Saya tidak berpeluang menonton “The Vagina Monologues” karya Eve Ensler yang diarah oleh Ann Lee sebelum dan selepas pementasannya diharamkan di Malaysia suatu masa dahulu.
Namun, apabila mendapat tahu bahawa buku Sex, Stage & State: Kuali Works Plays yang memuatkan tujuh skrip yang dihasilkan Ann Lee dan rakan-rakan “kuali”nya akan dilancarkan di Bali, Indonesia pada 7 Oktober 2011, saya tidak melepaskan peluang untuk hadir sama pada majlis eksklusif itu.
Sebenarnya, kebetulan saya berada di sana kerana menyertai Ubud Writers & Readers Festival dan majlis pelancaran buku berkenaan adalah sebahagian acara sampingan festival.
Buku setebal 297 halaman ini diterbitkan oleh Parama Adhi Perkasa, Jakarta pada September 2011 dan amat sesuai dijadikan koleksi peminat teater bermutu tanpa mengira kewarganegaraan.
Sharon Bakar dan saya menghadiri majlis pelancaran Sex, Stage & State di Rumah Valentine, Ubud antara lain kerana mahu memberi sokongan moral kepada Ann Lee dan rakan-rakannya yang giat mengangkat martabat teater di Malaysia.
Beliau yang lahir di Tawau, Sabah serta mendapat pendidikan di Universiti Westminster dan Universiti Oxford, pernah menjadi penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Malah, di situlah persahabatan kami bermula.
Di Rumah Valentine pula, saya turut berpeluang – akhirnya! – bertemu Goh Soon Siew, Foo May Lyn, Kathy Rowland dan Jo Kukathas yang merupakan antara orang kuat yang terlibat dengan Kuali Works secara langsung atau tidak langsung.
Jo Kukathas hanya rakan saya di ruang siber menerusi Facebook. Saya mengenali – dan mengagumi – beliau manakala beliau tidak mengenali saya (atau demikian andaian saya pada mulanya).
Pengarah, penulis dan pelakon teater ini juga pengarah artistik di Instant Cafe Theatre Company. Terkini, Jo Kukathas mengarah teater “Parah” karya Alfian Sa’at yang dijadual dipentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre pada 1-5 Februari 2012.
Kathy Rowland pernah saya temui suatu ketika dahulu – entah di mana; kami berdua sudah lupa! – dan kami kadang-kadang berkomunikasi menerusi e-mel.
Pertemuan di Rumah Valentine pula membuka ruang dan peluang untuk kami semua duduk berbual tentang pelbagai perkara: sastera, seni, politik, makanan dan rakyat.
Berbalik pada Sex, Stage & State, kesemua tujuh skrip yang termuat di dalamnya adalah bahan dokumentasi yang penting; khususnya dalam meneliti “suara” golongan aktivis teater – khasnya wanita – dalam mengetengahkan “women’s issues – that is, anything under the sun” seperti yang menjadi pegangan Kuali Works sejak ditubuhkan pada 1994.
“Happy Families” yang ditulis dan diarah oleh Ann Lee pada 18-22 November 1993 berlatarkan Sabah dan mengangkat tema penderaan seksual. Kisah disampaikan menerusi pengalaman sekumpulan kanak-kanak yang baru mula mengenai makna “dewasa”.
Petikan teater ini turut dipersembahkan oleh Ann Lee, Foo May Lyn dan Jo Kukathas semasa pelancaran buku di Rumah Valentine. Mesej yang terkandung dalam teater itu merentas zaman, batas geografi dan budaya. Sesiapa sahaja boleh menjadi “mangsa”.
“Kuala Lumpur Knock-Out” yang pertama kali dipersembahkan di Panggung Eksperimen, Kuala Lumpur pada 6-11 November 1996 bukan sekadar kisah seorang “minah kilang” yang bercita-cita menentang Mike Tyson di gelanggang tinju.
“Ternyata Ann Lee mendapat idea daripada peristiwa seorang politikus penting pada waktu itu yang dilaporkan mengadakan hubungan sulit bersama seorang remaja wajah umur.
“Tidak lama kemudian, beberapa lagi politikus tampil membuat pendedahan mengaibkan mengenai remaja itu hingga akhirnya tumpuan media yang dikuasai politik sudah berpindah daripada kisah seorang politikus merogol gadis bawah umur kepada kisah gadis tidak bermoral,” kata Kathy Rowland sewaktu memperkatakan skrip berkenaan.
Teater “Sang Kancil – the Mousedeer that Roared” yang ditulis bersama oleh Ann Lee dan Foo May Lyn juga ada kisah tersendiri yang mungkin kurang diketahui orang.
“Apabila pementasan teater itu sudah bermula, Kuali Works mendapat panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Nathan dari Bukit Aman dan mahu tahu di mana saya berada.
“Skrip teater itu adalah berdasarkan insiden yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Maka, saya rasa terancam berikutan panggilan telefon itu. Akibatnya, saya tidak bermalam di tempat yang sama selama beberapa hari kerana bimbang ditahan di bawah ISA,” Ann Lee menceritakan.
