Hakikat yang terpaksa diterima adalah bahawa tarikh dan proses pilihan raya bukan di tangan Rakyat; sebaliknya di tangan para pemimpin yang pasti akan mengambil kira pelbagai perkara – termasuk tetapi tidak terhad kepada aspek wijaya bagi parti, sekutu dan keluarga serta sistem nombor dan angka.
Di pihak Rakyat pula, kita sering berhadapan dengan pemimpin yang rancak berkempen menjelang tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK). Wajah-wajah yang sebelum ini tidak pernah kelihatan, tiba-tiba mula muncul di depan pintu pondok buruk bagi bertanya khabar dan merayu undi.
Bagi Rakyat seperti saya, tentulah meluat tidak terkata apabila terpaksa menerima kehadiran golongan seperti itu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Bukan bermakna saya membenci mereka. Tidak sama sekali! Apalah makna hidup tanpa kehadiran golongan politikus yang menceriakan hidup Rakyat dengan gelak, lawak dan tawa mengatasi bakat semula jadi yang dimiliki badut di sarkas.
Tambahan pula, mereka sering menjadi sumber inspirasi bagi karya faksyen, parodi, satira dan farsa yang saya hasilkan.
Harus juga dinyatakan bahawa tidak semua politikus “memenuhi” kriteria yang baru sahaja dinyatakan di atas; namun jumlah mereka memang tetap membentuk majoriti besar.
PRU-12, misalnya, menyaksikan kemunculan sejumlah calon yang tidak pernah dikenali dalam arena politik tempatan. Tampil juga calon-calon lama yang berciri dua kali lima.
Suatu hakikat yang boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah berhubung kedangkalan calon-calon yang berkempen menjelang PRU dan PRK.
Kedangkalan yang saya maksudkan adalah dari pelbagai segi; termasuk tetapi tidak terhad pada aspek komunikasi lisan dan bahasa tubuh (body language), penampilan diri di khalayak, cara menjawab pertanyaan wakil media, cara mengeluarkan kenyataan rasmi, penampilan imej di laman rangkaian sosial dan kemampuan melakukan kawalan kerosakan (damage control).
Tentu sahaja saya tidak memfokus kepada calon dari mana-mana parti politik. Malah, termasuk juga calon bebas yang sering kali kehadiran mereka dilihat sebagai sekadar menceriakan suasana kempen pilihan raya.
Mungkin ada calon pemimpin yang kacak/jelita dan wajahnya sentiasa tersenyum dan ceria. Namun, pada saat mereka membuka mulut untuk berkata-kata, kelemahan komunikasi lisan serta kekurangan dari aspek perhubungan awam (public relations) tampak nyata.
Ini belum lagi mengambil kira menjawab soalan wakil media. Dan tentunya saya tidak berani membayangkan mereka menyertai rancangan bicarawara yang disiarkan secara langsung menerusi radio atau televisyen.
Memiliki think-tank yang mampu mengumpulkan segala fakta adalah satu perkara. Kemampuan memanfaatkan segala maklumat itu pula bergantung sepenuhnya kepada pemimpin itu sendiri. Kecuali jika akaun Facebook, Twitter, blog dan kenyataan media diuruskan sepenuhnya oleh individu lain yang lebih berkemampuan berbanding individu berkenaan.
Bayangkan seorang pemimpin – atau calon pilihan raya – diwawancara secara eksklusif oleh sebuah akhbar, majalah, stesen radio atau televisyen. Tanpa ilmu, panduan, nasihat dan bimbingan yang sewajarnya, individu itu akan melakukan kesilapan besar yang boleh “membunuh” karier politiknya sebelum tiba tarikh mengundi.
Risiko yang sama dihadapi calon yang gementar apabila berada di pentas, di hadapan kamera, di hadapan mikrofon atau menghadap orang ramai.
Selain memikirkan soal memiliki pasukan penyelidikan (research team), think-tank, setiausaha akhbar dan bendahari yang berkemampuan, seorang calon pilihan raya – bakal pemimpin – perlu turut memikirkan untuk melantik seorang perunding yang mampu “membina” imejnya sebagai individu yang berkaliber.
Setiap kali seorang pemimpin berucap di khalayak atau menjawab pertanyaan wakil media, perhatikan sendiri sama ada kita sebagai Rakyat tersenyum bangga atau sebaliknya meluat melihat/mendengar jawapan yang diberikannya.
Perkara sama boleh dilakukan setiap kali muncul PRU dan PRK. Malah, suasana lebih “meriah” kerana “sarkas” itu turut disertai jentera pilihan raya beberapa parti politik.
Apa yang dinamakan sebagai “jentera pilihan raya” pula bukan terdiri daripada pakar bidang. Sebaliknya pemimpin/ahli/penyokong parti politik itu sendiri yang sifat dan sikapnya dua kali lima. Maka, apa sangat yang boleh diharapkan daripada “jentera” itu?
Mungkin belum terlewat untuk bakal pemimpin dan bakal calon pilihan raya – khususnya menjelang PRU-13 – memikirkan soal mendapatkan bimbingan secara profesional berhubung beberapa perkara yang dinyatakan di atas.
Memang arena politik di negara bertuah ini belum cukup matang untuk membuatkan kita memikirkan soal profesionalsime yang tinggi dalam soal-soal yang diungkitkan tadi.
Namun, bagi pemimpin atau bakal pemimpin yang berwawasan dan mahu membina diri sebagai tokoh yang berwibawa, berjaya, disegani dan terus dikenang, tentulah soal-soal kecil seperti yang diperkatakan di sini perlu diberi perhatian.
Kempen pilihan raya di negara kita lebih ketara dipenuhi insiden maki-hamun, memfitnah, saling menuduh, saling mengaibkan dan segala perbuatan tidak bertamadun, tidak bermaruah dan tidak profesional.
Sekali gus mencemarkan nama baik “pilihan raya” dan konsep “pemimpin” itu sendiri.
Mungkin belum terlewat untuk membimbing calon pilihan raya dan bakal pemimpin mengenai pelbagai aspek yang perlu diambil kira jika mahu muncul sebagai pemimpin yang boleh diterima Rakyat. Untuk tampil sebagai pemimpin yang bijak dan berwibawa.
Sejak beberapa bulan lalu, saya bersama beberapa rakan membincangkan soal ini secara serius. Kami membahaskan pelbagai isu dan persoalan yang perlu ditangani secara bijak oleh mana-mana individu yang mahu menjadi calon pilihan raya dan bakal pemimpin.
Kami memutuskan bahawa selain daripada kami terus melihat dan mempersenda segala kelemahan seperti yang dinyatakan di atas – dan saya pula mendapat “bekalan” idea yang berterusan untuk menulis faksyen – elok juga kami menggabungkan tenaga dan kepakaran kami untuk “membantu” mana-mana pemimpin, bakal pemimpin atau calon pilihan raya yang mahu “dibantu” secara profesional.
Saya selaku pemilik Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya percaya, belum terlewat untuk Rakyat mengharapkan kemunculan calon-calon yang lebih berwibawa, mantap, berilmu dan profesional menjelang PRU-13.
(Artikel ini pertama kali disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 30 Mei 2011 sebelum didokumentasikan di blog ini pada 5 Jun 2011.)