13 Jun 2009

Om ... Shanti

Jangan terkejut jika saudara melihat saya bersama-sama rakan-rakan (bekas pelajar saya) dari beberapa Negara Islam dan mereka mengucapkan “Assalamualaikum” walaupun mereka tahu saya Bukan Islam.

Malah, apabila mereka (yang sudah tamat belajar dan kembali ke negara asal atau ke negara-negara lain untuk bekerja) menghubungi saya (melalui telefon atau internet), perkara pertama yang mereka ucapkan adalah “Assalamualaikum, Bayya/Brother”.

Saya juga tidak berasa janggal untuk memberi salam kepada mereka; dan mereka juga akan menjawab salam itu dengan penuh ikhlas.

Pasti sahaja keadaan ini agak mustahil diperhatikan apabila saudara melihat saya bersama-sama rakan-rakan beragama Islam dari Malaysia.

Malah, semasa di alam persekolahan, saya pernah diberitahu oleh beberapa guru dan rakan-rakan (beragama Islam) bahawa mereka dilarang memberi salam kepada atau menjawab salam daripada seorang Bukan Islam.

Walaupun saya pada waktu itu hairan dan tertanya-tanya akan rasional di sebalik “syarat” seperti itu, saya terpaksa mendiamkan diri kerana tidak mahu “dilabel” mempersoalkan “peraturan” agama.

Termasuk juga apabila diberitahu oleh seorang rakan beragama Islam bahawa jika ada orang Bukan Islam memberi salam, maka perlu dijawab dengan kata-kata (dalam Bahasa Arab, tentunya) yang membawa makna yang kurang enak dan berbentuk “kutukan”.

Tentu sahaja semua itu amat menghairankan bagi saya sebagai seorang pengamal budaya India dan agama Hindu kerana dalam budaya India-Hindu, kata-kata yang sering diucapkan (dalam Bahasa Sanskrit) adalah “Lokas samastha sukhino bhavantu. Om … Shanti, Shanti, Shanti.”

Saya tidak pandai Bahasa Sanskrit, tetapi apa yang difikirkan dalam hati dan jiwa semasa mengucapkan kata-kata itu adalah (lebih kurang): “Saya doakan supaya semua orang selamat dan gembira. Aman, aman, aman.”

Tentu sahaja “semua orang” yang dimaksudkan merujuk kepada “semua orang” – tanpa mengira kaum, agama, bangsa, sekutu atau seteru.

Om … Shanti, Shanti, Shanti! -- SILA KLIK DI SINI untuk huraiakn lebih lanjut.