17 Jul 2008

SJK Tamil dan Aktiviti Kavyan

Menjelang Pesta Buku Selangor, banyak kerja yang belum dibereskan sebagai persiapan aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Saya sepatutnya telah ke beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil semalam untuk mendapatkan senarai nama murid dan guru yang telah menghubungi saya dan mengesahkan penyertaan dalam acara Baca Cerpen A. Samad Said dan Baca Puisi Rindu Ibu.

Terus terang, saya kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh guru besar, guru-guru dan murid-murid SJKT Midlands dan SJKT Hicom.

(Saya tidak mahu menyentuh mengenai sikap guru besar dan guru-guru kanan beberapa SJKT dan SK yang langsung tidak menunjukkan minat selepas saya pergi ke sekolah mereka minggu lalu untuk memberikan maklumat mengenai acara sempena Pesta Buku Selangor.)

Di SJKT Hicom, saya berpeluang bertemu Cikgu Jamuna yang memang mengajar di sekolah ini dahulu tetapi telah bertukar ke sekolah lain beberapa tahun lalu. Beliaulah guru SJKT yang diperkenalkan kepada saya oleh Thillai Kamalan dahulu untuk memungkinkan aktiviti Kavyan dijalankan di SJKT.

Maka, kini, dengan kemunculan semula Cikgu Jamuna di SJKT Hicom, tentu lebih banyak aktiviti boleh dijalankan. Tambahan pula, guru-guru lain di SJKT Hicom (misalnya Cikgu Nalini) memang memberikan komitmen dan kerjasama demi manfaat murid-murid.

Perkara yang sama juga dibuktikan oleh guru besar dan guru-guru SJKT Midlands. Mereka memahami nilai program yang dikendalikan oleh Kavyan. Apatah lagi program yang melibatkan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Saya ucapkan terima kasih kepada mereka semua. Juga ucapan tahniah kerana menyedari kepentingan aktiviti bahasa dan sastera demi perkembangan minda dan jatidiri kanak-kanak.