Kathy Rowland turut memuji kemampuan dan keberanian Ann Lee dan Foo May Lyn mengadun kisah tradisi dan isu politik semasa dengan mengangkat watak Sang Kancil yang berjaya memanipulasi sekumpulan buaya tetapi kemudian mendapati dirinya terpinggir dan hilang moral akibat perbuatan sendiri.
Sedutan teater berkenaan yang dipersembahkan oleh Foo May Lyn pada 7 Oktober 2011 membuktikan kekuatan skrip dan kehebatan lakonannya dalam membawakan watak Sang Kancil yang sesungguhnya adalah gambaran orang politik tertentu yang licik menipu rakyat.
Dalam perkembangan lain, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamad Zabidin memutuskan pada 9 Januari 2012 bahawa Datuk Seri Anwar tidak bersalah, lalu mengarahkan beliau dibebaskan dan dilepaskan.
Segera saya membaca semula skrip kisah “Sang Kancil” dengan penuh minat dan dengan interpretasi yang berbeza; khususnya selepas menerima e-mel daripada Ann Lee dan Kathy Rowland pada hari berkenaan berkaitan keputusan kes di mahkamah.
Monolog “Hang Li Poh – Melakan Princess” ditulis dan diarahkan oleh Ann Lee pada 8-14 Julai 1998 serta menampilkan Mew Chang Tsing sebagai pelakon tunggal memegang lapan watak.
Skrip berkenaan kini sedang dalam proses terjemahan untuk dipersembahkan di Indonesia kepada khalayak yang lebih besar. Malah, beberapa teater yang diusahakan Kuali Works turut mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Teater “From Table Mountain to Teluk Intan” lebih berupa kisah diri Shahimah (Charmaine W) Idris, wanita Melayu kelahiran Cape Town, Afrika Selatan yang ditikam di tempat letak kereta di Kuala Lumpur pada 1997.
Kisah itu pertama kali dipentaskan di Kuala Lumpur pada 2-21 Oktober 2000. Kemudian turut dipentaskan pada New York International Fringe Festival pada 15-21 Ogos 2002.
“Tarap Man” yang dipentaskan di Kuala Lumpur pada 5-9 Disember 2007 sekali lagi menggunakan latar negeri Sabah. Bagaimanapun, teater ini tidak lagi berciri “nostalgia zaman kanak-kanak” seperti “Happy Families”.
“Aashi, seorang wartawan kanan, ditukarkan ke Malaysia Timur kerana tidak tunduk pada permintaan sang ketua yang ada motif politik. Dengan berlatarkan negeri kelahiran Ann Lee, teater ini berjaya mengungkapkan ketegangan politik yang wujud antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri pada waktu itu,” Kathy Rowland menghuraikan.
“Perpustakaan” pula sebuah teater tanpa dialog. Saya masih terbayang-bayang aksi lucu Jo Kukathas yang melakonkan watak pustakawan semasa majlis pelancaran Sex, Stage & State tempoh hari!
Di luar daripada lingkungan buku ini, karya-karya yang diterbitkan oleh Kuali Works turut diperkatakan secara akademik dalam pelbagai buku dan jurnal antarabangsa; antaranya The Routledge Concise History of Southeast Asian Writing in English (2010) dan The Drama Review (2002).
Hasil tulisan Ann Lee turut dimuatkan dalam Body 2 Body: A Malaysian Queer Anthology (2009), March 8: Time for Real Change (2010) dan Malaysian Tales: Retold & Remixed (2011).
Bermula dengan pementasan “Colour Blind” karya Karen Kuah pada 1996, Kuali Works yang ditubuhkan pada 1994 sudah menjayakan pementasan 17 teater.
Kathy Rowland yang menulis pengenalan pada buku Sex, Stage & State menyebut bahawa syarikat itu juga pernah menerbitkan siri televisyen “Ratu Sukan” sempena 100 tahun pencapaian cemerlang wanita Malaysia dalam bidang sukan.
Dari 1996 hingga 1999, Kuali Works turut menganjurkan siri seminar dan bengkel khas bagi wanita dalam pelbagai bidang seni, termasuk pengurusan kewangan dan penerbitan teater.
Agak malang bahawa pada akhir tahun 2010, Kuali Works terpaksa ditutup atas pelbagai faktor. Namun, walaupun “kuali” sudah ditutup, penulisan sejarah perkembangan teater Malaysia tidak akan lengkap tanpa menyebut nama syarikat itu.
Memiliki senaskhah Sex, Stage & State pula umpama memiliki secebis daripada serpihan sejarah itu sendiri yang tidak ternilai harganya.
(Uthaya Sankar SB pernah terlibat dalam pementasan teater pada zaman sekolah serta mengambil pengajian seni persembahan sebagai minor sewaktu di Universiti Malaya. Artikel ini ditulis pada 7-9 Januari 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 17 Januari 2012.)