20 Jun 2005

Kunjungan Sastera Kavyan Memasyarakatkan Sastera

Masyarakat di kawasan luar bandar sering kali mengeluh bahawa aktiviti sastera yang melibatkan penulis dan editor majalah jarang diadakan di tempat mereka. Keluhan seperti ini amat perlu diberi perhatian serius dalam usaha memasyarakatkan sastera.

Sehubung itu, langkah Kavyan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dan Alaf 21 Sdn Bhd menganjurkan program Kunjungan Sastera Kavyan wajar dipuji dan dijadikan iktibar oleh pihak lain.

Pada 18 dan 19 Jun 2005, rombongan yang mewakili pihak penganjur ini telah mengadakan program sastera di Jelebu, Negeri Sembilan. Acara pada hari pertama adalah ceramah dan bengkel penulisan cerpen yang dijayakan dengan kerjasama Sekolah Menengah Rendah Agama Kuala Klawang.

Peserta telah berpeluang menimba ilmu daripada dua penulis dan aktivis sastera berpengalaman iaitu Uthaya Sankar SB dan S.G. Prabhawathy. Penolong Editor Tunas Cipta, Ritah Yahya turut berkongsi idea dan panduan kewartawanan. Kehadiran ahli Kelab Seni & Sastera Kumpulan Kolej Prime (KSS) juga memberi motivasi kepada para peserta untuk mencintai karya sastera tanpa mengira bidang pengajian.

Pada hari kedua, para peserta rombongan telah mengunjungi para penduduk kampung untuk mendengar kisah-kisah lama dan sejarah kewujudan kampung berkenaan. Kisah-kisah yang disampaikan oleh beberapa warga emas ternyata menarik perhatian para peserta; khususnya golongan remaja.

Peserta turut berpeluang melawat sebuah bengkel ukiran kayu serta menikmati persembahan muzik tradisional yang jarang kedengaran di kawasan bandar. Secara tidak langsung, semua ini memupuk semangat cinta akan seni dan budaya tradisional.