25 Feb 2010

Persembahan Hebat

Tidak lama dahulu, saya berpeluang mengikuti suatu persembahan yang sangat menakjubkan dan dijayakan beberapa individu berbakat, profesional dan berpakaian kemas. Hadirin hampir 250 orang walaupun perlu berbelanja agak besar.
.

Tidak! Persembahan ini tidak melibatkan penyanyi atau pelakon sebagai “umpan”. Tidak juga mengundang orang politik untuk berucap (baca: berkempen). Bukan juga sebuah konsert, teater atau acara baca puisi yang sering dihadiri kumpulan manusia yang sama.

.

Gaya persembahan tenaga pakar terbabit begitu mempersona sehingga mampu membuatkan hadirin menitiskan air mata; bukan sekali tetapi beberapa kali. Apatah lagi, apa-apa yang dipersembahkan adalah mengenai para hadirin, bukan mengenai orang lain.

.

Persembahan yang cukup istimewa ini membawa hadirin melihat ke dalam diri sendiri; sekali gus melihat alam. Unik!

.

Ditambah pula penggunaan audio-visual yang menjadikan persembahan amat mengasyikkan. Bayangkan: tiga skrin yang amat besar di pentas itu sendiri menayangkan visual jelas (crystal-clear) penuh warna sementara sistem audio membuatkan kesan bunyi (sound effect) dan kesan khas (special effect) menggegarkan tempat persembahan, sekali gus menusuk jiwa.

.

Bayangkan jika Tun Mahathir berpeluang menyaksikan persembahan ini! Beliau mungkin akan berkata, "If they can make this, they can make anything." [Baca DI SINI]

.

Hadirin diajak (dan diharapkan) terlibat sama dalam persembahan sedari mula. Misalnya, soalan yang sama (dengan nada yang berbeza) diajukan (malah diteriakkan) berulang kali selagi hadirin belum meneriakkan jawapan.

.

Biasanya, jawapan yang perlu adalah sama bagi puluhan soalan yang dikemukakan beberapa individu berbakat, profesional dan berpakaian kemas itu.

.

Hadirin yang mempunyai daya membayangkan (imaginasi) hebat serta berupaya menitiskan air mata dengan penuh emosi hampir setiap 15 minit, pasti pulang dengan penuh keinsafan dan kepuasan rohaniah.

.

Jangan tersalah tafsir! Saya mempunyai daya imaginasi yang bagus dan pulang dengan kepuasan dan kesedaran; tanpa perlu menangis. Banyak perkara baru dan lama – ilmu – yang saya timba daripada persembahan ini.

.

Mungkin sahaja isu-isu yang diangkat dalam persembahan itu perkara lumrah, konvensional dan sering dipandang enteng. Bagaimanapun, kepakaran vokal beberapa individu berpakaian kemas, kesan audio-visual yang canggih serta penglibatan hadirin (sama ada menangis atau tidak!) menjadikan keseluruhan persembahan sangat unik, berjaya dan bertaraf dunia.