31 Jul 2008

Selamat Tinggal, AHI!

Saya ke RTM untuk berusaha menyiapkan tuntutan gaji bagi bulan Julai 2008. Semoga tidak “tersangkut” lagi seperti selalu. Apapun, tidak mengapa kerana mulai hujung bulan Ogos, gaji sebagai pegawai tetap di Radio24 akan melicinkan perjalanan hidup.

Saya juga menyiapkan surat untuk diberi kepada Pengarah Berita Ehwal Semasa, Encik Wan Bukhari Wan Daud, berhubung kerja tetap saya di Radio24. (Sila rujuk surat berkenaan pada satu lagi entri di blog ini.)

Memandangkan beliau terlalu sibuk dan tiada di bilik, saya tidak berpeluang menyerahkan terus surat berkenaan ke tangan beliau.

Pada sebelah petang, saya mendapat SMS daripada Ketua Pemberita TV, Puan Noriani Idris yang memaklumkan bahawa Pengawal Berita TV, Haji Mustapha Kamal meminta supaya tempat saya sebagai penyampai segmen Akhbar Hari Ini (AHI) diganti dengan orang lain.

Apabila saya menelefon ke Unit Penerbitan Berita TV, saya diberitahu bahawa arahan sama dikeluarkan oleh pegawai berkenaan berhubung kedudukan saya sebagai Penyampai Berita.

Untuk tujuan rekod, perlu saya tekankan bahawa saya tidak melepaskan tugas Penyampai AHI dan Penyampai Berita TV; seperti yang jelas pada kedua-dua surat saya kepada Pengarah Berita Ehwal Semasa.

Walau bagaimanapun, tindakan yang diambil oleh pegawai berkenaan tidaklah menghairankan langsung. Saya terima dengan rasa gembira, lega dan penuh syukur.
.
Tentu Tuhan mahu saya memberi tumpuan sepenuhnya pada Rado24; selain pada pelbagai aktiviti lain bersama Kavyan.