15 Nov 2010

Tabung Buku Kanak-kanak Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR – Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) melancarkan tabung buku untuk kanak-kanak dan remaja mangsa banjir, khasnya di Kedah dan Perlis.
.

Presidennya, Datin Paduka Shahaneem Hanoum berkata, tabung itu diwujudkan untuk membantu kanak-kanak dan remaja yang menghadapi malapetaka dalam kehidupan mereka seperti bencana alam, peperangan atau kemunduran ekonomi dan sosial.

.

“Walaupun tabung ini masih pada peringkat awal, tetapi memandangkan banjir sudah melanda beberapa negeri di bahagian utara Semenanjung Malaysia, MBBY memutuskan untuk segera menggerakkan usaha mengumpulkan bahan bacaan yang sesuai disalurkan kepada kanak-kanak dan remaja yang terjejas banjir,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis prapelancaran Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), di sini, pada 11 November 2010.

.

Katanya, antara program yang dirancang bagi mangsa banjir adalah pembinaan pusat pembacaan, terapi membaca, sumbangan bahan bacaan dan peralatan perpustakaan, sesi bercerita dan aktiviti membaca.

.

“Kita perlu sedar bahawa kanak-kanak dan remaja biasanya hilang bahan bacaan akibat banjir dan tapak tempat permainan mereka juga dinaiki air. Malah, tidak selamat untuk membiarkan mereka bermain dalam banjir.

.

“Kanak-kanak mangsa banjir juga memerlukan terapi membaca dan pelbagai aktiviti berkaitan buku yang amat sesuai untuk mengisi masa lapang dan memulihkan semangat mereka.

.

“Selain bahan bacaan terpakai daripada orang ramai, kami juga mengharapkan sumbangan buku daripada penerbit tempatan yang prihatin,” katanya.

.

Shahaneem berkata, MBBY sedang mengumpulkan bahan bacaan sumbangan orang ramai di Perpustakaan Taman Tun Dr Ismail, di sini dan urus setia tabung itu boleh dihubungi melalui talian 03-77266310 untuk maklumat lanjut.

..

(Sinar Harian, 13 November 2010)