18 Jul 2008

Dari Shah Alam ke Brickfields

Pagi ini saya mengadakan perbincangan dengan anak saya, Ganesan Duraisamy (yang juga Bendahari Kavyan) mengenai persiapan menjelang pelancaran buku Rudra Avatara pada 26 Julai 2008.

Kami memutuskan untuk mengadakan majlis pelancaran yang serba ringkas sahaja. Tambahan pula, perasmian
Pesta Buku Selangor oleh Menteri Besar Selangor akan berlangsung pada pukul 2:30 petang dan tentu sahaja berlarutan sehingga 4:30 petang.

Majlis pelancaran Rudra Avatara akan bermula pukul 5:00 petang.

Kavyan sudah memutuskan untuk tidak menggunakan latar pentas yang khusus bagi majlis pelancaran kerana: satu, mengurangkan kos; dua, latar pentas majlis perasmian masih ada; dan tiga, tiada masa untuk menukar latar pentas.

Seterusnya, saya singgah di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam untuk berbincang dengan Cik Afidah mengenai persiapan yang perlu bagi aktiviti Kavyan sempena Pesta Buku Selangor.

Selepas itu, ke pejabat
Pusat Komuniti ERA di Petaling Jaya untuk bertemu Saravanan dan berbincang mengenai majlis pelancaran Rudra Avatara.

Saravanan memaklumkan kepada saya bahawa Datuk Marimuthu agak sibuk sekarang tetapi akan tetap hadir memberi ucapan pada majlis pelancaran. Begitu juga, walaupun Saravanan dan kakitangan Pusat Komuniti ERA amat sibuk dengan program komuniti – malah mereka akan ke Johor sebentar lagi – mereka akan tetap hadir pada 26 Julai 2008.

Kemudian, saya ke Brickfields untuk bertemu Prakash Suriyamurthy. Saya pernah membaca mengenai beliau di sebuah akhbar tidak lama dahulu; di mana beliau sedang mengusahakan Thirukural versi Braille. Oh, ya! Prakash cacat penglihatan.

Bagaimanapun, jangan pandang rendah terhadap beliau kerana beliau adalah graduan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaysia dan sedang menyambung Ijazah Sarjana di tempat yang sama.

Beliau pernah menelefon saya beberapa bulan lalu, tetapi hanya pada hari ini kami berpeluang untuk bertemu.

Saya juga bertemu Mohd Jimadie Shah Othman (graduan Universiti Malaya yang kini merupakan wartawan di
Malaysiakini) untuk menyerahkan kumpulan cerpen Rudra Avatara.

Lalu, kami berbual-bual sambil makan vadei dan minum teh/kopi. Saya kagum dengan kedua-dua pemuda berkenaan. Masing-masing ada keisitmewaan, jatidiri dan berpegang teguh pada apa dipercayai dan dilakukan.

Sekitar 3:00 petang, Jimadie terpaksa pergi kerana khabarnya ada sidang media di rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya pula menghantar Prakash ke Perpustakaan Universiti Malaya. Katanya, kini sudah ada kemudahan mesin pengimbas khas yang boleh “membaca” (secara bersuara) teks bercetak untuk didengar oleh golongan cacat penglihatan.

Maka, saya berikan beliau senaskhah Rudra Avatara untuk beliau “dengar”. Sempat juga saya nyatakan kepada beliau, impian Kavyan untuk menganjurkan acara Baca Cerpen OKU yang melibatkan penyampaian cerpen oleh peserta pekak, bisu, buta dan cacat anggota (ringkasnya: Orang Kelainan Upaya).

Oh, ya! Prakash juga akan mengambil bahagian dalam
Baca Cerpen A. Samad Said pada 25 Julai 2008, 3:00 petang di Kompleks PKNS, Shah Alam. Pasti menarik!

Prakash boleh dihubungi melalui nombor telefon 012-9020512 dan e-mel raj_um82@yahoo.com