10 Jan 2012

Tentang Bahasa Malaysia

Seorang warga Indonesia keturunan Cina, Budi Hartono (Lim Sia Kim) menulis sepucuk surat yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 2 Ogos 2007.

Beliau berasa aneh melihat warganegara Malaysia kurang lancar menggunakan Bahasa Malaysia; berbanding warganegara Indonesia yang ketara menggunakan Bahasa Indonesia.


“Seperkara lagi yang mengganggu fikiran saya ialah sebahagian rakyat Malaysia tidak mempunyai rasa bangga untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia,” katanya.


Susulan daripada itu, Naimi Jamil, orang Malaysia yang bekerja di Jakarta mengakui bahawa “kita bangga menjadi rakyat Malaysia tetapi sebahagian daripada kita tidak mampu bertutur Bahasa Malaysia dengan baik” (Utusan Malaysia, 3 Ogos 2007).


Seorang individu yang menggunakan nama samaran ‘Anak Dagang’ pula tampil empat hari kemudian dengan mengatakan bahawa beliau “tidak pernah mendengar ada pertubuhan dari kaum Cina atau India yang menjalankan gerakan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan” (Utusan Malaysia, 7 Ogos 2007).


Tidak menjadi masalah bahawa ‘Anak Dagang’ tidak pernah mendengar mengenai Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Sebaliknya, apa yang menimbulkan keresahan adalah apabila “kaum Cina atau India” sentiasa dipersalahkan dalam soal penguasaan Bahasa Malaysia.