Friday, 4 July 2008

Masyarakat Berjiwa Bangsa Malaysia



Majlis Pelancaran 17 Buah Buku berlangsung di Legar Putra PWTC pagi ini sebagai suatu lagi aktiviti sempena Festival Membaca 2008.

Saya diberi kepercayaan dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai pengacara majlis.

Sebelum acara bermula, saya berpeluang bertemu Saifullizan Yahaya dan Fadli Al-Akiti. Pertemuan kami berlangsung dalam suasana persahabatan yang ikhlas dan saling menghormati serta memahami.

Buku terbaru Saifullizan Yahaya dan Fadli Al-Akiti adalah antara 17 buku yang dilancarkan oleh Tuan Teng Boon Soon, Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Tentu sahaja saya tidak melepaskan peluang membeli terus buku Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi (Saifullizan Yahaya, DBP: 2008) dan Saga Horizon (Fadli Al-Akiti, Alaf21: 2008) daripada pengarang terbabit.

Mereka juga bertanya mengenai buku terbaru saya – Rudra Avatara – yang akan dilancarkan pada 26 Julai nanti. Saya berterus terang bahawa penerbitan kali ini agak berbeza kerana bagi setiap buku yang dijual nanti, saya perlu gunakan untuk membayar “hutang” (kos mencetak) buku.

Pada hari ini, saya turut berpeluang bertemu Encik Yap Yeow Choy yang merupakan Presiden Persatuan Penulis-penulis Aliran Cina Malaysia. Saya berterus-terang kepada beliau bahawa selama ini, saya hanya mengenali PERSPEKTIF.

Antara lain, Encik Yap berkongsi pandangan bagaimana perlu ada interaksi antara penulis pelbagai kaum dan pelbagai aliran bahasa. Mungkin Kavyan akan merancang dan menganjurkan aktiviti dengan persatuan ini.

Saya turut berpeluang bertemu Encik Poh Seng Titt dari Mentor Publishing; di mana dua buku tebitan syarikat berkenaan turut dilancarkan pagi ini.

Encik Koh Yok Hwa dari Gemilang Publishing turut memperkenalkan saya kepada Puan Ng Chew Fah, Setiausaha Sulit kepada Tuan Teng Boon Soon.

Selepas acara selesai, saya sempat membisikkan kepada Tuan Teng bahawa saya kagum dengan kelancaran dan kefasihan beliau menggunakan Bahasa Malaysia.


Ringkasnya, melalui Bahasa Malaysia dan minat membaca, pada hari ini saya berpeluang mengenali beberapa individu penting dalam kalangan masyarakat Cina yang berjiwa Bangsa Malaysia.

2 comments:

  1. ohh, mmg dah ada blog rupanya!!

    ReplyDelete
  2. Ohh, kau fikir aku menipu ye! Jangan lupa tautkan aku ke laman blog kau.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!