18 May 2010

Panduan Mudah: “per—an” atau “pe—an”?


Sebelum ini, saya ada membuat catatan di blog mengenai panduan penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada” [BACA DI SINI] serta tanda baca [BACA DI SINI].
.

Berikut, sedikit petua yang saya amalkan berkaitan penggunaan imbuhan “per—an” atau “pe—an” dalam Bahasa Malaysia.

.

Perlantikan atau pelantikan? Pesaraan atau persaraan? Peletakan atau perletakan? Perlancongan atau pelancongan?

.

Berikut cara mudah yang saya amalkan untuk mengetahui penggunaan yang betul.

.

Pada kata dasar berkenaan (misalnya, lantik, sara, letak dan lancong), cuba letakkan imbuhan “ber”.

.

Maka, lahirlah “berlantik”, “bersara”, “berletak” dan “berlancong”. Tentu kita tahu bahawa “berlantik”, “berletak” dan “berlancong” tidak wujud.

.

Begitu juga, “perlantikan”, “perletakan” dan “perlancongan” tidak wujud dalam Bahasa Malaysia. Antara yang ada hanya “bersara” dan “persaraan” (tetapi sila bezakan dengan “pesara”).


Ringkasnya, secara asas, jika kata dasar itu boleh menerima imbuhan “ber” maka ia boleh juga menerima imbuhan “per—an”. Contohnya:

.

Bermain – permainan

Bersara – persaraan
Berbincang – perbincangan
Bersahabat – persahabatan
Berkahwin perkahwinan
Berjalan perjalanan
Bertunang pertunangan
Bersatu persatuan
.

Jika perkataan yang terhasil apabila diberi imbuhan “ber” kedengaran amat pelik, maka gunakan imbuhan “pe—an”. Contohnya:

.

X berlantik – pelantikan

X berletak – peletakan

X berlancong – pelancongan

X berpulih – pemulihan

X berlaksana  pelaksanaan

X berlupus pelupusan

..

Panduan yang saya berikan ini tentu sahaja tidak mengikut hukum bahasa yang diamalkan “pakar bahasa” dan “pakar linguistik” tetapi sekadar cara mudah yang saya amalkan sejak dahulu. [Hubungi Uthaya]

4 comments:

  1. Sdr Uthaya, Panduan amat baik. Syabas. Teruskan usaha murni seperti untuk membimbing masyarakat kita untuk berbahasa Melayu dengan baik.

    Dr S. Nathesan

    ReplyDelete
  2. terbaiklah Encik Uthaya.

    ReplyDelete
  3. cikgu, saya nak tanya bagaimana pula penjelasan bagi perkataan "berkarang'dan "pekarangan"?

    ReplyDelete
  4. Terbaik! Penulisan yang sangat membantu.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!