu menerima keterangan kami sebagai bukti?” Tanya James pula.
“Ya,” pintas Sitambaram yang kelihatan semakin bersemangat untuk berhujah. “Kami terserempak dengan Raja yang keluar dari kuil bersama berhala emas itu. Dia lari ke dalam hutan rizab di belakang kuil. Apa lagi bukti yang panchayat mahu kami kemukakan?”
Ketua panchayat terdiam sebentar. Para penduduk Kubur Gajah turut terdiam.
Masihkah mereka berfikir bahawa anna bersalah?
“Cuba anda semua fikirkan sendiri,” sambung Sitambaram. “Cuba kalau Raja benar-benar tak bersalah, kenapa dia tidak menghadirkan diri ke panchayat ini? Kenapa dia tidak datang untuk membela diri? Mengapa dia harus melarikan diri dari kampung ini pada malam buta tanpa memberitahu sesiapa?”
Merah mukaku. Aku cuba mengawal perasaan sebagai menghormati kemuliaan panchayat. Kalau tidak, entah apa yang telah berlaku. Biadab sungguh Sitambaram! Bijak sungguh dia mempengaruhi fikiran para penduduk. – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 26 Jun 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 18 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)