11 Feb 2012

Panchayat: Bahagian 6 – Banyan

[Panchayat menerima aduan bahawa ada kaitan antara kehilangan berhala Kaali Devi dan Raja]

Orang sudah ramai di bawah pohon banyan sewaktu kami bertiga sampai. Mata mereka tajam tertumpu ke arahku. Malliga Anni dan Revathi berdiri di sisiku.


“Sudah sampai, sami,” Maramanden memberitahu Pak Cik Senthamarei, ketua panchayat.


Pak Cik Senthamarei memandang kosong ke arahku. Begitu juga para penduduk lain, kukira. Sitambaram ada di sana. Juga James Arivalahan, Father Francis, Mahmood dan Kim Seng.


Kumaran, si pekedai runcit yang selalu menyorokkan beras di dalam kedai beberapa bulan lalu untuk menaikkan harga pun ada sama. Biasanya, sejak dia dihadapkan ke panchayat tiga bulan lalu, dia tidak mahu hadir sama dalam perbicaraan di panchayat.


Aku mencari-cari kalau-kalau Raja Anna ada di sana. Mungkin juga sesuatu sudah terjadi dan anna telah melaporkan kepada panchayat. Tapi bukankah kata Maramanden tadi, panchayat bersidang berhubung kehilangan berhala Kaali Devi?


Apakah mungkin anna telah berjaya menangkap si pencuri dan menghadapkannya ke panchayat untuk dibicarakan?


Tapi mana anna? Aku melihat dengan teliti ke arah kumpulan penduduk di keliling pohon banyan tetapi kelibat Raja Anna tidak kelihatan di sana.


“Ehem!”


Semua orang diam. Memang para penduduk Kubur Gajah sedia maklum bahawa dehaman Pak Cik Senthamarei menandakan bahawa panchayat akan bermula.


“Kita bersidang pada pagi Ahad, minggu pertama bulan Julai 1960. Anda semua tentu sudah tahu bahawa kita bersidang berhubung laporan kehilangan berhala Kaali Devi dari kuil Maha Kaali,” ketua kampung merangkap ketua panchayat memulakan ucapannya. “Berhala Kaali Devi dilaporkan hilang awal pagi tadi. Anda semua tentu sudah sedia maklum akan kejadian buruk itu.”


Kedengaran suara-suara halus berbisik sesama sendiri.


“Siapa agaknya?”


“Mereka tak takutkah pada balasan Kaali Devi?”


“Pencuri itu pasti dimurkai Tuhan.”


Demikian antara suara desas-desus yang kedengaran.


“Bertenang. Pesalah tidak akan dapat lari daripada hukuman keadilan,” kata Pak Cik Senthamarei sambil sesekali mengangkat-angkat tangan. “Panchayat kampung kita adalah tempat menegakkan keadilan. Dengan kerjasama padu daripada anda semua, kita pasti dapat mengesan pencuri dengan mudah.”


Suara berbisik-bisik masih kedengaran. Sesekali nama Raja Anna disebut. Kadang-kadang namaku pula.


“Ramani.”


Serentak dengan panggilan itu, orang ramai terdiam.


“Ramani,” ketua panchayat memanggil namaku sekali lagi. “Err … Panchayat menerima aduan bahawa ada kaitan antara kehilangan berhala Kaali Devi dan abang awak.”


Kaitan? Kaitan yang macam mana? Adakah anna telah ternampak pencuri itu lalu bertindak memberkasnya? Kalau begitu, mana anna? Kenapa dia tidak hadir sama pada sesi panchayat ini?


Mungkinkah anna tercedera sewaktu menangkap pencuri berkenaan, lalu dia diberikan rawatan di Hospital Besar Taiping? Ah! Terlalu banyak pertanyaan dan terlalu banyak kemungkinan.


“Kaitan yang macam mana?” Tanyaku kepada Pak Cik Senthamarei bagi mencari jawapan bagi persoalan yang mula semakin menghantui fikiran.


