4 Jul 2009

Sahabatku: Puisi-puisi 4 Bahasa

Bukannya mudah menterjemah sajak-sajak Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang ke Bahasa Tamil bagi buku khas berjudul “Sahabatku” yang bakal diterbitkan oleh UA Enterprises Sdn Bhd sempena ulang tahun ke-80 tarikh kelahiran beliau.

Bahagian yang saya katakan sukar bukannya kerja-kerja menterjemah dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Tamil. Sebaliknya, masalah timbul apabila para penterjemah mahu mengirim versi Bahasa Tamil kepada Hemantha Kumar Nagappan (editor Bahasa Tamil) untuk diperkemaskan.

Khabarnya, ada fail yang tidak dapat dibuka kerana format yang berbeza.

Akhirnya, kebanyakan karya diserah dalam bentuk tulisan tangan atau versi bercetak (kiriman melalui faks). Lalu, Kumar menaipnya semula.

Masalah yang timbul terpaksa ditangani dengan bantuan beberapa rakannya yang memiliki kemudahan dan perisian tulisan Tamil supaya boleh dikirim kepada pihak penerbit melalui e-mel.

Terima kasih kepada Hemantha Kumar Nagappan yang tekun berusaha. Terima kasih juga kepada Retna Devi Balan, Prakash Suriyamurthy, Sarasvathi Suhasini dan Pon Kogilam yang melakukan terjemahan.

Kumar menterjemah empat sajak manakala saya sempat menterjemah dua buah.

Kita nantikan kelahiran “Sahabatku” dalam masa terdekat. Buku berkenaan memuatkan 12 sajak terpilih Dato’ Usman Awang dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin.

Sajak-sajak berkenaan akan dibacakan pada majlis “Baca Puisi Sasterawan Negara: A. Samad Said & Usman Awang” pada 19 Julai 2009 di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut DI SINI.