20 Oct 2008

Datuk Rani Mukarjee


Belum reda lagi kisah mengenai bintang Bollywood, Shah Rukh Khan yang menerima bintang Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran "Datuk", kini seorang lagi pelakon popular India, Rani Mukarjee dilihat akan membantu usaha mempromosi negeri Terengganu.

Keindahan dan keunikan negeri Terengganu dijangka dipromosi ke seluruh dunia apabila sebuah syarikat Bollywood berhasrat membuat penggambaran filem di negeri itu, Mac depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said dilaporkan berkata, penerbit dan pengarah syarikat filem berkenaan berkunjung ke Terengganu baru-baru ini untuk meninjau lokasi menarik seperti Tasik Kenyir, Tanjung Jara, Pulau Redang, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Pulau Duyong.

Syarikat filem berkenaan ingin mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Terengganu bagi membuat penggambaran di tempat-tempat menarik di negeri berkenaan.

Filem yang masih belum mempunyai judul dan memakan masa penggambaran antara 40 dan 60 hari itu, mengisahkan mengenai pasangan suami-isteri yang berbulan madu di Terengganu.

Rani Mukarjee memegang watak isteri; manakala watak suami belum diputuskan.

Tahun lalu, sebuah syarikat filem dari negara China telah membuat penggambaran siri drama di Pulau Perhentian, yang diiktiraf sebagai antara pulau yang terindah di dunia.

Beberapa tahun lalu, Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filem bertajuk "One Two Ka Four".

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam baru-baru ini berkata, salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort di Alor Gajah.
.
Jutaan orang yang menonton filem itu di seluruh dunia telah mengenali Melaka; sehingga memungkinkan Shah Rukh Khan layak menerima bintang Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran "Datuk".