Thursday, 3 March 2011

Bebaskah Panel Pindaan Interlok?

PETALING JAYA: Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid di Putrajaya pada 16 Februari lalu, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata, panel itu akan bertemu semula dalam masa dua atau tiga minggu. [BACA DI SINI]
.

Tidak mustahil mesyuarat susulan diadakan tanpa pengetahuan pihak media dan orang ramai bagi memastikan panel bebas boleh melaksanakan tugas yang diamanahkan tanpa sebarang gangguan.

.

Penulis telah berusaha menghubungi beberapa anggota panel mengikut senarai yang diumumkan pada 16 Februari lalu tetapi tiada yang mahu mendedahkan sebarang maklumat.

.

Dari satu segi, pendirian tegas mereka perlu dipuji kerana sikap itu sekali gus membuktikan integriti dan sikap amanah yang dipegang. Dari aspek lain, masyarakat umum masih tertanya-tanya apa perkembangan berhubung kontroversi novel Interlok yang sedang dalam proses pindaan.

.

Pelbagai mesej juga mula tersebar melalui SMS sejak berita mengenai mesyuarat pertama pada 16 Februari lalu disiarkan oleh media masa.Nada kebimbangan dan cemuhan yang terkandung dalam mesej-mesej itu secara tidak langsung menggambarkan suasana dan keluhan di kalangan masyarakat umum.

.

Pada masa sama, adalah menjadi harapan penulis bahawa anggota Panel Bebas yang dilantik akan terus komited melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia.

.

Buat masa ini, amat sukar untuk menjangkakan apa yang sedang dibincang, dirunding, dibahas dan diperkatakan Panel Bebas. Apa yang pasti, seperti dikatakan Shamsul Amri dalam sidang media lalu, perbincangan berlangsung dalam suasana muhibah dan positif.

.

Penulis mengikuti pendirian Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan sekutunya sejak kontroversi novel Interlok tercetus. Tidak mustahil bahawa Profesor Datuk Zainal Abidin Borhan yang merupakan Setiausaha Satu Gapena membawa pendirian Gapena dan NGO Melayu dalam mesyuarat panel, secara langsung atau tidak langsung. [DI SINI]

.

Penulis juga berpeluang mengikuti taklimat khas yang diadakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengenai novel ini pada 16 Januari lalu. Dalam taklimat itu, sekurang-kurangnya seratus kesalahan fakta, kesalahan bahasa dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dihuraikan secara lengkap dan terperinci oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB. [DI SINI]

.

Persoalannya, mungkinkah Uthaya tetap membawa kesemua kesalahan dan kesilapan itu untuk dibentang pada mesyuarat Panel Bebas seperti diharapkan dan dinantikan masyarakat umum, khasnya kaum India?

.

Apa pun, penulis percaya Uthaya, Profesor N S Rajendran dan G Krishnabahawan mempunyai pendirian yang sama serta mampu membawa “suara” masyarakat untuk didengar oleh panel.

.

Di sisi lain, penulis juga berandaian bahawa Profesor Madya Dr Lim Swee Tin dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mampu mengetengahkan pelbagai perkara yang menyentuh sensitiviti kaum Cina dalam novel edisi murid itu.

.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abd Aziz pula diharap dapat mendengar dan meneliti setiap hujah dengan teliti dan terbuka kerana badan berkanun itu mempunyai tanggungjawab besar dalam menerbitkan karya sastera yang sesuai bagi bacaan masyarakat pelbagai kaum.

.

Kehadiran Datin Siti Saroja Basri mewakili suaminya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, mungkin dipertikaikan sesetengah pihak kerana beliau mungkin sukar bersikap “bebas” dalam isu ini.

.

Bagaimanapun, selepas mendengar segala hujah dalam Mesyuarat Panel Bebas, Datin Siti Saroja boleh bertindak sebagai “orang tengah” untuk menerangkan kedudukan sebenar kepada Datuk Abdullah.

.

Penulis berpendapat bahawa Panel Bebas yang dilantik ini perlu diberi kuasa dan kepercayaan penuh untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin tanpa perlu diganggu orang luar.

.

Kehadiran Datuk Shamsul Amri sebagai pengerusi juga meningkatkan kredibiliti Panel Bebas dalam melaksanakan tugas dengan amat baik dan objektif.

..

(K Pragalath, Free Malaysia Today, 2 Mac 2011)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!