28 Jul 2005

Drama “Arkitek Keluarga” di Kolej Prime


Proses pembelajaran bahasa dan sastera tidak harus tertumpu di dalam kelas dan dewan kuliah semata-semata. Sebaliknya, pelajar perlu diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti berkaitan.

Menyedari hakikat itu, sekumpulan pelajar yang mengikuti subjek LAN1001-Bahasa Malaysia di Kumpulan Kolej Prime telah melibatkan diri dalam proses menghasilkan sebuah drama eksperimental secara amatur menggunakan kamera digital.

Skrip drama berkenaan diadaptasi daripada cerpen berjudul “Arkitek Keluarga” karya Uthaya Sankar SB. Drama ini dihasilkan oleh Kelab Seni & Sastera kolej berkenaan dengan kerjasama Kavyan.

Sesi latihan membaca skrip diadakan selama seminggu sebelum rakaman suara dilakukan. Seterusnya, penggambaran dilakukan di tepi tasik di Kota Kemuning, Shah Alam bagi menggantikan latar tebing sungai dalam drama berkenaan.

Pelajar pelbagai kaum dan jurusan pendidikan terlibat dalam menjayakan drama “Arkitek Keluarga”. Tayangan perdana drama itu telah diadakan pada 27 Julai 2005 sempena “Malam Apresiasi Kavyan-KSS” di Auditorium Kolej Prime.