17 Jun 2009

Meraikan Kepelbagaian Kaum

Masih mengenai penggunaan “penulis/peserta pelbagai kaum” … sebagai sambungan kisah semalam [BACA DI SINI].

Sesungguhnya saya tidak menentang penggunaan frasa itu. Malah, Kumpulan Sasterawan Kavyan sering menggunakannya apabila merujuk pada peserta/penulis yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Maknanya, tidak dibezakan atas faktor kaum; sama ada Melayu, Cina, India atau apa sahaja. Kepelbagaian haruslah diraikan; bukan dijadikan alasan untuk memisah-misahkan. Apatah lagi, Bangsa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan keturunan.

Namun, nampaknya, ada pihak yang berpendirian bahawa “kaum Melayu” tidak termasuk dalam kategori “pelbagai kaum”.

Saya tidak tahu dan tidak faham siapa dan atas alasan apa “kaum Melayu” (peserta kaum Melayu; penulis kaum Melayu) diberi kedudukan eksklusif sehingga perlu dilihat sebagai bukan sebahagian daripada “pelbagai kaum” (peserta pelbagai kaum; penulis pelbagai kaum).

Misalnya, dalam majalah Tunas Cipta (Jun 2009), diperkatakan mengenai “Penulis Pelbagai Kaum” dalam konteks “tidak termasuk penulis kaum Melayu”.

Adakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri menganggap “penulis kaum Melayu” sebagai eksklusif dan tidak termasuk dalam “penulis pelbagai kaum”?

Rasa-rasanya tidak. Saya pernah menyertai pelbagai aktiviti anjuran DBP di bawah label “pelbagai kaum” tetapi memang ada peserta/penulis “kaum Melayu”.

(Malah, sering kali peserta/penulis “kaum Melayu” lebih ramai daripada peserta/penulis “kaum Bukan Melayu”. Saya menyedari hal ini kerana sering disebut-sebut oleh pihak penganjur sendiri.)

Apapun kedudukan dan tanggapan orang terhadap frasa “pelbagai kaum”, Kavyan akan tetap menggunakannya sebagai merujuk kepada semua tanpa batas kaum; dalam konteks “meraikan kepelbagaian kaum” dan bukan dalam konteks “meminggirkan” mana-mana kaum, keturunan atau etnik. - Baca juga: Kavyan mendambakan pengiktirafan? Topik berkaitan: Melayu + Cina + India = 1Malaysia? - Senarai Cerpenis Kaum India