28 Jan 2010

Gigi dan Tulang Belakang

Pada Rabu, 20 Januari 2010, Devishi Prabha Sankari mengadu sakit gigi. Lalu, kami memutuskan untuk pergi berjumpa doktor gigi pada hari Sabtu.
.

Pada 21 Januari, sementara ramai peminat filem berpusu-pusu pergi menonton filem Ligeon – dan mungkin ada juga individu yang sibuk merancang strategi menyerang rumah-rumah ibadat – saya dan Devishi menonton Tooth Fairy di The Summit USJ.

.

Pada awal pagi Jumaat, 22 Januari, kami berdua melayari internet di kafe Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Sempat juga kami berbual secara “bersemuka” menggunakan Skype dengan Ganesan Duraisamy yang kini melanjutkan pelajaran di Middlesbrough, Britain.

.

Pada sebelah petang, selepas sekolah, saya dan Devishi ke pasar malam untuk membeli sedikit makanan. Kemudian kami menonton The Princess and the Frog yang buat pertama kali menampilkan wirawati kulit hitam.

.

Malah, watak wirawati tidak hanya menanti untuk berkahwin dengan putera raja, seperti dalam filem-filem animasi Disney sebelum ini. Sebaliknya, mempunyai tulang belakang, berdikari dan bercita-cita tinggi.

.

Pada pagi Sabtu, 23 Januari, saya dan Devishi ke rumah Vila Attei di Taman Botanik, Klang. Malangnya, kurang meriah kerana kedua-dua anaknya menghadiri kelas ganti.

.

Selepas itu, kami berdua pergi ke sebuah klinik pergigian di Taipan USJ; klinik yang sama di mana gigi Devishi ditampal tiga tahun lalu. Kebetulan, doktor memaklumkan bahawa gigi yang sama sudah rosak dan perlu dicabut. Tambahan pula, gigi baru sedang tumbuh.

.

Devishi berjaya menahan sakit dan menunjukkan sikap berani apabila giginya dicabut.

.

Selepas selesai mencabut gigi, kami pulang ke rumah dan menonton DVD Barbie and the Three Musketeers yang menampilkan empat wirawati yang bertulang belakang, berdikari dan bercita-cita tinggi.

.

Kemudian, Devishi membantu saya membuat persiapan bagi acara Baca Cerpen Kathakali yang dijadualkan pada pagi Ahad, 24 Januari.