14 Jul 2009

Mak Cik dan Bahasa Malaysia

Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada awal pagi 14 Julai 2009, saya terdengar seorang wanita berceloteh di radio tentang penguasaan bahasa-bahasa asing.

Saya secara spontan merakamkan “imej minda” penutur berkenaan sebagai seorang “mak cik kampung” (tanpa mengira kaum!) yang tidak mempunyai latar belakang komunikasi secara profesional.

Saya nyatakan demikian kerana mak cik itu bercakap agak lama menggunakan Bahasa Malaysia yang secara amat jelas membuktikan tahap penguasaan bahasa yang amat mendukacitakan; malah memalukan.

Saya juga tertanya-tanya mengapa stesen radio terbabit menyiarkan rakaman “celoteh” mak cik kampung itu.

Mustahil tidak ada “wanita kampung” lain yang boleh bercakap Bahasa Malaysia sebagaimana bahasa kebangsaan itu sepatutnya dipertuturkan oleh seorang rakyat Malaysia.

Secara ironi, mak cik berkenaan sedang bercakap mengenai penting dan perlunya kelompok tertentu dalam kalangan rakyat Malaysia menguasai pelbagai bahasa asing (termasuk “Bahasa English”!) supaya boleh berkomunikasi dengan warga asing; khususnya pelancong.

Tidakkah mak cik berkenaan – atau sesiapa sahaja – sedar bahawa adalah lebih baik jika tumpuan (dan wang) diberikan terhadap usaha mak cik itu – atau sesiapa sahaja – menguasai Bahasa Malaysia sebelum mahu “berceloteh” mengenai usaha menguasai bahasa-bahasa asing?

Sambil memandu pada awal pagi selepas menutup radio (sementara mak cik itu terus membebel), saya teringat bahawa SM Zakir ada menulis di blog beliau pada 9 Julai 2009 bahawa Gapena bakal mengendalikan kelas Bahasa Inggeris bagi membantu masyarakat kampung menguasai Bahasa Inggeris.

Mungkin saya boleh mengusulkan kepada Kavyan supaya diadakan kelas bimbingan Bahasa Malaysia, khusus untuk membantu masyarakat seperti “mak cik kampung” itu menguasai Bahasa Malaysia sebelum beliau tampil sekali lagi berceloteh di radio mengenai pentingnya menguasai bahasa-bahasa asing (termasuk “Bahasa English”).