16 Oct 2010

Operasi Menyelamat Bersejarah

Jam 12.04 tengah malam 13 Oktober 2010 mencatatkan sejarah penting bagi Chile apabila seorang demi seorang pelombong yang terperangkap hampir 700 meter di bawah tanah mula dikeluarkan menggunakan terowong dan kapsul khas.
.
Masa hampir 50 minit diperlukan untuk menurunkan kapsul Phoenix ke dalam lubang dan menariknya semula secara perlahan untuk membawa keluar pelombong terbabit.
.
Sebaik sahaja pelombong pertama berjaya dibawa keluar, orang ramai yang berkumpul mula menjerit, “Chi! Chi! Chi! Le! Le!” sambil bertepuk gembira.
.
Pelombong terakhir yang akan dibawa keluar ialah Luis Urzua, individu yang mengetuai kumpulan pelombong selama 69 hari mereka terperangkap.
.
“Urutan mereka dibawa keluar tidak penting. Misi ini hanya berjaya apabila kesemua 33 pelombong ini berjaya dibawa keluar,” kata Janette Marin, adik ipar kepada salah seorang mangsa terbabit.
.
Dalam pada itu, pakar perubatan yang bertugas memeriksa kesihatan kesemua pelombong terbabit mempunyai kuasa untuk mengubah urutan dalam senarai mangsa yang dibawa naik menggunakan kapsul khas.
.
Selepas mangsa yang paling kuat dan bersedia secara mental berjaya dibawa keluar, urutan dalam senarai yang disediakan adalah pelombong yang mengalami pelbagai penyakit dan masalah kesihatan.
.
Pelombong terakhir yang akan dikeluarkan adalah individu yang memiliki kekuatan mental dan fizikal.
.
Langkah awal diambil untuk melindungi kesemua pelombong daripada menjadi buruan dan serbuan wakil media sebaik melangkah keluar dari dalam lubang yang dikorek khas.
.
Pelombong terbabit akan diiringi pegawai bertugas melalui laluan khas menuju ke ambulans untuk dibawa ke khemah bagi pemeriksaan kesihatan.
.
Kemudian, pelombong itu akan dibawa menggunakan helikopter ke Hospital Copiapo untuk pemeriksaan lanjut.
.
Operasi menyelamat ini disiarkan secara langsung di Chile dan beberapa negara seluruh dunia.
.
Kesemua 33 pelombong yang diberi diet khas oleh pakar pemakanan dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) sejak 22 Ogos lalu akan terus merasai pengalaman seperti angkasawan sehingga berjaya dibawa keluar.
.
Sebelum memasuki kapsul Phoenix berdiameter 60 sentimeter, pelombong terbabit diberi minuman khas yang digunakan angkasawan untuk mengelak daripada rasa pening dan muntah.
.
Perkara ini amat perlu kerana kapsul itu akan berpusing 10-12 kali sewaktu ditarik keluar melalui lengkuk sejauh 622 meter menuju ke permukaan tanah.
.
Pelombong itu juga memakai topeng oksigen sebagai persediaan jika perlu sementara kamera khas digunakan oleh memantau keadaan individu itu sepanjang perjalanan.
.
Jaket tebal yang dipakai pula penting kerana pelombong berkenaan akan mengalami perubahan perubahan suhu yang amat ketara.
.
Pelombong terbabit perlu segera diterbangkan ke hospital di Copiapo untuk rawatan lanjut.
.
Mereka dijangka dibenarkan pulang dalam masa dua hari selepas semua pemeriksaan kesihatan selesai.
.
Sementara itu, pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi menyelamat sentiasa berhati-hati dan bersiap-sedia menghadapi sebarang masalah teknikal yang mungkin berlaku dalam tempoh hampir 33 jam sepanjang operasi berlangsung.
.
Penyelaras operasi, Andre Sougarett berkata, mungkin akan berlaku runtuhan kecil di dalam terowong khas yang dikorek sepanjang lebih 600 meter.
.
“Pelombong terbabit mesti mengelak daripada menjadi panik semasa kapsul yang memuatkan mereka ditarik keluar. Pelombong juga berada dalam keadaan sedar tanpa diberi sebarang ubat pelali supaya mereka boleh bertindak pantas jika timbul sebarang masalah teknikal yang tidak dijangka,” katanya.
