13 Jul 2010

Bosnia Kenang Peristiwa 1995

Puluhan ribu penduduk Bosnia mengadakan upacara khas pada 11 Julai 2010 sebagai memperingati hampir 8,000 penduduk yang dibunuh tentera Serb dalam peristiwa hitam berikutan perpecahan negara itu daripada Yugoslavia.
.

Upacara khas diadakan di tanah perkuburan Potocari di mana 775 mayat mangsa yang baru sahaja diketahui identiti mereka dikebumikan.

.

Sebelum ini, tanah perkuburan itu menempatkan mayat 3,749 penduduk Bornia yang menjadi mangsa kekejaman tentera Serb.

.

Sabtu lalu, keranda 775 mangsa berkenaan tiba di tanah perkuburan dan diusung beramai-ramai oleh penduduk Bosnia sebagai persiapan untuk disemadikan dalam upacara khas pada Ahad.

.

Hampir 8,000 lelaki dewasa, remaja dan kanak-kanak etnik Bosnia dibunuh dalam kekejaman tentera Serb selepas menawan wilayah Srebrenica pada 11 Julai 1995.

.

Mahkamah Jenayah Perang kendalian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyifatkan peristiwa itu sebagai jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai serta perlu dibicarakan.

.

Mengikut rekod, mangsa dibunuh dan dicampak beramai-ramai ke dalam lubang besar sebelum ditimbus tentera Serb.

.

Kemudian, kubur itu dikorek dan tulang mangsa ditanam semula di 70 tapak berasingan untuk menyembunyikan bukti jenayah yang dilakukan tentera Serb.

.

Tulang-tulang itu digali semula dan ujian DNA dilakukan pakar forensik sejak beberapa tahun lalu bagi mengenal identiti mangsa, sebelum tulang-tulang itu dikebumikan dengan sempurna di tanah perkuburan Potocari.

.

Sehingga kini, identiti hampir 6,500 mangsa sudah dikenal pasti selepas tulang mereka ditemui dalam beberapa lubang berasingan.

.

Upacara khas di Srebrenica turut dihadiri Presiden Serbia, Boris Tadic dan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

.

Kehadiran Tadic menimbulkan kemarahan sebahagian keluarga mangsa kerana komander tentera Serb, Ratko Mladic, yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai pada 1995 dipercayai bersembunyi di Serbia.

.

Seorang lagi penjenayah perang yang terlibat dalam penghapusan etnik Bosnia, Radovan Karadzic, ditangkap di Belgrade pada 2008 dan sedang dibicarakan Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa bagi Bekas Yugoslavia (ICTY).

..

(Sinar Harian, 12 Julai 2010)