Bakal bapa mentua Raja Anna tidak segera menjawab. Dia merenungku dengan suatu pandangan yang sukar kumengertikan. Kemudian cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya ke arah Sitambaram.


Lelaki berusia sekitar empat puluh lima tahun itu pula kini memandangku. Kemudian Sitambaram melayangkan pandangannya ke arah para penduduk Kubur Gajah yang menghadiri panchayat.


Satu demi satu wajah dipandangnya. Ada senyuman kecil pada bibirnya. Juga sukar dimengertikan.


“Sitambaram, ceritakan apa yang kamu beritahu saya pagi tadi,” Pak Cik Senthamarei memberi arahan rasmi.


Sitambaram mendeham beberapa kali selaku membersihkan tekaknya daripada kahak. Kemudian dia menggeragas pula rambutnya dengan jari tangan.


“Petang semalam, James Arivalahan, Kim Seng dan Mahmood datang ke rumah saya. Kami duduk berbual-bual. Kemudian, pada waktu malam, kami ternampak seseorang berlari keluar dari dalam kuil Maha Kaali. Anda semua tahu yang rumah saya terletak di sisi kuil. Jadi, kami nampak dengan jelas pencuri itu. Tapi kami tak pasti apa yang dicurinya. Kami berempat mengejar pencuri itu. Tapi dia berjaya melarikan diri.”


Orang ramai mendengar penerangan itu dengan penuh teliti. Suara-suara berbisik mula kedengaran semula sebaik sahaja Sitambaram berhenti bercakap.


“Awak nampak orangnya?” Tanya Pak Cik Senthamarei.


“Ya. Semasa pencuri itu cuba melarikan diri,” lelaki tersebut meneruskan ceritanya sambil memandang James Arivalahan di sisinya, “James berjaya menangkapnya. Kami nampak wajahnya dengan jelas di bawah cahaya lampu kuil.”


Hatiku mula berdebar. Suara bisikan orang ramai meriuhkan keadaan. Siapakah pencuri berkenaan? Pelbagai fikiran yang bukan-bukan mula bermain dalam kepalaku.


“Raja. Kami pasti benar bahawa pencuri itu ialah Raja,” sambung James pula. “Dia memakai baju kemeja berwarna biru berbelang putih sama seperti yang dipakainya semasa dia datang ke kuil pada sebelah petang.”


“Tidak! Tidak mungkin Abang Raja berbuat demikian!”


Apakah semua ini? Mungkinkah aku sebenarnya sedang bermimpi? Tapi, tidak. Semua ini adalah realiti. James benar-benar sedang menuduh anna mencuri berhala Kaali Devi.


“Tidak mungkin. Tidak mungkin abang saya mencuri berhala Kaali Devi,” jeritku dengan suara marah yang kurasakan berbaur dengan nada merayu.


“Bertenang, Ramani. Sila hormati majlis panchayat,” kata Rengasamy yang berada di sebelahku.


“Tidak mungkin,” kataku dengan suara yang tersekat-sekat kepada Malliga Anni. Dia tercegat di sisiku dengan mata yang terbeliak. Ketidak percayaan juga terpancar pada wajah Revathi. Masakan tidak!


“Bertenang, Ramani. Sila hormati panchayat,” ketua panchayat memberikan arahan pula kali ini. “Panchayat yang berhak memutuskan sama ada aduan ini benar atau sebaliknya. Panchayat akan mendengar keterangan daripada pelbagai pihak sebelum mengambil keputusan.”


Aku memandang para penduduk Kubur Gajah yang menghadiri panchayat. Tidakkah mereka sedar bahawa panchayat mahu membicarakan Raja Anna?


Raja Anna! Sampai hati Sitambaram menuduh anna di panchayat. Membicarakan anna di panchayat bermakna membicarakan orang yang tidak bersalah.


“Abang saya tak bersalah.”


“Kami tidak pula memutuskan bahawa dia bersalah. Biar dia dibicarakan dahulu secara adil,” jawab Pak Cik Senthamarei. – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN


Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 25 Jun 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 11 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)