Sunday, 29 May 2011

Isu pelajar gaduh SMK di Shah Alam tukar jadi ‘krisis PIBG’

SHAH ALAM, 28 Mei 2011 – Isu pergaduhan pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam kini bertukar menjadi pertikaian antara ibu bapa dan kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Hari ini, sekumpulan ibu bapa pelajar sekolah berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Taman Sri Muda di sini berikutan kenyataan Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut pertengahan minggu ini.


Wakil ibu bapa, V. Stephen Perumal berkata, laporan polis pihaknya merujuk kepada kenyataan Yang Dipertua PIBG, Anita Atan Khamis lalu.


Isu terbaru ini bersangkut paut dengan insiden pergaduhan pada 13, 19 dan 20 April lalu di sekolah tersebut yang membawa kepada penahanan lebih 20 pelajar.


“Pada 24 Mei, Anita telah membuat laporan polis. Dalam kenyataan akhbar bertarikh 25 Mei, beliau memberitahu pihak PIBG rasa terhina dan maruah tercemar atas fitnah yang dilemparkan oleh ‘individu tertentu’.


“Kenyataan akhbar itu juga ada menyentuh perkara yang dibincangkan kami bersama pihak PIBG. PIBG sepatutnya berbincang dahulu dengan kami sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan, bukan dengan terus membuat laporan polis,” katanya pada sidang media hari ini.


Perumal memberitahu, PIBG telah menjemput ibu bapa dan penjaga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda untuk mengadakan sesi dialog bagi membincangkan masalah mereka hadapi, 21 Mei lalu.


Bagaimanapun, mereka tidak menyangka PIBG akan membuat laporan polis terhadap apa yang dibincangkan dalam dialog tersebut.


“Sabtu lalu, ketika sesi dialog itu, kami bercakap mengenai hal anak-anak kami yang belajar di sana. Mereka pada masa itu tidak berkata apa-apa, cuma mereka memberitahu tidak mahu memperbesarkan perkara ini (isu pergaduhan).


“Tiba-tiba kami lihat dalam akhbar Sinar Harian, pihak PIBG membuat laporan polis,” katanya.


Beliau turut berkata, ibu bapa yang hadir sesi dialog tersebut telah cuba menghubungi dan menghantar SMS kepada Anita berhubung kenyataannya tetapi tiada respons.


Anita berkata, risalah tersebut telah diedarkan kepada masyarakat di sekitar kawasan berkenaan.


Anita juga berkata, laporan polis itu dibuat untuk menjernihkan keadaan sekali gus membersihkan maruah mereka.


Perumah menambah, PIBG sepatutnya mewakili ibu bapa untuk menyelesaikan perkara berkaitan sekolah dan bukan memihak pihak sekolah.


Beliau berkata, pihaknya terpaksa membuat laporan polis hari ini bagi membersihkan maruah dan imej mereka.


“Kami komen secara ikhlas dan terbuka semasa sesi dialog bersama PIBG Sabtu lalu. Saya sebagai salah seorang ibu bapa yang menghadiri sidang dialog bersama pihak PIBG sekolah berasa kecewa dengan sikap Anita yang memutar belit fakta dalam kenyataannya,” katanya.


Beliau juga menggesa pihak PIBG menarik balik laporan polis itu dalam masa seminggu.


(Zulaikha Zulkifli, The Malaysian Insider, 28 Mei 2011)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!