.
Tiada siapa yang boleh menduga apa yang mungkin boleh berlaku kerana operasi menyelamat seperti ini belum pernah dilakukan di mana-mana.
.
Menteri Perlombongan, Laurence Golborne yang menguruskan operasi sejak awal optimis bahawa segalanya akan berjalan lancar berikutan kerjasama semua pihak yang terlibat.
.
“Saya tidak boleh menafikan bahawa kita yang berada di luar sini lebih bimbang daripada mereka yang berada di dalam sana,” katanya.
.
KRONOLOGI OPERASI MENYELAMAT
.
Pelombong yang terperangkap mula dibawa keluar seorang demi seorang bermula tengah malam waktu tempatan, bersamaan hampir 11.00 pagi waktu Malaysia, semalam. Berikut senarai 10 pelombong terawal:
.
12.04 tengah malam - Florencio Avalos, 31, tersenyum lebar sebaik melangkah keluar dari dalam kapsul Phoenix, lalu memeluk isteri dan anak berumur 7 tahun sebelum dipeluk erat oleh Presiden Sebastian Pinera. Avalos seorang yang pemalu dan sering memegang kamera apabila pelombong lain membuat rakaman untuk dihantar kepada keluarga yang menunggu di sekitar lombong yang runtuh.
.
1.10 pagi - Mario Sepulveda Espina, 39, muncul sambil menjerit kegembiraan sebelum kapsul khas sampai ke permukaan. Selepas memeluk isterinya, pelombong itu menyerahkan batu-batu kecil sebagai cenderamata kepada unit penyelamat. Dia juga meloncat kegembiraan untuk menunjukkan bahawa dia sihat.
.
2.08 pagi - Bekas tentera, Juan Illanes, 52, juga memeluk isterinya sebaik berjaya dibawa keluar. Sepanjang 69 hari terperangkap di dalam lombong, Illanes sentiasa meminta rakan-rakan yang turut terperangkap supaya berdisiplin dan mengatur aktiviti seharian.
.
3.09 pagi - Pelombong Bolivia, Carlos Mamani, 24, disambut isterinya yang tidak dapat mengawal rasa gembira. Mamani mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Chile yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
.
4.10 pagi - Jimmy Sanchez, 19, adalah pelombong termuda dalam kumpulan ini. Sebaik keluar, dia diberikan bendera pasukan bola sepak kegemarannya, Universidad de Chile. Bapa kepada bayi berumur empat bulan ini mengakui telah banyak berfikir selama 69 hari lalu. Dia berjanji akan berubah menjadi insan yang baik.
.
5.34 pagi - Osman Isidro Araya, 30, berjaya dibawa keluar selepas pasukan penyelamat melakukan sedikit kerja-kerja penyelenggaraan pada terowong khas dan kapsul yang digunakan.
.
6.21 pagi - Jose Ojeda, 47, yang menyambut hari jadi pada Isnin adalah pelombong ketujuh yang berjaya dibawa keluar.
.
7.02 pagi - Claudio Yanez, 34, disambut oleh kekasihnya yang bersetuju untuk mengahwininya semasa pelombong itu masih berada di dalam lombong yang runtuh sejak 5 Ogos llau.
.
7.59 pagi - Mario Gomez, 63, yang mula bekerja di lombong pada usia 12 tahun, terus melutut dan bersembahyang sebaik dibawa keluar.
.
8.52 pagi - Alex Vega, 31, (foto) bapa beranak dua yang bekerja keras mengumpul duit untuk membeli rumah sendiri. Bapa Vega menggunakan nama palsu untuk menjadi sukarelawan operasi menyelamat kerana ahli keluarga mangsa dilarang turut serta.
...
Skrip ini ditulis berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber untuk siaran Halaman Global di akhbar Sinar Harian pada 14 Oktober 2010. Sila KLIK DI SINI untuk paparan maklumat persiapan terakhir operasi menyelamat. [Filem, drama dan dokumentari berdasarkan insiden ini - BACA DI SINI] [Permintaan para pelombong - Jangan Ganggu Kami]