17 Jul 2009

Fail Merah

Saya sempat membaca akhbar theSun versi dalam talian pada awal pagi 16 Julai 2009 untuk mengetahui apa yang disiarkan – dan apa yang ditinggalkan – daripada wawancara yang dilakukan oleh Bissme pada 22 Jun 2009 [BACA DI SINI] bagi ruangan “Conversations” akhbar berkenaan.

Ramai juga kenalan (termasuk bekas pelajar yang kini rakan saya) telah membaca dan mengirim SMS, e-mel dan catatan di Facebook berhubung wawancara itu.

Saya percaya, Bissme turut menerima pesanan daripada rakan-rakannya berikutan keberaniannya menulis suatu wawancara yang agak terbuka dan berani.

Kebanyakan komen yang saya terima bersifat positif dan memberi sokongan moral. Masing-masing memuji keberanian saya berterus-terang dalam memperkatakan perkara-perkara yang dianggap “sensitif” dan “berbahaya”. [Baca wawancara berkenaan DI SINI.]

Bagaimanapun, belum ada sebarang komen negatif yang saya terima sehingga pagi 17 Julai 2009. (Umpamanya, belum ada ugutan bunuh.)

Hal ini tidaklah menghairankan kerana sistem penyampaian maklumat dalam kalangan golongan tertentu adalah amat lemah. Mungkin hanya dua hari lagi, barulah maklumat mengenai wawancara dalam akhbar theSun akan sampai kepada mereka.

Kemudian mereka perlu pula menilai dan mengumpul fakta berhubung perkara-perkara yang saya nyatakan dan dedahkan dalam wawancara itu.

Kemudian, perlu pula mereka menekuni cerpen Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta untuk mendapatkan panduan mengenai apa yang perlu dan wajar dilakukan.

Sama-sama kita nantikan.