“Attan dah cari betul-betul? Bila attan cari?” Revathi Akka juga mula turut bertanya bertubi-tubi. “Betul attan dah cari? Eh, ke mana pula Raja Mama pergi?”
“Ingat tak semalam Raja Anna suruh saya hantar kamu berdua ke rumah?”
“Ya, ya. Raja Attan kata dia nak ke kandang lembu,” Malliga Akka mencelah lagi.
“Saya pun menghantar anni dan Revathi pulang ke rumah, bukan? Lepas tu, saya pun tunggulah Raja Anna pulang.”
“Attan tak cuba tengok di kandang tu malam tadi?” Tanya Revathi Akka pula.
“Selepas lama menunggu, saya tertidur. Lepas tu, saya bangun pukul tiga pagi sebab perut lapar.”
“Raja Mama dan attan tak makan malam? Tak baik berlapar,” Revathi Akka mencelah lagi.
Tak bolehkah mereka berdua diam walau sebentar dan mendengar apa yang cuba diterangkan oleh Ramani Mama?
“Tak. Saya tunggu Raja Anna untuk makan malam bersamanya. Apabila saya terkejut daripada tidur, saya dapati anna masih belum pulang. Jadi, saya pun pergilah ke kandang lembu di hujung kampung untuk mencarinya.”
“Raja Attan tak ada di situ? Betulkah awak dah cari betul-betul?” Malliga Akka pula menyampuk.
“Saya dah cari, anni. Tapi Raja Anna tak ada di situ. Saya fikir mungkin anna dah balik ke rumah ikut jalan yang satu lagi. Jadi, saya pulang ke rumah. Tapi anna tiada. Dua tiga kali saya berulang alik dari rumah ke kandang, tapi anna tak ada di mana-mana. Itu yang buat saya risau, anni,” Ramani Mama menjelaskan dengan nafas tertahan.
Malliga Akka dan Revathi Akka berpandangan.
“Betul dia tak datang sini?” Tanya Ramani Mama sambil memandang saya, Revathi Akka dan Malliga Akka berulang kali.
“Betul, mama. Raja Mama tak datang sini,” jawab saya apabila melihat Malliga Akka dan Revathi Akka membatu.
Kami berempat diam. Entah apa yang Ramani Mama, Malliga Akka dan Revathi Akka fikirkan. Tapi tentunya mengenai Raja Mama. Ke mana perginya dia?
Raja Mama dan Ramani Mama memang rapat. Seperti belangkas. Ke mana sahaja mereka pergi, pasti berdua. Begitu rapat persaudaraan mereka.
Malliga Akka dan Revathi Akka selalu juga suka mengusik pasangan kembar itu.
“Entah-entah selepas berkahwin pun mereka tak sanggup berpisah. Nasib malang kitalah, Malliga Akka.” Demikian Revathi Akka suka mengusik mereka.
Tapi hari ini Raja Mama telah menghilangkan diri tanpa memberitahu Ramani Mama. Ke mana agaknya dia pergi? Baru tadi kecoh tentang kehilangan berhala Kaali Devi. Sekarang kecoh tentang kehilangan Raja Mama pula!
Berhala Kaali Devi hilang, Raja Mama pun hilang. Mungkinkah? … Isy! Mustahil.
“Mama dengar tak tentang berhala Kaali Devi?” Soalan itu terjengul begitu sahaja dari mulut saya.
“Hmm. Saya dengar semasa melintas di hadapan kuil tadi. Siapa pula yang tergamak mencuri berhala emas itu?” Suara Ramani Mama lebih tenang sekarang.
Untuk seketika, saya turut cuba menenangkan hati saya daripada memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Raja Mama tentu selamat. Tentu tidak ada kaitan antara dia dan kehilangan berhala Kaali Devi yang heboh diperkatakan.
“Ramani! Ramani!” Laung seseorang dengan suara lantang dari luar pintu hadapan.
Kami berempat berjalan keluar bilik sambil tertanya-tanya siapakah itu. Mungkinkah Raja Mama?
“Malliga! Revathi!”
Terdengar lagi laungan sebelum kami sempat sampai ke pintu hadapan. Maramanden rupanya. Dia berdiri di ambang pintu sambil menjenguk-jenguk ke dalam.
“Ada apa, ayya?” Tanya Ramani Mama.
“Ha, baguslah awak ada di sini,” kata Maramanden tanpa menjawab pertanyaan Ramani Mama.
“Apa halnya?”
“Ketua panchayat suruh saya panggil kamu bertiga.”
“Bapa suruh panggil?” Tanya Malliga Akka.
“Ya, Encik Senthamarei yang suruh saya panggil kamu bertiga dengan segera. Ada panchayat sekarang.”
Ada panchayat? Sudah hampir dua bulan majlis timbang cara tidak bersidang di kampung ini.
Bapa pernah menceritakan kepada saya asal-usul panchayat. Pada sekitar tahun 500 SM, di Semenanjung India, wujud sistem jati yang menggantikan sistem varna. Sistem jati pada hakikatnya tidak sama dengan sistem kasta.
Sistem varna yang dibawa oleh bangsa Arya membahagikan penduduk India Utara kepada kelompok purohita (brahmana), kshatra (kshatriya), vis (vaishya) dan dasa (shudra).
Jadi, sistem kasta yang sering diperkatakan orang adalah sebenarnya sistem varna dan bukannya sistem jati seperti yang difahami ramai.
Sistem jati pula membahagikan para penduduk seluruh India mengikut pengkhususan kerja. Tujuannya adalah agar setiap kumpulan masyarakat berpeluang menikmati hak ekonomi, politik dan sosial.
Jadi, setiap jati memiliki majlis timbang cara sendiri yang disebut panchayat.
“Panca” bermakna “lima” dalam Bahasa Sanskrit, manakala “yat” bermaksud “persidangan” atau “perhimpunan”. Jadi, panchayat terdiri daripada lima orang besar dan terhormat dalam jati berkenaan.
Mereka bersidang untuk mengadili setiap masalah tanpa campur tangan pihak pemerintah pusat. Taraf panchayat lebih kurang seperti mahkamah penghulu yang diamalkan dalam kalangan orang Melayu; tetapi tidak pula sama.
Begitulah konsep panchayat yang asal. Tetapi, menurut bapa sendiri, konsep berkenaan sudah berubah. Panchayat kini diketuai oleh seorang sahaja; biasanya ketua kampung. Sebab itulah bapa menjadi ketua panchayat Kubur Gajah.
“Ada panchayat?” Tanya Ramani Mama. “Tentang kehilangan berhala Kaali Devi, bukan?”
“Ya,” kata Maramanden sambil menambah: “Tentang berhala Kaali Devi dan Raja.” – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 19 Jun 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 4 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)